Cina India Kaum Pendatang

Rabu, 2 November 2011

Mangsa pertama di Wall Street: MF Global bankrap akibat ‘Krisis Hutang Eropah’....

KRISIS hutang Eropah menumbangkan mangsanya yang pertama di Wall Street iaitu MF Global Holdings Ltd., sebuah firma sekuriti yang diuruskan oleh bekas Gabenor New Jersey, Jon Corzine apabila bertindak memfailkan perlindungan daripada bankrap di Mahkamah Persekutuan Bankrap, pada Selasa.

Corzine juga adalah bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman Sachs Group Inc.

Kebimbangan terhadap pegangan hutang negara-negara Eropah menyebabkan rakan niaga keluar daripada syarikat itu sekali gus menyebabkan berlaku masalah kewangan.

MF Global memegang hutang berjumlah AS$6 bilion yang diterbitkan oleh negara-negara yang mempunyai masalah kewangan iaitu Itali, Sepanyol dan Portugal.

Bon-bon negara itu membayar pulangan lebih besar berbanding hutang Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menyebabkan pelabur-pelabur dalam bon percaya negara-negara itu akan berdepan dengan kemungkiran bayar.

Syarikat itu dilanda malang apabila para pengawal selia kewangan pada bulan lalu mengadu bahawa MF Global telah terlebih nilai hutang Eropah, sekaligus memaksanya mendapatkan lebih banyak wang, menurut kertas-kertas yang difailkan kepada Mahkamah Bankrap AS bagi daerah utara New York.

MF Global telah melaporkan kerugian sukuan terbesar pada bulan lalu. Agensi-agensi penarafan kredit telah menurunkan penarafan MF Global pada minggu lalu, mengakibatkan penyusutan dalam sahamnya sebanyak 66 peratus.

Keadaan itu menyebabkan rakan perniagaan MF Global dilanda kebimbangan tentang perlu menyuntik lebih banyak wang untuk menjamin urusniaga syarikat itu.

Tidak lama kemudiannya, MF Global telah mengalami kekurangan tunai dan mula mencari pelabur dan pembeli dari luar, tetapi tiada alternatif muncul sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh pengawal selia kewangan , menurut kertas mahkamah.

Dagangan saham-saham MF Global Holdings Ltd. telah dihentikan hari Selasa.

Kebankrapan MF Global menunjukkan bahaya dalam pelaburan apabila hasilnya akan ditentukan oleh tindakan kerajaan,’’ kata Daniel Alpert, Pengarah Kongsi, Westwood Capital Partners LLC.

‘‘Saya tidak fikir ia terlalu sukar tetapi ia masih menunjukkan ia masih dalam pasaran yang mudah meruap.

‘‘Krisis ini boleh memberi petunjuk dalam pelbagai cara dan dagangan pasaran berdasarkan berita, bukan angka,’’ tambah beliau.

Beliau menambah, pertaruhan besar MF Global tidak pernah berlaku sebelum tempoh Corzine.

‘‘Sehingga beliau menyertai syarikat ini, MF Global dikenali sebagai peniaga derivatif, pelaburan-pelaburan berasaskan aset-aset bersandarkan nilai,’’ ujarnya.

Sehingga minggu lalu, MF Global mempunyai pendedahan bersih sebanyak AS$6.29 bilion dalam terbitan hutang oleh Itali, Sepanyol, Belgium, Portugal dan Ireland.

Daripada jumlah itu, sebanyak AS$1.37 bilion adalah dari Portugal dan Ireland, yang sudah diberi bantuan oleh pihak berkuasa Eropah.
- Agensi/Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog