Cina India Kaum Pendatang

Isnin, 20 Jun 2011

Mahkamah: Dr Khir Syor PKNS Lupus Bon Pelaksanaan Untuk Roniaga Sdn Bhd


MAHKAMAH Tinggi Shah Alam pada Isnin diberitahu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melupuskan keperluan bon pelaksanaan untuk Roniaga Sdn Bhd bagi projek perumahan di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi setelah disyorkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Saksi pendakwa ke-11, bekas Pengurus Besar PKNS, Datuk Harun Salim berkata bon pelaksanaan untuk syarikat itu yang dimiliki Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni, telah dilupuskan dan digantikan dengan 'directors shareholders guarantee' setelah mengambil kira surat permohonan Shamsuddin.

"Shamsuddin pernah memohon kepada PKNS pada tahun 2000 untuk membangunkan sebuah projek perumahan di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi.

"Surat permohonan itu dihantar melalui pejabat MB dengan nota sokongan daripada Khir yang menyokong surat itu dan meminta PKNS mempertimbang permohonan itu.

"Dalam nota sokongan itu, Khir rujuk Roniaga sebagai sebuah syarikat bumiputera yang mempunyai rekod baik dan mengesyorkan agar bon pelaksanaan dilupuskan," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud.

Harun berkata surat permohonan itu dihantar kepadanya oleh setiausaha politik Dr Mohamad Khir ketika itu, Datuk Karim Mansor.

Bon Pelaksanaan ialah suatu bentuk jaminan yang perlu dikemukakan oleh kontraktor yang mendapat kontrak daripada kerajaan (dalam kes ini PKNS) yang boleh dipegang oleh kerajaan bagi melindungi kepentingannya dan memastikan kontraktor melaksanakan semua obligasi di bawah sesuatu kontrak.

Kebanyakan kontrak PKNS iaitu anak syarikat kerajaan Selangor mensyaratkan kontraktor mengemukakan jaminan bon pelaksanaan sebagai jaminan mereka akan menyiapkan sesuatu projek.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela M Athimulan, Harun bagaimanapun menegaskan bahawa segala proses dalam pemberian projek kepada Roniaga Sdn Bhd telah mengikuti prosedur betul dan tiada pertimbangan khas diberikan kepada syarikat itu.

"Semua perkara melibatkan projek PKNS diputuskan oleh Jawatankuasa Penswastaan projek yang dipengerusikan Dr Khir selaku pengerusi PKNS masa itu," katanya.

Semasa disoal Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki, Harun mengakui bahawa langkah untuk melupuskan bon pelaksanaan oleh PKNS "jarang" berlaku.

Beliau berkata demikian dalam keterangannya pada hari kelapan kes perbicaraan Dr Mohamad Khir yang didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10,Jalan Suasa 7/1L, di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Perbicaraan di hadapan Mohtaruddin bersambung esok.
- Bernama

2 ulasan:

Kulaan Niring berkata...

"Shamsuddin pernah memohon kepada PKNS pada tahun 2000 untuk membangunkan sebuah projek perumahan di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi.

"Surat permohonan itu dihantar melalui pejabat MB dengan nota sokongan daripada Khir yang menyokong surat itu dan meminta PKNS mempertimbang permohonan itu."

Nota :- Tahun 2000 Khir Toyo belum jadi MB lagi, masa itu MB selangor adalan abu hassan.

Kulaan Niring berkata...

Kalau tuan nak ikuti perbicaraan kes tersebut sila layari melalui FB atau klik kat sini :http://www.facebook.com/leecious.junior?sk=wall#!/pages/LIVE-Perbicaraan-Dr-Khir-Toyo/220517497972983

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog