Cina India Kaum Pendatang

Selasa, 15 Mac 2011

PERBICARAAN KES LIWAT II: Adik Karpal Meninggal Dunia, Bicara Ditangguh Sehingga Isnin


PERBICARAAN kes liwat Anwar Ibrahim ditangguh sehingga Isnin ini selepas Mahkamah Tinggi diberitahu Karpal Singh sedang berkabung berikutan kematian adik lelakinya tengah malam Isnin di Pulau Pinang.

Peguam dari pasukan pembelaan Anwar, S N Nair yang memohon penangguhan sehingga Isnin itu memberitahu mahkamah, Karpal perlu berada di Pulau Pinang antara dua hingga tiga hari bagi melaksanakan pelbagai upacara keagamaan selaku abang.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan itu selepas tiada bantahan daripada pasukan pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden.

Mahkamah hari ini dijadual mendengar hujah pasukan pembelaan mengenai permohonan pihak pendakwaan agar mahkamah menyemak semula keputusan perbicaraan dalam perbicaraan untuk menolak tiga barangan dan profil mengenainya dijadikan sebagai barang bukti.

Pihak pendakwaan juga memohon supaya mahkamah memerintahkan Anwar memberikan sampel DNA untuk dianalisis bagi dibandingkan dengan profil "Lelaki Y" yang ditemui dalam dubur pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Semalam, Mohd Yusof mengakui permohonan pendakwaan itu bukan sesuatu yang lazim tetapi berhujah sampel DNA daripada Anwar adalah penting dan relevan kerana ia boleh menentukan sama ada DNA tersebut sepadan dengan yang diperolehi dari sperma yang dijumpai di kawasan keliling dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Tiada permohonan seumpama ini sebelum ini tetapi ini tidak bermakna ia tidak boleh dilakukan... atau tidak Seksyen (Akta Bahan Bukti) adalah hanya kata-kata. Kami mempunyai bukti tetapi kerana alasan teknikal, ia tidak diterima (oleh hakim)” katanya.

Yusof juga mendapati dirinya menjadi kecaman semalam apabila salinan permohonan pendakwaan dikatakan bocor dan disiarkan oleh beberapa pertubuhan media, terutamanya di New Straits Times dan blog Malaysia Today.

Peguam Cara Negara II itu mengaku bertanggungjawab manakala permohonan supaya tindakan menghina mahkamah dikenakan ke atas akhbar yang mencetaknya ditolak oleh hakim Mohd Zabidin.

Anwar, 63, didakwa meliwat Mohd Saiful 25, bekas pembantu peribadinya, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog