Cina India Kaum Pendatang

Memaparkan catatan dengan label Kisah dan Teladan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah dan Teladan. Papar semua catatan

Selasa, 7 September 2010

Harta Belum Tentu Menjamin Kebahagiaan: KISAH NABI ISA DENGAN TIGA PEMUDA TAMAK

PADA suatu hari, ketika Nabi Isa sedang menyampaikan khutbah, tiba-tiba seorang pemuda berkata, “Hai anak Mariam! Kami tidak percaya adanya kehidupan di akhirat. Kami juga tidak percaya adanya syurga dan neraka. Bagi kami itu semua tidak penting. Kami boleh hidup senang dan bahagia tanpa agama. Kalau ada harta, hidup kami sudah tentu bahagia.”

“Harta tidak menjamin ketenteraman hidup, saudara-saudaraku,” sahut Nabi Isa bersuara keras. Nabi Isa seteruanya menambah, “ Baiklah. Jika sudah demikian pendapat saudara-saudara, nanti datanglah berjumpa dengan saya. Mungkin ada rezeki untuk saudara-saudara.”

Mereka tahu anak Mariam tidak pernah berdusta. Maka mereka pun pergilah berjumpa Nabi Isa di khemahnya. Nabi Isa memberikan sekeping peta kepada mereka. Peta itu menunjukkan tempat simpanan harta karun yang banyak. Tempat menyimpan harta itu terletak di dalam gua di puncak sebuah bukit yang curam.

Dengan ceria dan gembira pergilah mereka bertiga ke tempat yang dimaksudkan dengan peralatan yang secukupnya. Setelah mengalami perlbagai kepayahan, akhirnya mereka sampai ke gua tempat harta itu tersimpan. Dengan hati berdebar-debar mereka masuk ke dalam gua. Memang benar, di dalam gua itu terdapat banyak peti-peti berisikan emas dan intan berlian.Mereka pun berbincang bagaimana cara membawa harta itu turun dari gua di puncak bukit tanpa di ketahuai orang lain. Akhirnya mereka bersetuju setuju supaya harta-harat itu diangkut bergilir-gilir ke sebuah hutan di kaki bukit. Kebetulan di situ terdapat sebuah rumah lama yang tidak berpenghuni lagi. Dengan susah payah, akhirnya semua harta itu dapat diangkut ke rumah itu. Dan mereka mahu membahagikan harta-harta itu di situ.

Tiba-tiba salah seorang daripada mereka berkata, “Perut kita lapar. Jika kita bahagikan harta ini sekarang, orang akan nampak kita membawa emas berlian ke kedai makan nanti. Ini tentu membahayakan diri sendiri.”

“Betul juga, jadi apa yang harus kita buat?” sahut kawannya yang berdua lagi.
“Saya cadangkan agar salah seorang daripada kita pergi membeli makanan. Dua orang lagi tinggal di sini menjaga harta,” jawab pemuda pertama tadi.

Cadangannya itu dipersetujui. Salah seorang daripada mereka pun pergilah membeli makanan di pekan berdekatan. Kerana perutnya sangat lapar, dia makan di situ sahaja. Kemudian dia meminta dua bungkus lagi untuk dua orang kawannya yang tinggal.

Ketika penjual itu sedang membungkus makanan, dia terfikir, ‘Sekiranya makanan ini aku bubuh racun, sudah tentu harta tadi tidak perlu dibahagi tiga. Aku yang akan memiliki semuanya.’

Kemudian dia nekad dengan fikirannya itu lalu di pergi membeli racun di sebuah kedai berdekatan. Setelah kedua-dua bungkus makanan itu dibubuh racun, dia membungkusnya semula dengan rapi dan balik semula ke rumah kosong tempat dua orang lagi kawannya sedang menunggu.Dalam pada itu, sepeninggalan dia pergi membeli makanan, rakannya yang tinggal menunggu harta membuat pakatan jahat terhadapnya.
“Betul juga kata kamu. Jika dia masih hidup, harta ini akan terpaksa dibahagi tiga. Jika dia kita hapuskan, harta ini akan jadi milik kita berdua sahaja.”
“Itulah yang aku maksudkan,” kata lelaki kedua.
“Tapi, bagaimana caranya.”
“Begini, sebelum dia balik kita siapkan batang besi dan kita bersembunyi di belakang pintu. Apabila dia masuk, kita terus pukul kepalanya sampai dia mati.”
“Ha.... haa.... haaaa.... mudah sekali,” kata mereka sambil ketawa.

Tidak berapa lama kemudian, kawan mereka pun muncul di pintu rumah itu. Mereka cepat-cepat bersembunyi di belakang puntu. Sebaik sahaja kawan itu melangkah masuk, mereka berdua terus memukul kepalanya bertubi-tubi tanpa belas kasihan. Akhirnya kawan mereka itu tersungkur jatuh dan tidak bernafas lagi.

Dengan gembira mereka menyeret mayat rakannya lalu membungkannya ke dalam sebuah perigi buta berhampiran. Selepas itu mereka pun mula mengambil seorang sebungkus makanan yang dibeli kawannya tadi dan membukanya untuk dimakan. Kerana lapar mereka makan dengan lahap sekali.

Setelah menelan dua tiga suap, nafas mereka jadi sesak. Kerongkong mereka terasa panas bagaikan dibakar. Mulut mereka berbuih-buih. Penglihatan mereka jadi gelap dan mereka terkapar-kapar kesakitan. Akhirnya, kedua-duanya mati keracunan. Dan harta yang mereka angkut itu tinggal di dalam rumah kosong itu tanpa ada yang punya.

Begitulah kisah orang tamak. Dan pepatah Melayu menyebutkan: ‘Orang tamak selalu rugi.’

Pengajaran daripada kisah yang berlaku di zaman Nabi Isa a.s. ini jelas membuktikan bahawa harta belum tentu boleh membahagiakan kehidupan seseorang. Dalam kisah ini, kerana hartalah mereka jadi tamak malahan terkorban akibat perbuatan yang didorong oleh sifat tamak yang timbul dalam diri mereka sendiri.

Isnin, 6 September 2010

BERSABARLAH DENGAN PERANGAI ISTERI

DIKISAHKAN bahawa pada suatu hari seorang lelaki pergi ke kediaman Khalifah Umar al-Khatab untuk mengadukan perihal perangai buruk isterinya.

Setibanya lelaki itu di pintu rumah Khalifah Umar, dia terdengar isteri Khalifah sedang meninggikan suara memarahi Khalifah, sedangkan Khalifah Umar hanya berdiam diri. Tidak menjawab walau sepatah kata pun.

Mendengar dan melihat dengan mata sendiri apa yang berlaku ke atas Khalifah Umar, membuatkan lelaki itu membatalkan hasaratnya untuk berjumpa Khalifah. Dengan langkah tergesa-gesa dia beredar meninggalkan rumah Khalifah.

Bagaimanapun, lelaki itu terdengar dia dipanggil oleh Khalifah dengan pertanyaan, “Apa hajatmu datang ke mari?”
“Tidak ada apa-apa wahai Amirul Mukminin!” jawab lelaki itu sambil tunduk tanda hormat.
Tanya Khalifah Umar, “Memgapa datang kalau tidak ada apa-apa?”

Mendengarkan kata-kata khalifah, lelaki itu berasa serba salah untuk menceritakan tujuannya datang. Dalam keadaan terpaksa lelaki itu berkata dengan nada perlahan: “Sebenarnya.... saya.... saya datang ke sini untuk mengadukan kelakuan buruk isteri saya, wahai Amirul Mukminin. Tetapi.... setelah saya terdengar apa yang saya dengar, saya dapati Amirul Mukminin pun mengalami nasib yang sama seperti saya.”

Sambil tersenyum Khalifah Umar al-Khatab berkata: “Wahai saudaraku! Aku terpaksa menanggung semua itu kerana aku terhutang budi kepadanya.
“Dia telah memasakkan makananku, membuat roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusukan anak-anakku. Padahal semua itu tidak wajib ke atasnya.

“Dan dia juga menjadi tempat kemesraanku, di mana hatiku berasa tenang dan kerana itu juga aku terlindung daripada melakukan yang haram.

“Jadi, bagaimana dapat aku menentangnya. Oleh itu aku hanya bersabar dan memekakkan telinga sahaja.”

Balas lelaki itu, “Kalau begitu kedudukannya, maka saya juga berkeadaan serupa. Sama seperti apa yang Amirul Mukminin alami.”

Kata Khalifah Umar: “Wahai saudaraku! Bersabarlah atas kelakuan isterimu itu.

ANTARA AKAL DAN SYAHWAT

AL-KISAH, setelah Rabi’ah al-Adawiyah menjadi janda atau setelah beliau kematian suami, maka ramilah lelaki yang ingin mengambil beliau sebagai isteri. Antaranya ialah Hasan Basri, seorang tokoh sufi yang terkenal di zamannya.

Pada suatu hari, Hasan Basri dan teman-temannya datang ke rumah Rabi’ah untuk melamarnya. Mereka sepakat meminta janda itu memilih salah seorang daripada mereka untuk menjadi suami.

Kedatangan mereka disambut mesra oleh Rabi’ah al- Adawiyah dengan mempersilakan mereka semua masuk. Kemudian beliau menutup tirai bagi maksud memisahkan dirinya dengan tetamu-tetamu berkenaan.
“Siapa yang paling pintar antara kalian, maka dialah yang akan saya terima sebagai suami,” jelas Rabi’ah memulakan perbualan.
Maka mereka pun menjawab, “ Hasan al-Basri.”

Kata Rabi’ah, “Bila dapat menjawab pertanyaanku, maka aku adalah milikmu.”
“Tanyalah, semoga aku dapat menjawabnya,” balas Hasan al-Basri.

Maka bertanyalah Rabi’ah: “Apabila aku mati dan keluar dari dunia ini, apakah aku nanti keluar dengan beriman atau tidak?”
Jawab Hasan: “Itu adalah masalah ghaib. Tidak seorang pun yang mengetahui kecuali Allah.”
Rabi’ah: “Bila aku telah terbaring di liang kubur dan ditanya oleh Malaikat Mungkar dan Nangkir, apakah aku dapat menjawabnya atau tidak?”
Hasan: “Itu juga hal yang ghaib dan tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah.”
Rabi’ah: Apabila seluruh manusia dikumpulkan di hari kiamat dan diberikan kepada mereka kitab catatan amal masing-masing, apakah dengan tangan kiri atau dengan tangan kanan aku menerima catatan amalanku?”
Hasan: “Itupun perkara ghaib juga.”

Lalu Rabi’ah berkata: “Hai Hasan, ketahuilah bahawa barang siapa tidak dapat menjawab pertanyaan yang saya tanyakan tadi, jangan berfikir untuk dapat mengahwini diriku.”

Selanjutnya Rabi’ah berkata lagi: “Hai Hasan, dalam berapa bahagiankan Tuhan mencipta akal?”
Jawab Hasan: “Sepuluh bahagian. Sembilan untuk laki-laki dan satu bahagian untuk wanita.”
Rabi’ah: Dalam berapa bahagian pula Allah menciptakan syahwat?”
Jawab Hasan: “Sepuluh bahagian. Sembilan untuk wanita dan satu bahagian untuk laki-laki.”

Sebagai penutup kepada dialog itu, Rabi’ah al-Adawiyah berkata: “ Hai Hasan al-Basri, kalau aku dapat menguasai dan mengawal sembilan syahwat dengan hanya satu bahagian akal yang ada padaku, apakah kamu sebagai lelaki tidak dapat mengawal satu syahwat dengan sembilan akal yang ada padamu?”

Mendengarkan kata-kata Rabi’ah itu, maka segeralah Hasan al-Basri keluar daripada rumah Rabi’ah al- Adawiyah dengan cucuran air mata kerana menyesali dirinya yang gagal mengawal satu syahwat dengan sembilan akal yang ada padanya.

Sebagai makluman, Hasan al-Basri dan Rabi’ah al-Adawiyah adalah antara tokoh wali-wali Allah yang tersohor dan terkenal dengan pelbagai kisah menarik sepanjang hayat mereka. Kisah ini adalah salah satu daripadanya.

Sabtu, 4 September 2010

HUKUMAN UNTUK YANG ENGKAR

SEMASA perang Ahzab atau dikenali juga dengan perang Khandak, jumlah tentera musuh Islam dianggap terlalu besar berbanding dengan tentera Islam. Perbandingannya, 14,000 orang tentera musuh dengan 4,000 orang tentera Islam.

Antara puak atau golongan yang menyertai tentera musuh ialah golongan Yahudi Banu Quraizah yang sebelum itu telah pun membuat suatu perjanjian dengan Nabi Muhammad SAW, tidak akan melakukan serang-menyerang keatas orang Islam - di Madinah.

Setelah perperangan Ahzab tamat dan kaum Quraisy telah pulang ke Mekah dan ke kampung masing-masing, satu tindakan tegas diambil terhadap Banu Quraizah yang telah mengkhianati penjanjian itu. Pasukan tentera Islam di bawah pimpinan Sayidina Ali bin Abi Talib telah pergi menyerang perkampungan mereka yang terletak kira-kira 15 km dari Madinah.

Puak Yahudi Banu Quraizah bertahan di dalam benteng pertahananya. Sayidina Ali sendiri pergi mengintip untuk mendengar perbicaraan mereka di sebalik benteng itu. Ternyata mereka tersangat benci kepada Rasulullah dengan menghina serta mencaci-maki. Maka tentera Islam pun mengepung benteng penenpatan Yahudi banu Quraizah itu.

Selama 25 hari pengepungan dilakukan. Dalam masa itu terjadilah pertempuran panah memanah dan baling membaling batu antara ke dua pihak. Setelah lama terkepung, kaum Yahudi itu pun sedar bahawa mereka tidak lagi mampu bertahan dengan kepungan tentera Islam berkenaan. Pemimpin mereka bernama Kaab bin Asad bersuara, “Saya ingin menyampaikan sesuatu kepadamu, apakah kamu semua bersedia mendengarnya?”
“Apakah itu?” tanya mereka serentak.

“Pertama, sebaiknya kita mengikut sahaja dia (Nabi Muhammad) sebab telah nyata kebenaran yang dibawanya. Memanglah ia seorang Nabi dan utusan Allah. Dan ini telah pun tercatat dalam kitab kita sendiri bukan?”
“Kita tidak akan menukar agama kita. Kita tetap memegang ajaran kitab kita, iaitu kitab Yahudi,” jawab mereka.

“Kedua,” kata Kaab selanjutnya, “Kalau kamu tidak suka demikian, baiklah kita bersama-sama membunuh anak-anak dan wanita-wanita kita, kemudian kita datang kepada Muhammad, masing-masing dengan pedang yang terpanjang.

“Jika kita dibunuh oleh Muhammad semuanya, maka kita tidak meninggalkan apa-apa di belakang kita, iaitu anak-anak dan isteri-isteri kita. Tetapi kalau kita menang, mudahlah kita mendapat wanita-wanita daripada mereka dan kemudian akan melahirkan anak-anak kita lagi.”

Mendengarkan kata-kata ketua mereka itu, lalu mereka berteriak, “ Adakah kita disuruh membunuh orang-orang yang kita kasihi dan cintai? Adakah kebaikan bagi kita sesudah membunuh anak-anak dan isteri-isteri kita?”

“Ketiga,” kata Kaab lagi, “Jika kamu semua enggan menerima ini, mari kita malam ini keluar dari benteng kita dan bersama-sama pergi kepada Muhammad untuk memohon keputusan daripadanya. Kerana malam ini adalah malam Sabtu iaitu hari yang kita hormati. Mudah-mudahan beliau dapat memberikan keampunan kepada kita semua. Dan marilah kita keluar, barangkali juga kita dapat mengalahkan Muhammad serta kaumnya kerana mereka menyangka kita tidak akan berperang pada hari Sabtu ini.”
Mendengarkan kata-kata itu, mereka jadi marah lalu berkata, “Bagaimana kita boleh merosakkan hari Sabtu yang kita hormati sejak nenek moyang kita dahulu, kecuali orang-orang yang telah berubah muka mereka menjadi kera?”

Segala nasihat dan cadangan Kaab semuanya mendapat tentangan dan bantahan daripada kaumnya. Justeru, Kaab pun berkata, “Aku telah menasihatkan apa yang terbaik bagi kamu. Kalau kamu tidak menerimanya, terserahlah.”

Kepungan kaum Muslimin semakin ketat. Nasihat pemimpin telah mereka tolak mentah-mentah. Dan hubungan luar terputus sama sekali. Maka mereka mengambil keputusan untuk mengirim utusan kepada Nabi Muhammad, meminta supaya dibenarkan berjumpa dengan Abu Lubabah dan datang ke tempat mereka untuk meminta pandangannya.

Abu Lubabah adalah pemimpin golongan Aus yang pada mulanya telah berjanji akan tolong-menolong dengan Banu Quraizah tetapi, kini puak itu telah menganut agama Islam.

Rasulullah SAW telah menyetujui permintaan mereka dan dikirimkan Abu Lubabah ke tempat mereka terkepung itu.

“Apakah engkau bersetuju jika kita meminta keputusan daripada Muhammad, kerana kami sudah sangat menderita?” Tanya mereka kepada Abu Lubabah.
“Ya, saya menyetujuinya,” jawab Abu Lubabah sambil memberikan isyarat dengan jarinya menunjuk tenggorok yang bermaksud, kalau tidak, kamu semua akan dibunuh.

Maka sepakatlah mereka untuk tunduk dan menyerah kepada Nabi Muhammad dan sedia menerima apa jua keputusannya.

Mereka menyerah tanpa syarat dan hukuman dilaksanakan mengikut ajaran agama Yahudi sendiri, iaitu semua kaum lelakinya dibunuh, sementara kaum wanita dan anak-anak jadi tawanan serta harta benda mereka dirampas.

Inilah hukuman Saad bin Muaz dari golongan mereka sendiri yang dipersetujui oleh Nabi Muhammad SAW.

Demikian kisah benar bagaimana Rasulullah SAW menjalankan hukuman terhadap puak atau kaum yang mengingkari perjanjian dengan menyertai pihak musuh. Pengajarannya ialah apabila didapati sahih seseorang atau suatu kumpulan orang yang mengkhianati perjanjian yang telah dipersetujui bersama, maka hukumannya ialah bunuh dan jadi tawanan.

Selasa, 31 Ogos 2010

KISAH ABU JAHAL MENGUJI RASULULLAH

SEBAGAI seorang pemuka Quraisy yang paling hebat menentang Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, Abu Jahal tidak pernah jemu dan patah semangat dalam usahanya menyakiti dan menghalang perjuangan Baginda menegakkan kalimah Allah di kalangan masyarakat Quraisy di kota Mekah. Kepada Abu Jahal, selagi Rasulullah SAW masih hidup selagi itulah Banginda menjadi ancaman besar terhadap diri dan pengaruhnya.

Pada suatu hari Abu Jahal dan rakan-rakannya datang ke rumah Abu Talib, iaitu bapa saudara Nabi Muhammad SAW. Dia mahu melaporkan mengenai kegiatan anak saudaranya itu. Kedatangan Abu Jahal disambut oleh Abu Talib dengan hati yang terbuka.

Setelah dijemput masuk, maka Abu Jahal terus berkata, “ Hai Abu Talib, akhir-akhir ini aku lihat anak saudaramu Muhammad selalu berbuat yang aneh-aneh. Dia menyiarkan agama baru dan mengaku dirinya Nabi. Dia mengumpat Tuhan kita dan nenek moyang kita. Kami masih memaafkan dia kerana menghormati kemuliaanmu. Tapi jika anak saudaramu terus menentang ajaran nenek moyang kita, maka tidak ada jalan lain kecuali kami akan membunuhnya.”

Mendengarkan ancaman Abu Jahal itu, dengan lembut Abu Talib berkata, “Wahai Abu Jahal, duduklah kamu di sini sebentar. Tunggulah sehingga Muhammad balik dan saya akan panggil dia ke mari.”

Tidak lama kemudian, Rasulullah SAW pun datang dan terus duduk di sisi Abu Jahal. Rasulullah telah dapat menduga tujuan kedatangan Abu Jahal ke rumah bapa saudaranya itu.

Setelah mereka bersalaman, Abu Jahal berkata kepada Abu Talib, “Hai Abu Talib,” kata Abu Jahal memulakan bicara. “Kalau benarlah pengakuan anak saudaramu sebagai Rasul, cubalah tunjukkan kepada kami tanda-tandanya.”

Abu Talib menoleh kepada anak saudaranya lalu berkata, “Hai anak saudaraku, bagaimanakah tanggapan kamu terhadap permintaan Abu Jahal itu?”
“Wahai bapa saudaraku,” kata Nabi Muihammad bersuara lembut. “Adakah mereka mahu beriman jika saya sanggup membuktikannya?”
“Sanggup,” jawab Abu Jahal dan rakan-rakannya serentak.
“Sekarang apakah yang mereka kehendaki, wahai bapa saudaraku?” tanya Rasulullah.

Kebetulan di hadapan rumah Abu Talib itu terdapat sebuah batu besar. Sambil menunjuk ke arah batu berkenaan, Abu Jahal berkata, “Hai Muhammad, jika kamu benar-benar utusan Allah, cubalah keluarkan sebatang pokok yang mempunyai dua cabang dari dalam batu itu.”

Sebaik sahaja mendengar permintaan Abu Jahal, lantas Baginda berdoa kepada Allah SWT. Tidak berapa lama kemudian, turunlah Malaikat Jibril memberi salam lalu memberitahu Baginda bahawa Allah SWT telah menerima doanya.

Dengan sekelip mata sahaja batu yang terdapat di hadapan rumah Abu Talib itu terbelah dua. Dan dengan tiba-tiba keluarkah dari batu itu sebatang pokok bercabang dua sebagaimana permintaan Abu Jahal. Mereka yang menyaksikan kejadian itu tersangat kagum.

“Alangkah hebatnya apa yang telah dilakukan olehnya,” kata salah seorang dari mereka. Bagaimanapun mereka masih belum puas hati, lalu meminta pula supaya pokok itu dikembalikan seperti sediakala dan begitu juga dengan batu itu. Belum sempat habis mereka berkata, pokok itu mengecil dan hilang dari pandangan sementara batu besar kembali bertaut.

Abu Jahal dan rakan-rakannya bertambah hairan lalu dia pun berkata, “Alangkah hebatnya sihirmu hai Muhammad.” Sambil mengejek mereka beredar dari rumah Abu Talib.

Moral kisah:
Begitulah sikap manusia yang dihatinya telah bersarang fitnah Sang Iblis. Walaupun segala cabaran dengan mudah dibuktikan, ia masih tidak mahu mengakuinya malah serta merta berdalih dengan tuduhan lain pula. Demikianlah apa yang terjadi kepada puak-puak tertentu di negara kita ini yang tidak pernah mahu menerima kebenaran atau bukti nyata yang terpampang di depan mata.

Walaupun Abu Jahal telah lama mati tetapi, perangai dan sifat Abu Jahal tetap wujud silih berganti di kalangan masyarakat, selagi dunia belum kiamat.

JIBRIL MENCERITAKAN TUJUAN ABU AMIR AL-FASIQ MENDIRIKAN MASJID

HIASAN: Masjid Quba di Madinah

DI MADINAH, sebelum Rasulullah SAW berhijrah, ada seorang lelaki suku Khazraj yang terkenal, bernama Abu Amir. Dia seorang Nasrani yang banyak membaca kitab-kitab peninggalan Injil. Dia terkenal kerana termasuk seorang tokoh masyarakat suku Khazraj.

Setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, dan setelah agama Islam berkembang serta kaum Muslimin menang dalam peperangan Badar, Abu Amir mula menunjukkan penentangan dan memerngi Rasulullah dan kaum Muslimin.

Abu Amir segera pergi ke Mekah berjumpa kafir Quraisy. Dia menceritakan segala usaha dan siasah yang dilakukan Nabi Muhammad di Madinah. Dia mengajak seluruh kafir Quraisy menentang dan memerangi Rasulullah bersama pengikutnya.

Mereka menyusun kekuatan untuk memerangi Nabi. Ketika tercetus perang Uhud, Abu Amir turut serta di pihak kafir. Kebetulan dalam peperangan itu kaum Muslimin menderita kalah kerana tidak patuh terhadap arahan Nabi. Dalam peperangan itu Abu Amir menggali beberapa buah lubang untuk memerangkap pihak Muslimin. Rasulullah SAW terjatuh ke dalam lubang yang digali Abu Amir sehingga Baginda luka, giginya patah dan kepalanya berdarah.

Abu Amir sangat gembira dan segera berjumpa dengan orang-orang Muslimin yang sudah beriman (orang Ansar) dan berusaha mengajak mereka membantunya. Setelah mendengarkan cerita Abu Amir, mereka berkata: “Allah tidak akan menolongmu wahai orang fasik, wahai musuh Allah.” Mereka pun segera meninggalkannya sambil mengejek. Setelah mereka pergi, Abu Amir berkata: “Celaka kamu semua, ternyata kamu sudah menjadi pengikut setia Muhammad sejak aku tinggalkan kamu di Madinah ini.”

Sebelum Abu Amir pergi berjumpa orang kafir Quraisy di Mekah dahulu, Rasulullah telah mengajak dia beriman kepada Allah dan RasulNya serta membacakan Quran kepadanya. Dia menentang dan tidak percaya dengan agama yang dibawa Rasulullah SAW dan dengan angkuhnya bertanya: “ Agama apakah yang tuan bawa?”
Jawab Rasulullah: “Aku membawa agama yang benar iaitu agama Nabi Ibrahim.”
Kata Abu Amir: “Akupun berada dalam agamanya”.
Jawab Nabi: “Engkau tidak berada dalam agamanya.”
“Tidak, engkaulah yang telah memasukkan ke dalam agama yang benar itu sesuatu yang bukan dari agamanya,” balas Abu Amir.
Jawab Nabi: “Tidak, aku tidak memasukkan yang tidak benar tetapi, yang aku bawa ini adalah agama yang suci bersih.”
Berkata lagi Abu Amir: “Biarlah Allah memestikan siapa yang pendusta di antara kita dalam keadaan ianya sebagai petualang, sebatang kara dan terasing.”
Jawab Rasulullah: “Amin Ya Rabbal Alamin.”

Setelah selesai peperangan Uhud dan Abu Amir melihat pengikut Nabi SAW semakin bertambah dan dakwahnya semakin berkembang, dia pergi lagi mencari pengaruh dan sokongan. Kali ini dia pergi berjumpa dengan Raja Rom untuk mengajaknya sama-sama memerangi Rasulullah. Dia menyusun kekuatan di sana dan mengutus surat kepada orang Madinah yang belum beriman. Isi suratnya itu mengatakan bahawa dia akan datang membawa pasukan tentera yang kuat untuk memerangi Rasulullah dan memaksa Baginda menghentikan dakwahnya.

Dalam surat itu juga Abu Amir meminta mereka supaya menyiapkan tempat untuk tenteranya datang. Caranya, mereka mestilah membangunkan sebuah masjid bertujuan mengeliru dan memecah perpaduan kamu Muslimin. Mereka pun membangunkan sebuah masjid bersebelahan Masjid Quba. Masjid inilah yang dinamakan ‘Masjid Dirar (membahayakan)’. Masjid itu selesai dibina sebelum Nabi SAW keluar ke peperangan Tabuk.

Supaya masjid itu dianggap sebagai masjid biasa, mereka menjemput Rasulullah meresminya dengan melakukan solat di dalamnya. Menurut mereka, masjid itu dibangun untuk orang-orang lemah dan uzur yang susah berjalan ke masjid lain pada waktu malam.

Kebetulan ketika itu Nabi SAW mahu berangkat ke peperangan Tabuk, maka Baginda tidak sempat meresmikan masjid yang mereka bina itu. Sebenarnya ini adalah ketentuan Allah SWT yang mahu memelihara hambaNya dari mengerjakan solat di dalam masjid palsu itu. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui.

Ketika itu Rasulullah SAW belum tahu muslihat mereka lalu berkata: “Kami mahu pergi musafir. Kalau sudah pulang nanti InsyaAllah kita sama-sama solat di masjid itu. Setelah Rasulullah pulang daripada peperangan Tabuk, Baginda masih penat. Sehari selepas itu, Malaikat Jibril datang memberitahu keadaan masjid itu dan tujuan mereka membangunnya.

Malaikat Jibril membawa ayat surah Al-Taubah, 107-108 bermaksud: “ Dan orang-orang yang menjadikan (membina) masjid kerana hendak membahayakan (orang Mukmin) dan kerana kufur dan kerana memecah-belah di antara orang yang beriman dan kerana bersiap sedia untuk memerangi Allah dan RasulNya semenjak dahulu lagi. Dan sesungguhnya mereka bersumpah: Tiada lain yang kami kehendaki hanyalah kebaikan. Sedang Allah menyaksikan sesungguhnya mereka sememangnya orang-orang pendusta. Janganlah engkau mendirikan solat di dalamnya untuk selama-lamanya.”

Setelah mengetahui keadaan masjid itu, Rasulullah menyuruh para sahabat yang terdiri dari kaum Ansar dan Muhajirin supaya membakar dan menghancurkan masjid itu.

Bagaimana pula dengan nasib Abu Amir yang hebat memusuhi Rasulullah sesudah Nabi mendoakan dia supaya mati dalam keadaan sebagai petualang, sebatang kara dan terasing itu?

Menurut riwayat, Abu Amir Al-Fasiq telah mati di negeri Syam dalam keadaan terasing dan sebatang kara. Di dunia dia mati dalam keadaan menyedihkan dan di akhirat nanti sudah tentu akan dimasukkan ke dalam neraka, kerana bukan sahaja disebut dalam hadith tetapi, diceritakan di dalam Al-Quran.

Moral kisah:
Demikian kisah seorang fasiq yang membina masjid dengan tujuan memecah-belahkan perpaduan orang Mukmin di zaman Rasulullah SAW, lebih 1,400 tahun lalu. Kini, dizaman kita dan di negara kita, tidak ada individu yang membina masjid untuk tujuan sedemikian tetapi, terdapat golongan ‘dedalu’ yang menguasai masjid untuk tujuan memecah-belahkan umat Islam.

Sabtu, 28 Ogos 2010

SAIDINA ALI MENTAATI KEPUTUSAN HAKIM


KHALIFAH Ali bin Abi Talib, telah kehilangan baju besinya dalam peperangan Shiffin. Selang beberapa hari kemudian, Ali r.a. telah melihat baju besinya dimiliki oleh seorang Yahudi. Ali r.a. menghampiri orang Yahudi itu lalu berkata:
“Baju besi yang ada padamu itu adalah baju aku, aku tidak pernah menjualnya atau memberikan kepada sesiapa pun.”
Berkata Yahudi itu: “ Tidak, baju ini adalah milikku dari dulu.”

Saidina Ali r.a. dan Yahudi itu tetap mempertahankan hak masing-masing. Akhirnya kedua mereka bersetuju untuk menemui hakim Syuraih untuk menyelesaikan masalah mereka. Ketika berada di hadapan hakim, Ali r.a. berhujah mempertahankan haknya dan begitu juga dengan orang Yahudi itu. Masing-masing mengaku sebagai pemilik baju besi berkenaan.
Kata Saidina Ali r.a. “Yang Arif, baju besi yang ada pada orang Yahudi itu milik saya sejak dari dulu lagi.”

Berkata Hakim Syuraih kepada orang Yahudi, “Ali mengatakan baju yang ada padamu itu adalah miliknya, apa hujahmu?.”
Jawab orang Yahudi, “Tidak, baju besi ini adalah milik saya.”
Hakim Syuraih bertanya kepada Ali r.a. “Apakah Amirul Mukminin mempunyai bukti yang mengatakan baju besi itu milik Amirul Mukminin?”
“Ada, saya ada dua orang anak yakni Hasan dan Husin. Mereka memang tahu benar tentang baju besi kepunyaanku itu,” jelas Ali r.a.

Berkata Hakim Syuraih, “Kesaksian anak sendiri terhadap ayahnya tidak boleh diterima sebagai bukti menurut hukum.”
Kata hakim itu lagi, “Oleh kerana Amirul Mukminin tidak dapat mengemukakan dua saksi yang sah, maka aku memutuskan bahawa baju besi ini adalah milik orang yang memegangnya pada masa ini, iaitu orang Yahudi ini.”
Kemudian Hakim Syuraih pun menutup perbicaraan.

Walaupun Saidina Ali r.a. adalah seorang Khalifah yang membolehkan dia mengambil tindakan atau mengenakan tekanan terhadap hakim untuk memenangkan dirinya tetapi, beliau tidak mengambil jalan itu. Sebaliknya, beliau patuh kepada keputusan mahkamah.

Orang Yahudi itu berasa amat hairan dengan sikap Saidina Ali r.a. yang mana beliau sebagai Amirul Mukminin patuh kepada keputusan mahkamah. Orang Yahudi itu juga hairan dengan sikap hakim yang bertindak menurut yang hak dari segi undang-undang, walaupun yang dihadapinya adalah seorang Amirul Mukminin.

Oleh kerana sangat terharu mengenangkan cara dan keputusan mahkamah yang mengikut peraturan Islam, maka orang Yahudi itu berkata kepada Ali r.a. dan Hakim Syuraih, “Aku bersaksi bahawa Islam adalah agama yang benar dan adil.”
Ketika itu juga orang Yahudi itu memeluk Islam dan mengembalikan baju besi kepunyaan Saidina Ali.

Menyentuh mengenai hakim, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Hakim itu ada tiga golongan. Satu golongan masuk syurga dan dua golongan lagi masuk neraka. Golongan yang masuk syurga ialah hakim yang mengetahui kebenaran, lalu dia memutuskan dengan benar, maka dia masuk syurga. Hakim yang tahu kebenaran tetapi, dia dengan sengaja buat tidak tahu, maka dia masuk neraka. Dan seorang hakim yang memutuskan perkara tanpa ilmu, maka ia juga masuk neraka.”

Sementara dalam surah Al-Nahl, ayat 90, Allah SWT berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan serta memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar kamu mengambil pelajaran.”

Khamis, 26 Ogos 2010

MALAIKAT MENGUJI SEORANG LELAKI

LAITH bin Saad bercerita, bersumber daripada Ismail bin Nafi’ dari seseorang yang bercerita kepadanya bahawa ada dua bersaudara yang kaya raya. Seorang soleh, sementara yang seorang lagi berakhlak buruk. Pada suatu waktu, orang yang soleh itu menerima musibah. Perniagaannya merosot dan dia jadi papa. Tidak ada apa yang ada padanya melainkan seorang isteri yang sangat cantik.

Dalam keadaan itu, pergilah si soleh itu berjumpa saudaranya yang berperangai buruk untuk mendapatkan bantun. Dia meminta diberikan sebarang kerja sebagai balasan kepada bantuan itu.

Kata saudaranya yang jahat, “ Mudah sahaja bagiku memberikan pertolongan kepadamu. Asalkan kamu sedia menyerahkan isterimu yang cantik itu untuk menemani aku tidur barang semalam. Dan engkau akan aku berikan wang seratus dinar.”

Mendengarkan jawapan saudaranya, si soleh terus meninggalkan saudaranya pulang kerumah untuk menceritakan syarat yang dikehendaki saudaranya.
Si isteri berkata: “Gila! Sungguh kamu keterlaluan , tidak sabar menerima musibah yang menimpa kita, hinggakan engkau sanggup meminta pertolongan daripada saudaramu yang berperangai buruk lagi jahat itu. Padahal kamu mengetahui bagaimana kelakuanku. Tolak sahaja keinginannya. Aku tidak rela. Semoga Allah akan membukakan yang lebih baik bagi kita.”

Lama si soleh berfikir mencari jalan usaha. Akhirnya dia memutuskan untuk berjualan air minuman. Dan dari hasil itulah, hari demi hari keluarganya dapat rezeki untuk makan.

Pada suatu hari, ketika dia sedang pergi, bekas tempat dia menyimpan air minuman jatuh dan pecah. Setelah mengetahui hal itu, dia duduk di depan pintu rumahnya, melamun sendirian. Fikirannya menerawang. Dia ragu-ragu untuk masuk ke dalam rumahnya untuk menemui isterinya tanpa membawa sesuatu hasil.

Setelah lama berada dalam kebingungan, dia memutuskan beredar meninggalkan rumahnya. Dengan langkah perlahan dia berjalan menuju sungai untuk mandi, kemudian terus solat bermunajat kepada Allah SWT. Dalam munajatnya si soleh berkata: “ Ya Allah, bila ada pada sisiMu bahagianku di akhirat, maka segeralah Engkau datangkan hal itu ke dunia ini sebagai rezeki untukku dan isteriku.”

Tidak lama selepas itu, datanglah awan berarak mengelilingi dan menyelubunginya. Dari gumpalan awan itu, jatuhlah sebutir mutiara yang tidak dalam kategori benda dunia. Dengan senyum penuh gembira dihampirinya mutiara itu lalu mengambilnya. Kemudian dia pergi ke rumah saudaranya untuk menceritakan pemgalamannya sambil memperlihatkan muatiara berkenaan.

“Biarlah benda ini aku beli darimu dengan tiga ribu dinar,” kata saudaranya yang berkelakuan buruk.
“Nanti dulu, aku akan mesyuarat dengan isteriku,” jawab si soleh.
Lelaki itu pun segera pulang ke rumah dan menceritakan peristiwa yang dilaminya. Demikian juga dengan keinginan saudaranya membeli benda itu.
“Kekanda, perbuatan kamu itu sangat tidak baik. Kamu tidak sabar menerima musibah Allah, Kamu meminta kepadaNya untuk disegerakan simpanan abadi yang akan kita nikmati di alam baqa. Tidak! Aku tidak rela menerimanya, apa lagi menjualkannya kepada orang lain,” kata isteri si soleh.
“Adinda, keputusan itu aku ambil kerana keperluan yang mendesak. Kalau begitu, apa yang harus aku lakukan?,” tanya si suami.

“Kembalikan sahaja ke tampat tadi. Lakukan seperti apa yang telah engkau lakukan. Berdoalah kepada Allah agar Dia berkenan mengambil kembali muatiara itu,” kata si isteri.

Maka pergilah lelaki soleh itu memenuhi cadangan isterinya. Setelah itu dengan hati sedih dan duka, dia kembali. Sesampai di muka pintu rumahnya, dia duduk melamun lagi. Dia mengenagkan dirinya yang tidak membawa apa-apa untuk isterinya yang tercinta. Dia tidak berani menemui isterinya, sekalipun dia tahu isterinya seorang solehin dan tabah menghadapi cubaan di dunia.

Ketika kekalutan sedang menyelubungi dirinya, tiba-tiba datanglah seorang lelaki. Dia bertanya dengan suara yang menyentak lamunannya.

“Tuan boleh menunjukkan kepadaku orang yang jujur dan soleh di daerah ini, yang boleh memegang amanah? Aku akan memberinya amanah berupa benih tumbuhan dan beberapa ekor lembu sehingga dia dapat menyara hidupnya dan memberi nafkah kepada keluarganya. Mampu memberi sedekah dan membeli pakaian. InsyaAllah, sesuadah itu, pada waktu ditentukan aku akan datang untuk mengambil bahagianku,” kata lelaki itu.

Mendengarkan kata-kata lelaki yang datang dengan tiba-tiba itu, si soleh jadi tertarik. Dia cuba memberanikan diri, seraya berkata: “Demi Allah, barangkali akulah orang yang dapat memegang amanah itu. Aku ingin berusaha menjadi orang jujur dan berlaku soleh seperti yang tuan kehendaki, sekiranya tuan mempercayakan amanah itu kepadaku.”

“Baiklah, urus dan tanamlah benih ini. Pelihara pula lembu ini, kalau kamu mengetahui caranya. Dari lembu ini akan lahir seekor anak kuda,” kata lelaki itu.

Maka dia mulai bekerja, bercocok tanam sambil memelihara lembu sehingga hasil tanamannya melimpah ruah dan lembu itu membiak dengan cepat. Setelah beberapa tahun dia melakukan tugas itu kekayannya pun pulih kembali, hartanya banyak. Ketika itu datanglah lelaki yang memberikan amanah kepadanya dahulu.

“Kenalkah kamu kepadaku?,” tanya orang itu.
“Tidak,” jawabnya.
“Apa benar? Apakah ini kemungkinan awal ketidakjujuran dan pengkhianatan yang akan kamu lakukan?”
“Tuan jangan berbicara sesuka hati. Berkatalah dengan kata-kata yang sedap di dengar. Semoga Allah merahmatimu. Siapa tuan ini?” kata petani itu.

“Aku adalah orang yang memberikan amanah kepadamu, yang punya benih dan lembu dahulu.”
“Selamat datang tuan.”
“Apakah yang telah kamu lakukan dengan amanah yang aku berikan itu?”
“Tuan lihat bukti itu. Tanah yang terbentang luas itu bahagianmu.”
“Lalu bagaimana pula dengan anak-anak kuda yang dilahirkan oleh lembu itu,” tanya lelaki itu.
“Demi Allah tuan. Tidak mungkin ada di dunia ini lembu beranakkan kuda. Sekiranya apa yang tuan katakan itu benar, semestinya tuan melihat di sini banyak kuda berkeliaran,” jawab petani.

“Kamu mulai berkhianat dan tidak jujur. Ini petanda bahaya besar. Tidak! Aku tetap menuntut kuda darimu. Kalau dirimu tidak jujur, akan aku adukan kepada Hakim. Segera pilih mana hakim yang kamu suka, biar perkara ini segera dapat dibereskan.”

Maka berangkatlah mereka menghadap hakim yang boleh dipercayai masyarakat ketika itu. Setelah berada di hadapan hakim, si petani mengemukakan masalahnya. Dia dituduh mengkhianat.
“Demi Allah, lembu tidak pernah beranakkan kuda,” katanya membela diri.
“Kalau memang ada kuda itu, tentu aku akan menyerahkan kepadanya,” sambung si petani.

Sebelum hakim membuat keputusan, lelaki yang menuntut memberikan rasuah secara rahsia kepada hakim. Akhirnya, hakim memutuskan si petani mesti memnyerahkan kuda kepada yang menuntut haknya itu. Petani tidak puas hati dan mereka pergi berjumpa hakim lain untuk mengadili masalah sama. Sampai tiga orang hakim mereka temui, semuanya memenangkan lelaki yang menuntut itu kerana rasuah yang diberikannya.

Akhirnya, mereka bersetuju untuk menghadap Nabi Daud. Sebelum mereka berjumpa Nabi Daud mereka terlebih dahulu berjumpa dengan Nabi Sulaiman, iaitu anak Nabi Daud. Lalu mereka mengadukan masalah.
“Lembuku melahirkan seekor kuda. Tetapi ketika aku bermaksud hendak mengambilnya, dia menyembunyikan dan mengatakan tidak ada,” jelas lelaki itu.
Mendengarkan pengaduan itu, Nabi Sulaiman berkata: “Betulkah kuda yang dilahirkan lembumu? Sekarang, pergi taburkan padi ini di sungai. Bila dia tumbuh, berikan kepadaku!”
“Apakah benih padi ini dapat tumbuh di sungai?” tanya lelaki itu kehairanan kepada Nabi Sulaiman.
“Sekarang pulanglah. Kamu wahai petani, adalah benar. Jujur dalam memegang amanah,” jelas Nabi Sulaiman.
“Seorang Nabi telah memutuskan perkara ini dengan adil,” kata petani yang soleh itu.

“Sesungguhnya aku adalah malaikat yang diutus Allah untuk menguji para hakim. Allah SWT telah membutakan pandangan mereka, maka lihat dan perhatikanlah sifat mereka, nescaya kamu akan tahu siapa mereka sebenarnya. Tidak lebih adalah syaitan-syaitan. Sekarang, kekayaan itu semua milikmu. Aku tidak minta sedikit pun, “tegas lelaki itu.

Pengajaran:
Kisah ini menceritakan bagaimana tabahnya suami isteri yang soleh menghadapi dugaan dari penciptanya, Allah SWT. Dalam keadaan terdesak bagaimana sekalipun mereka tetap sabar dan taat kepada Khaliknya. Si suami tidak sanggup menggadaikan isterinya semata-mata kerana mahukan kesenangan di dunia. Begitu juga dengan si isteri yang jauh lebih tabah daripada suaminya tetap sabar dan tidak rela dijadikan barang gadaian. Akhirnya, mereka berjaya dan kembali kaya raya dengan pertolongan Allah SWT.

Bagaimana dengan sesetengah manusia di zaman sekarang? Bukan sahaja ada yang sanggup menggadaikan isterinya demi kekayaan dunia dan kedudukan malahan, berkongsi isteri pun ada yang sanggup melakukannya. Bukan semalam dua tetapi berterusan selagi diperlukan.

Isnin, 23 Ogos 2010

NABI MUSA MENERIMA TEGURAN JIBRIL

PADA suatu senja yang lengang, terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-hayang. Pakaiannya yang serba hitam menandakan dia berada dalam dukacita yang mencengkam.Tudungnya menutup rapat hampir seluruh wajahnya yang tidak mengenakan sebarang solekan dan penghias muka. Kulitnya yang bersih dan badannya yang langsing serta roman muka yang ayu, tidak dapat menghapus kesan kepedihan yang melanda hidupnya.

Dia melangkah terseret-seret mendatangi tempat tinggal Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu rumah perlahan-lahan sambil mengucapkan salam. Maka terdengarlah jawapan dari dalam rumah berkata: “Silakan masuk!”

Perempuaqn cantik itu lalu berjalan masuk sambil kepalanya terus tunduk. Air matanya berderai tatkala ia berkata: “Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni dosa keji saya. Saya ketelanjuran.”
“Apakah dosamu, hai wanita?” tanya Nabi Musa dalam nada terkejut.
Dengan suara yang tersekat-sekat, perempuan itu bercerita: “ Saya.... saya.... telah berrr..zina.”
Nabi Musa mengangkat kepalanya dan hatinya tersentak.

Perempuan itu meneruskan ceritanya: “Dari perzinahan itu saya punnn.. hamil. Setelah anak itu lahir, langsung saya.... sayaaa.... cekik lehernya sampai... matiii.....” diikuti tangisan sekuat-kuat hatinya.

Nabi Musa jadi marah. Matanya bagaikan berapi. Dengan muka yang berang ia mengherdik, “Perempuan hina! Pergi kamu dari sini! Agar seksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergiiii...! pergiiii...!,” Nabi Musa mengherdik sambil matanya menjeling tanda jijik.

Perempuan berwajah ayu itu dengan hati yang hancur, bagaikan kaca terhempas ke batu, segera bangun dan melangkah pergi dari rumah Nabi Allah itu. Ratap dan tangisannya amat memilukan. Dia tidak tahu kemana lagi tempat untuknya mengadu. Bahkan tidak tahu kemana hendak dibawa dirinya.

Apabaila seorang Nabi Allah seperti itu telah menolaknya, bagaimana pula dengan manusia biasa yang lain menerimanya? Terbayang olehnya betapa besar dosanya. Betapa jahat perbuatannya.

Dia tidak tahu sepeninggalannya, malaikat Jibril a.s. turun datang mengunjungi Nabi Musa.

Ruhul Amin Jibril bertanya: “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang mahu bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu ada dosa yang jauh lebih besar dari itu?”
Nabi Musa terperanjat. Dosa apakah yang jauh lebih besar dan keji daripada wanita penzina dan pembunuh itu? Dengan perasaan ingin tahu, Nabi Musa bertanya: “Betulkah ada dosa yang lebih besar dari dosa perempuan yang nista itu?”

“Ada,” jawab Jibril dengan tegas.
“Dosa apakah itu?” tanya Nabi Musa.
“Dosa orang yang meninggalkan solat dan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu lebih besar dosanya daripada seribu kali berzina.”

Mendengarkan penjelasan itu, Nabi Musa pun memanggil wanita itu untuk menghadap kembali kepadanya. Ia mengangkat tangan dengan khusyuk untuk berdoa memohonkan keampunan kepada Allah SWT bagi pihak wanita berkenaan.

Nabi Musa sedar bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama seperti berpendapat bahawa solat itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya. Anggapan itu bererti meremehkan perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan tidak punya hak untuk mengatur dan memerintah hambaNya.

Manakala orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan bersungguh-sungguh pula, bererti dia masih mempunyai iman di dadanya. Itu tandanya orang itu yakin bahawa Allah itu Maha Kuasa serta dia pun ingin kembali taat kepada Tuhannya. Itulah sebabnya Allah SWT menerima kedatangannya.

Nota:
Kisah ini jangan disalah ertikan sebagai berzina itu lebih baik daripada meninggalkan solat. Perbuatan zina tetap berdosa. Apa yang mahu ditegaskan dalam kisah ini ialah bahawa solat itu amat penting – tiang agama. Dan kesalahan kerana meninggalkan solat wajib dengan sengaja serta tanpa kesal itu paling besar dosanya, bertujuan supaya kita semua jangan meninggalkan solat sesuka hati tanpa sebab.

Dan kalau kita bersolat dengan benar-benar khusyuk kerana Allah SWT, InsyaAllah perbuatan zina tidak akan datang menghampiri kita. Allah SWT akan selamatkan kita daripada melakukan dosa itu serta dosa-dosa besar yang lain.
Wallahhualam.....

TIGA MALAIKAT JADI TETAMU NABI LUTH

ADA golongan orang yang dalam keadaan sedar melanggar batas-batas ketentuan Tuhan tetapi, masih tetap melanggarnya dan berpura-pura pula bertanya konon tidak tahu, pada hal mereka mengetahuinya. Pertanyaan mereka hanyalah mempersendakan perintah-perintah Allah SWT yang diwajibkan ke atas dirinya.

Untuk itu Allah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah daripada itu. Adapun orang-orang yang beriman maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan : ‘Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?’ Dengan perumpamaan itu pula ramai orang yang diberiNya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik.” – Al-Baqarah, ayat 26.

Contoh teladan yang bertepatan dengan ayat berkenaan iaialh perihal isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth. Mereka adalah orang yang hidup bersama suami mereka yang memegang tanggungjawab sebagai seorang Nabi. Mereka mengetahui secara langsung melalui suami mereka akan kebenaran wahyu daripada Allah SAW, namun mereka tetap tidak mengendahkannya. Malahan membantu pula orang-orang yang kafir dan fasik lainnya, yang akhirnya isteri kedua-dua Nabi tersebut mati dalam bencana yang diturunkan Allah SWT.

Firman Allah SWT, maksudnya: “Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami, lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, maka kedua suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikit pun dari (siksaan) Allah SWT, dan dikatakan kepada keduanya: “Masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk neraka.” – At Tahrim, ayat 10.

Menurut Ibnu Abbas, isteri Nabi Nuh kadang kala ikut mencela suaminya dengan mangatakan bahawa Nabi Nuh gila dan sebagaimnya. Sementara isteri Nabi Luth pula tidak mempedulikan dakwah suaminya yang menentang kaumnya yang mengamalkankan ‘homoseks’ itu. Malahan dialah yang memberitahu kepada penduduk bahawa rumahnya ada pemuda yang cantik, yang datang sebagai tetamu, sehingga mereka datang untuk memiliki pemuda tersebut, pada hal tetamu itu sebenarnya adalah malaikat.

Nabi Luth dalam dakwahnya mendapat tentangan hebat dari kaumnya sehingga sampai kepada satu tahap bahawa kaumnya memang tidak mahu lagi diajak kepada kebenaran. Akhirnya Nabi Luth pun berdoa kepada Allah SWT supaya kaumnya ditimpa bencana di dunia ini sebelum ditimpa bencana yang lebih pedih lagi di akhirat nanti.

Oleh Allah dikirimkan tiga Malaikat menyamar sebagai tiga orang tetamu biasa, memberitahu kepada Luth bahawa Nabi Ibrahim telah dikurniakan anak yang bernama Ishak. Kemudian Malaikat tersebut menyampaikan kepada Luth bahawa dia adalah utusan Allah untuk menurunkan azab kepada kaum Luth di kota Sadum.

Nabi Luth berpesan kepada isteri dan kedua puterinya supaya merahsiakan kedatangan tetamu-tetamunya itu, jangan sampai diketahui oleh kaum-kaumnya. Tetapi isteri Nabi Luth yang fasik itu, sehaluan dengan pendirian penduduk Sadum (pengamal homoseks) telah memberitahukan tentang kedatangan para pemuda yang gagah dan perkasa itu.

Terbuktilah apa yang dibimbangkan oleh Nabi Luth. Mereka (pengamal homoseks) semua datang ke rumah Luth untuk melihat tetamunya itu serta mahukan pemuda-pemuda itu untuk memuaskan Hawa nafsu mereka. Nabi Luth tidak membuka pintu rumahnya dan berseru kepada mereka yang datang agar kembali ke rumah masing-masing dan tidak mengganggu tetamunya itu.

Seruan Nabi Luth tidak mereka endahkan, bahkan mereka berusaha untuk memecah pintu rumah Nabi Luth pula. Akhirnya Nabi Luth berterus terang dengan tetamu-tetamunya yang tiga orang itu: “Sesungguhnya aku tidak berdaya lagi untuk menentang mereka, aku sangat malu sebagai tuan rumah tidak dapat menghalang gangguan terhadap tetamu-tetamuku di rumah ku sendiri.”

Kemudian tetamu-tetamu itu pun memperkenalkan dirinya bahawa mereka adalah para malaikat yang diutus oleh Allah SWT untuk membinasakan kota Sadum bersama penghuninya yang ingkar. Dan dia menyuruh Nabi Luth supaya pintu rumah tersebut dibuka. Ketika pintu dibuka mereka semuanya meluru masuk, ketika mereka melangkah kaki untuk masuk ke dalam rumah, tiba-tiba pendangan mereka menjadi gelap, tidak kelihatan satu apa pun, ternyata mereka semua jadi buta.

Dalam keadaan yang tidak menentu itu, malaikat tadi pun berseru kepada Nabi Luth agar segera meninggalkan kota itu bersama keluarganya, sebab azab Allah telah hampir tiba menimpa mereka semua. Malaikat itu berpesan kepada Luth serta keluarganya, ketika dalam perjalanan meninggalkan kota ini jangan ada seorang pun dari mereka melihat ke belakang.

Maka Nabi Luth dan keluarganya pun meninggalkan kota Sadum pada tengah malam dengan tidak menoleh ke kiri dan ke kanan apa lagi menoleh ke belakang. Tetapi, isterinya merasa sedih meninggalkan kaumnya, ia berjalan di sebelah belakang. Tidak henti-hentinya dia menoleh ke belakang kerana ingin mengetahui bencana apa yang akan menimpa kaumnya.

Ketika fajar menyingsing dan ketika langkah Nabi Luth berserta puteri-puterinya melewati sempadan kota Sadum, bergoncanglah bumi dengan dahsyatnya dari bahagian bawah bandar. Isteri Nabi Luth yang fasik itu tidak terkecuali daripada menerima akibatnya. Dia turut hancur dan terkubur di dalam azab Allah tersebut. Angin kencang berserta hujan batu itu dengan serta merta menghancurkan bumi Sadum yang subur itu.

Begitulah gambaran bencana yang akan di terima oleh orang-orang yang ingkar (pengamal homoseks), serta nasib orang yang fasik seperti isteri Nabi Luth yang bersekongkol dengan kaumnya yang fasik. Dia tahu akan kebenaran tetapi, tidak melaksanakan dan mengikuti kebenaran tersebut.

(Kisah ini dapat di rujuk dalam al-Quran surah al-Anbiya: 74/75; Asysyu’ara: 160-175. Surah Hud: 77-83. Surah al-Qamar: 33-39 dan At Tahrim: 10)

Moral kisah:
Begitulah akibat seorang isteri yang mengatahui apa yang ditegah dan dilarang oleh Allah SWT tetapi, buat-buat tak tahu malah bersekongkol dengan kaum homoseks yang dilaknat Allah. Akhirnya, dia dihukum oleh Allah SWT dengan hukuman yang menghancurkan kaum Nabi Luth itu. Dia hancur dan mati terkubur bersama kaumnya yang zalim.

Maksudnya, sesiapa yang bersekongkol dengan pengamal homoseks sedangkan dia tahu apa yang diamalkan itu salah dan melanggar perintah Allah SWT, maka dia juga turut serta menerima hukuman setimpal dari Hakim Rabbul Jalil.

Dikhabarkan bahawa Bandar Sadum yang jadi tempat tinggal kaum Nabi Luth itu telah diterbalikkan para malaikat dengan perintah Allah SWT hingga menjadi laut. Dan laut yang dimaksudkan ialah Laut Mati yang ada sekarang. Ianya kekal wujud sebagai peringatan dari Allah SWT untuk mereka yang mahu beringat dan menginsafi kebesaran Allah SWT.

Ahad, 22 Ogos 2010

JIBRIL MENJUAL UNTA KEPADA SAIDINA ALI


PADA suatu hari, Saidina Ali ra balik dari menziarahi Rasulullah SAW. Beliau terus ke rumahnya dan di dapati isterinya, Fatimah ra sedang duduk memintal bulu biri-biri, sementara Salman al-Farisi sedang meleraikan bulu-bulu tersebut. Saidina Ali ra berkata: “ Wahai perempuan yang mulia, adakah sesuatu makanan untuk suamimu ini?”

Jawab Fatimah: “ Wahai suamiku, demi Allah aku tidak mempunyai sesuatu apa yang dapat kuberikan untukmu makan tetapi, aku mempunyai enam dirham yang diberikan oleh Salman al-Farisi sebagai upah memintal. Dan wang ini aku bercadang untuk membeli makanan untuk Hasan dan Husin.”
“Wahai perempuan yang mulia, berikanlah kepadaku wang yang enam dirham itu,” pinta Ali ra.

Sebaik sahaja menerima arahan Ali, maka Fatimah pun memberikan wang tersebut supaya Ali dapat membeli makanan untuk anak-anak mereka. Di pertengahan jalan, Ali ra bertemu seorang lelaki yang berkata: “Siapakah yang hendak meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik.”

Sebaik sahaja Ali mendengarkan kata-kata orang itu, dia terus memberikan wang yang enam dirham di tangannya itu. Setelah memberikan wang tersebut kepada lelaki itu, dia pun pulang ke rumah dengan tangan kosong. Apabila Fatimah melihat Ali pulang dengan tangan kosong, lalu beliau menangis.

Berkata Saidina Ali ra: “Wahai perempuan yang mulia, kenapakah kamu menangis?”
“Wahai suamiku, aku menangis sebab engkau tidak membawa apa-apa,” jawab Fatimah ra.
Kata Ali: “ Wahai perempuan yang mulia, sebenarnya wang enam dirham tadi telah kupinjamkan kepada Allah SWT.”
Sebaik mendengarkan kata-kata suaminya itu, Fatimah berkata: “Benarkah begitu?”

Setelah menjelaskan duduk perkara sebenarnya kepada Fatimah, Ali ra pun pergi menuju ke rumah Rasulullah SAW. Dalam perjalanan, Ali bertemu pula dengan seorang lelaki yang berjalan membawa seekor unta. Apabila Ali sampai dekat lelaki itu, maka berkata lelaki itu: “Wahai bapa Hasan, belilah unta ini.”

Oleh kerana Saidina Ali ra tidak mempunyai wang, maka berkatalah ia: “Sebenarnya aku tidak mempunyai apa-apa untuk membeli untamu itu.”
Kata lelaki itu: “Beginilah, aku jualkan unta ini kepada kamu dengan harga 100 dirham. Dan wangnya bolehlah kamu bayar kemudian.”

Memandangkan lelaki itu tidak meminta wang dahulu, maka Ali pun setuju dengan tawaran itu dan berkata: “Kalau begitu aku setuju membeli unta ini dengan harga 100 dirham.”

Setelah unta tersebut dibeli, datang pula seorang lelaki lain lalu berkata: “Wahai bapa Hassan, apakah kamu hendak menjual unta ini?”
“Ya, memang aku hendak menjualnya.”
“Berapa harganya?”
“300 dirham,” jawab Ali.
“Baiklah aku beli unta ini dengan harga 300 dirham,” kata lelaki itu sambil membayar wangnya kepada Ali ra.

Selesai sahaja urusan jual beli itu, Saidina Ali pun pulang ke rumah dengan tersenyum-senyum. Melihatkan telatah Ali itu isterinya, Fatimah bertanya: “Wahai bapa Hasan, apakah sebabnya tersenyum sangat?”
Saidina Ali ra pun menceritakan dari mula hingga akhir kisah jual beli unta itu. Setelah selesai mendengar kata-kata suaminya, maka berkata Fatimah: “Wahai suamiku, sebenarnya kamu telah mendapat taufiq.”

Kemudian Ali ra pun terus pergi menemui Rasulullah SAW. Apabila Ali masuk ke dalam masjid, Rasulullah memandang beliau sambil tersenyum. Sebaik sahaja Ali memberi salam, Rasulullah SAW berkata: “Wahai Ali, apakah kamu hendak menceritakan kepadaku atau aku yang menceritakannya kepada kamu?” Oleh kerana Ali ra tahu bahawa baginda Rasulullah lebih mengetahui, maka kata Ali: “Ya Rasulullah, eloklah baginda sahaja yang menceritakannya.”

Bersabda Rasulullah: “Wahai bapa Hasan, tahukah kamu siapakah yang menjual unta kepada kamu dan siapakah yang membeli unta itu dari kamu?”
“Allah dan RasulNya sahaja yang lebih mengetahuinya,” jawab Ali.
“Wahai Ali, kamu sungguh beruntung kerana kamu berikan pinjaman kepada Allah SWT enam dirham. Sebagai balasannya Allah SWT memberikan kepada kamu 300 dirham. Orang yang menjual unta itu ialah Jibril as, dan orang yang membelinya pula ialah Israfil as.”

Kisah Saidina Ali ra ini bukanlah bermaksud bahawa Allah SWT itu memerlukan wang atau Allah SWT memerlukan pertolongan dan bantuan dari makhlukNya tetapi, ini adalah satu ujian Allah terhadap seseorang yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah SWT tidak memerlukan walau setitik pun bantuan dari makhlukNya, sebaliknya makhlukNyalah yang memerlukan bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT.

Setiap orang, akan diuji oleh Allah SWT, ada yang diberikan kekayaan, pangkat dan jawatan, miskin dan sebagainya. Walau apa pun yang diberikanNya, di akhirat nanti semua itu akan disoal kembali. Beruntunglah orang yang taat kepada Allah SWT dan rugilah mereka yang tidak mengingati Allah, baik yang kaya atau pun yang miskin.

Dunia ini ialah tempat kita menghadapi ujian, lulus atau tidak seseorang itu hanya akan diketahuinya di akhirat nanti. Hanya Allah SWT sahaja yang akan memberi kita balasan, sama ada balasan ke syurga atau ke neraka. Oleh itu hendaklah kita benar-benar taatkan Allah SWT.

PERTENGKARAN ANTARA DUA MALAIKAT

BERSABDA Rasulullah SAW, “Sesungguhnya tidak ada dosa yang tidak diampuni oleh Allah.”

Sabda Baginda lagi: Ada seorang umat sebalum kamu, telah membunuh 99 orang. Kemudian orang itu pergi berjumpa dengan seorang pendita lalu katanya: “Wahai pendita, saya telah membunuh 99 orang. Apakah ada jalan bagi aku bertaubat?”
Jawab pendita: “Tidak ada, sebab perbuatan kamu itu telah melampaui batas.”
Mendengarkan kata-kata itu, lantas dia bangun dan membunuh pendita itu.

“Sesudah itu, orang itu pergi pula berjumpa dengan seorang pendita lain lalu bertanya: “Saya telah membunuh 100 orang. Apakah ada jalan bagi saya bertaubat?”

Kata pendita: “Sebenarnya perbuatan kamu itu sudah melampau batas tetapi, aku tidak tahu kedudukan diri kamu yang sebenar di sisi Tuhan. Adalah lebih baik kamu pergi ke kampung yang bernama Busro dan satu lagi bernama Kafrah.

“Penduduk Busro terdiri daripada orang-orang yang baik dan selalu mengerjakan amal kebajikan dan amalan ahli syurga. Sementara di kampung bernama Kafrah, penduduknya terdiri daripada orang-orang yang suka berbuat derhaka dan membuat amalan ahli neraka.”
Jelas pendita itu lagi: “Apabila kamu pergi ke Busro, janganlah kamu risau adakah taubat kamu itu akan diterima atau tidak.”

Oleh kerana orang itu fikirannya tidak lain semata-mata untuk bertaubat, maka ia pun menuju ke Busro. Ketika sampai di pertengahan simpang antara Busro dan Kafrah, ditakdirkan Allah orang itu pun mati mengejut di situ.

Maka turunlah Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab sambil bertengkar memutuskan sama ada orang itu mahu dimasukkan ke syurga atau ke neraka. Lalau kedua Malaikat bertanyakan ketentuannya kepada Allah.

Dan Allah memerintahkan kedua Malaikat supaya pergi mengukur jarak antara tempat si mati itu mati dengan dua perkampungan berkenaan. Kampung mana yang paling dekat dengan tempat orang itu mati, maka masukkanlah dia ke dalam golongan orang-orang kampung itu.

Kedua-dua Malaikat itu pun pergilah mengukur jarak sebagaimana di perintahkan oleh Allah SWT. Apabila selesai diukur, di dapati orang itu mati dekat dengan perkempungan Busro dengan kadar dekatnya hanya selebar ibu jari, maka ia pun dicatat dalam golongan orang-orang kampung Busro.” Demikian Rasulullah mengakhiri ceritanya.

Khamis, 19 Ogos 2010

JIBRIL MEMBERITAHU TENTANG DITERIMA TAUBAT LELAKI BERDOSA

DIRIWAYATKAN, pada suatu hari Umar ra dijumpai Rasulullah SAW sedang menangis. Maka bertanya Rasulullah: “Wahai Umar, apakah yang membuatkan engkau menangis?”
Jawab Umar: “ Ya Rasulullah, ada seorang pemuda di muka pintu ini yang telah membakar hatiku.”
“Bawakan dia masuk,” kata Rasulullah. Lalau Umar membawa pemuda itu masuk sambil menangis.

Bertanya Rasulullah, “Apakah yang telah engkau lakukan sehingga engkau menangis begini?”
Jawab pemuda: “Wahai Rasulullah, aku telah melakukan dosa yang sangat besar! Aku sangat takut kepada Allah SWT yang sangat murka kepadaku.”
“Apakah kamu mempersekutukan Allah?”
“Tidak, ya Rasulullah.”
“Adakah kamu membunuh jiwa yang kamu tiada hak membunuhnya?”
“Tidak, ya Rasulullah.”

Bersabda Rasulullah: “Allah SWT akan mengampunkan dosa kamu walaupun sebesar tujuh petala langit dan bumi dan bukit-bukit.”
“Wahai Rasul Allah, aku telah melakukan dosa yang lebih besar dari langit, bumi dan bukit-bukitnya,” kata pemuda itu.
“Apakah dosa kamu itu lebih besar daripada Al-Kursyi?”
“Dosaku lebih besar lagi”
“Apakah dosamu lebih besar dari Arasy?”
“Dosaku lebih besar lagi.”

Rasulullah terus bertanya: “Apakah dosamu itu lebih besar daripada dimaaf oleh Allah SWT?”
“MaafNya lebih besar,” jawab pemuda itu.
Sabda Rasulullah: “Sesungguhnya tidak dapat mengampunkan dosa besar kecuali Allah yang Maha Besar, yang besar pengampunanNya.
“Katakanlah wahai pemuda, dosa apakah yang telah kamu lakukan?”
“Aku malu hendak memberitahumu, ya Rasulullah.”

Kemudian Rasulullah bertanya dengan nada suara yang agak tinggi: “Beritahu aku apakah dosamu itu?”
Jawab pemuda: “Begini ya Rasulullah, kerjaku adalah sebagai penggali kubur. Telah tujuh tahun akau melakukan kerja ini. Pada suatu hari, aku menggali kubur seorang gadis dari kaum Ansar. Setelah aku menanggalkan kain kafannya, maka aku tinggalkan dia.”

“Tidak jauh aku meninggalkannya, maka naiklah nafsuku. Oleh kerana tidak dapat menahan nafsu, aku kembali kepada mayat tersebut lalau aku menyetubuhinya. Setelah aku memuaskan nafsuku, maka aku tinggalkan dia.

“Belum pun jauh aku meninggalkannya, tiba-tiba mayat gadis itu bangun dan berkata: “Celaka betul kamu wahai pemuda! Tidakkah kamu berasa malu kepada Tuhan yang akan membalas pada hari pembalasan kelak! Bila tiba masanya setiap orang yang zalim akan dituntut oleh yang teraniaya! Kau biarkan aku telanjang dan kau hadapkan aku kepada Allah SWT dalam keadaan junub.”

Mendengarkan penjelasan pemuda itu, Rasulullah SAW bangun dan bersabda: “Hai orang yang fasik! Memanglah layak kamu masuk neraka dan keluarlah kamu dari sini.” Maka keluarlah pemuda itu.

Selama 40 hari dia memohon ampun kepada Allah SWT dan pada malam ke 44, dia mendongak ke langit sambil berkata: “Ya Allah, Tuhan kepada Rasulullah, Nabi Adam dan Hawa, jika Engkau telah mengampunkan aku, maka beritahulah kepada Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Jika tidak kiramkan kepadaku api dari langit dan bakarlah aku di dunia ini dan selamatkan aku dari siksa akhirat.”

Tidak berapa lama selepas peristiwa itu, turunlah Malaikat Jibril menghadap Rasulullah. Selepas memberi salam, Jibril berkata: “Wahai Muhammad, Tuhammu memberi salam kepadamu.”
“Dialah Assalam dan daripadanya salam dan kepadanya segala keselamatan,” jawab Rasulullah.

Berkata Jibril: “Allah SWT bertanya, apakah kamu yang menjadikan makhluk?”
Jawab Rasulullah: “ Dialah Allah yang menjadikan segala makhluk.”
“Apakah kamu yang memberi rezeki kepada makhluk?”
“Dialah Allah yang memberi rezeki kepada aku dan makhluk-makhluk yang lain.”
“Apakah kamu yang memberi taubat kepada mereka?”
“Dialah Allah yang menerima taubat dariku dan mereka.”

Akhirnya berkatalah Jibril: “Allah SWT berfirman, maafkanlah hambaKu itu kerana Aku telah memaafkannya.”

Maka segera Rasulullah memanggil pemuda itu dan menerangkan kepadanya bahawa Allah SWT telah menerima taubatnya dan memaafkannya.

Demikian kisah bagaimana kesungguhan memohon maaf kepada Allah SWT boleh menyelamatkan seseorang daripada dosa kerana perbuatannya sendiri.

Rabu, 18 Ogos 2010

MALAIKAT MENGUJI KADHI

IKRAMAH meriwayatkan bahawa satu ketika di zaman Bani Israel terdapat tiga orang Kadhi yang bertugas sebagai hakim. Mereka sentiasa terdiri dari tiga orang atau tiga Kadhi. Jika ada yang mati segera diganti supaya bilangannya sentiasa tiga. Mereka memutuskan penghakiman dengan adil dan saksama.

Pada suatu hari, Allah SWT mahu menguji mereka dengan memerintahkan Malaikat yang menyerupai seorang lelaki penunggang kuda dan berlalu di dekat seorang yang sedang memberi minum lembunya. Kebetulan lembu itu sedang menyusukan anak kecil yang ikut ke mana sahaja ibunya pergi.

Tiba-tiba dia (malaikat yang menyerupai manusia) memanggil anak lembu itu mengikut kudanya. Tuan punya lembu segera mengejar anak lembunya itu.
“Wahai hamba Allah! Anak lembu itu milik hamba, anak kepada lembu hamba,” kata tuan punya lembu.
“Bukan, ini milik hamba. Anak kepada kuda hamba ini,” jawab penunggang kuda.
“Bukan, ini anak lembu hamba.”
“Ia anak kuda hemba. Buktinya, ia ikut kuda hamba.”
Maka terjadilah perbalahan antara penunggang kuda dengan tuan punya lembu.

“Ini tak boleh jadi, aku mesti bawa perkara ini kepada Kadhi untuk menghakimi masalah antara aku denganmu,” kata pemilik lembu.
“Silakan, aku setuju dan ikut sahaja,” kata penunggang kuda.
Mereka pun pergilah menghadap Kadhi menceritakan permasalahan mereka.

“Tuan penunggang kuda ini lalu berhampiran hamba yang ketika itu sedang memberi minum lembu. Tiba-tiba dia memanggil anak lembu hamba dan ia pun ikut kudanya. Setelah saya minta balik kerana ia anak lembu hamba, dia enggan mengambalikannya dan mendakwa ia adalah anak kudanya,” kata pemilik lembu menjelas kedudukan sebenar punca perbalahan antara mereka.

Malaikat yang menyerupai penunggang kuda ada membawa tiga mutiara yang tidak pernah dilihat oleh manusia. Dia memberikan sebiji kepada si Kadhi dengan rahsia sambil berbisik: “Putuskan anak lembu itu sebagai milikku.”

“Bagaimana caranya?” tanya Kahdi.
“Senang sahaja. Jalankan kudaku dan lembunya, kemudian arahkan anak lembu ikut di belakangnya. Mana-mana yang diikutinya, itulah ibunya,” bisik penunggang kuda.
Maka Kadhi mengarahkan agar lembu dan kuda berjalan ke arah yang berlainan. Setelah itu dilepaskan si anak lembu, ternyata ia ikut di belakang kuda.
“Kalau begitu, ia memang anak kuda,” kata Kadhi.

“Mana boleh. Aku tidak puas hati. Mari kita pergi menghadap seorang lagi Kadhi,” kata pemilik lembu.
“Baiklah. Aku setuju,” jawab penunggang kuda.
Di tempat Kadhi ke dua terjadi perkara yang sama seperti dengan Kadhi pertama tadi. Si penunggang kuda merasuah Kadhi dengan sebiji mutiara yang sangat bernilai. Sekali lagi, anak lembu itu ikut belakang kuda. Dan Kadhi ke dua itu pun memutuskan, anak lembu sebagai anak kuda.

Maka, sekali lagi pemilik lembu tidak puas hati dan menuntut supaya diadili oleh Kadhi lain. Kadhi ke tiga.
Sebaik pemilik lembu menceritakan masalah yang menyebabkan perbalahan mereka, penunggang kuda segera merasuah Kadhi dengan sebiji mutiara yang masih berbaki padanya itu. Kadhi ke tiga tidak mahu menerimanya dan mencari helah membuat keputusan.
“Hari ini saya tidak boleh mengadili kalian berdua,” katanya.
“Mengapa demikian?” tanya kedua-duanya.
“Sebab aku sekarang sedang haid,” kata Kadhi ketiga.

“Subhanallah.... mana ada orang lelaki datang ahid,” kata penunggang kuda.
“Subhanallah.... mana ada kuda beranakkan lembu,” balas Kadhi.

Maka Kadhi itu pun memutuskan bahawa anak lembu itu tetap milik si pemilik lembu, kerana tidak ada kuda yang beranakkan lembu.
Kedua-dua mereka menerima keputusan Kadhi itu.

“Sesungguhnya aku hanya menguji kalian. Allah telah redha kepadamu dan membenci kedua-dua Kadhi yang lain itu,” kata penunggang kuda kepada Kadhi dan pemilik lembu.

Moral kisah: Demikian hebatnya kesan rasuah. Anak lembu pun boleh diputuskan hakim sebagai anak kuda semata-mata kerana telah menerima rasuah. Itu pun rasuahnya hanya sebiji mutiara, bagaimana kalau jutaan ringgit wang yang jadi bahan rasuah? Fikir-fikirkanlah....

Selasa, 17 Ogos 2010

PAHLAWAN YANG AKHIRNYA KE NERAKA

PERISTIWA ini berlaku di zaman Rasulullah SAW. Dalam satu pertempuran antara piahk Islam dengan pihak musyrik, pertarungan berlaku dengan hebat. Masing-masing mahu memenangi pertempuran. Bagaimana pun ada ketikanya pertempuran itu diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing.

Ketika itu Nabi Muhammad SAW dan para sahabat berkumpul untuk membincangkan strategi pertempuran yang telah dan akan berlaku. Dalam perbincangan itu mereka begitu kagum dengan seorang pahlawan Islam bernama Qotzman yang telah gugur. Dia berjuang dengan berani bagaikan seekor singa lapar membaham mangsanya.

Walaupun beliau telah terkorban tetapi, keberaniannya bertempur menjadi buah mulut ketika itu. “Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman,” kata salah seorang sahabat.

Mendengarkan kata-kata itu, Rasulullah berkata: “Sebenarnya dia itu adalah golongan penghuni neraka.”

Para sahabat terkejut dan berasa hairan dengan kata-kata Rasulullah. Mereka berpandangan antara satu sama lain dengan wajah kehairanan. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh masuk ke dalam neraka.

Rasulullah sedar para sahabatnya yang tidak begitu percaya dengan kata-kata baginda, lantas baginda berkata: “Semasa Qotzman dan Aktsam bersama-sama keluar ke medan perang, Qotzman mengalami luka parah ditikam musuh. Badannya penuh dengan luka-luka dan darah. Dalam keadaan itu Qotzman meletakkan pedangnya di atas tanah dengan mata pedang itu dihalakan di dadanya. Kemudian dia terus membenamkan mata pedang itu ke dadanya.”

“Qotzman berbuat begitu kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berjuang atau berlawan dengan musuh tetapi, mati kerana membunuh diri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka dia akan masuk syurga. Tetapi sebaliknya dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka.”


Menurut Rasulullah lagi, sebelum dia mati Qotzman ada mengatakan, katanya: “Demi Allah, aku berperang bukan kerana agama tetapi, hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang.”

Demikian seperti diriwayatkan Luqman.

Isnin, 16 Ogos 2010

KISAH MASUK SYURGA TANPA DIHISAB

DIRIWAYATKAN bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Apabila telah datang hari kiamat, maka didatangkan empat golongan manusia di sisi pintu syurga tanpa dihisab dan disiksa. Mereka adalah:
1. Seorang orang alim yang mengamalkan ilmunya.

2. Seorang haji yang sewaktu menunaikan haji tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan hajinya.

3. Seorang yang mati syahid di dalam peperangan.

4. Seorang dermawan yang mengusahakan harta yang halal dan membelanjakannya di jalan Allah tanpa riyak.

Keempat-empat golongan ini berebut-rebut untuk mendahului masuk syurga. Lalu Allah SWT memerintahkan malaikat Jibril menghakimi mereka.

Bertanya Jibril kepda orang yang mati syahid: “Apakah yang telah kamu lakukan sewaktu di dunia sehingga kamu hendak masuk awal ke dalam syurga?”

Jawab orang mati syahid: “Aku telah terbunuh dalam peperangan kerana mencari keredhaan Allah.

Jibril bertanya lagi: “Daripada siapa kamu mendapat tahu tentang pahala orang yang mati syahid masuk syurga dahulu?”

Jawab orang yang mati syahid: “Aku mendengarnya dari alim ulamak.”

Berkata Jibril: “Jagalah kesopananmu, jangan kamu mendahului guru yang mengajar kamu.”

Kemudian Jibril bertanya pula kepada yang masuk syurga kerana mengerjakan haji: “Apakah yang telah kamu lakukan di dunia dahulu sehingga kamu hendak masuk syurga lebih dahulu dari yang lain?”

Jawab yang haji: “Aku telah menunaikan haji semata-mata kerana Allah.”

Pertanyaan serupa dari Jibril: “Daripada siapa kamu mendapat tahu tentang pahala orang yang haji masuk syurga dahulu?”

Jawab yang haji: “Aku mendengarnya dari alim ulamak.”

Kata Jibril: “Jagalah kesopananmu, jangan kamu mendahului guru yang mengajar kamu.”

Sesudah itu, Jibril bertanyakan soalan yang sama kepada penderma pula: “Apakah yang telah kamu lakukan di dunia dahulu sehingga kamu hendak masuk syurga lebih dahulu dari yang lain?”

Jawab si dermawan: “Aku telah banyak menderma semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Sekali lagi pertanyaan serupa dari Jibril: “Siapakah yang memberitahu kamu tentang pahala orang yang menderma kerana Allah?”

Berkata si dermawan: “Aku mendengarnya dari para alim ulamak.”

Maka Jibril pun berkata: “Jagalah kesopananmu, janganlah kamu mendahului guru yang mengajar kamu.”

Belum pun sempat Jibril menanyakan soalan kepada orang alim, si alim berkata: “Ya Tuhanku, tidaklah boleh aku menghasilkan ilmu kecuali dengan sebab sifat kasih, dermawan dan kebaikan orang yang dermawan itu.”

Lalau Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Telah benarlah kata si alim itu. Wahai Ridhwan (nama malaikat penjaga pintu syurga) bukakan pintu syurga supaya si dermawan masuk dahulu. Kemudian barulah orang-orang lain masuk.”

Firman Allah SWT, maksudnya: “Aku Maha Berilmu dan Aku suka kepada orang yang berilmu.”

Sementara Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Jadilah engkau orang alim (orang yang mengajar) atau orang belajar atau orang yang mendengar (pelajaran). Janganlah engkau menjadi orang yang keempat, akan rosaklah engkau.”

Rasulullah juga bersabda, maksudnya: “Sendi tegaknya dunia adalah disebabkan empat perkara;
1. Dengan berilmunya para ulamak.
2. Dengan keadilan orang yang menjadi pemerintah.
3. Dengan orang kaya yang dermawan.
4. Dengan doanya orang yang fakir.

KISAH IMPIAN SI PENGKHIANAT

SELAMA lebih 500 tahun kerajaan Bani Abbasiyah menempa kejayaan di bawah Khalifah-khalifah keturunan Abbas. Kemudian datanglah satu masa di mana Khalifah-khalifah tidak cekap dan suka berfoya-foya. Akibatnya berlaku perbalahan perkauman dan ideologi. Puak yang menentang dan berhasrat merampas kuasa adalah Puak Syiah. Kepada mereka, yang berhak menjadi Khalifah hanya keturunan Ali bin Abi Thalib sahaja.

Justeru, berlakukan krisis puak antara puak Syiah dan puak Sunnah. Anak-anak Khalifah sendiri membenci kaum Syiah dan bertindak kejam sesuka hati. Dengan bantuan penglima tentera mereka memburu puak Syiah. Kubu-kubu kaum Syiah yang terletak di kawasan terpencil diserang habis-habisan. Kaum Syiah sangat marah dan berdendam dengan kepinpinan kerajaan yang ada.

Kelemahan kerajaan Khalifah diambil kesempatan sebaik mungkin oleh kaum Syiah. Dengan kepintaran pemimpin kanan Syiah bernama Muaiyiduddin al-Alqami, dia berjaya mendapatkan jawatan menteri dalam kerajaan Khalifah. Maka jadilah Muaiyiduddin seorang menteri ‘musuh dalam selimut’. Dia sentiasa memerhatikan tindakan kerajaan terhadap gerakan Syiah. Hasratnya ialah untuk membelas dendam dan merancang untuk merampas kuasa bagi diserahkan kepada kaumnya.

Apabila tentera penakluk yang ganas, di bawah pimpinan Holako dari Monggolia tiba di sempadan Baghdad pada kurun ke 13, Muaiyiduddin tertarik dengan kekuatan mereka. Lalau beliau menulis surat kepada Holako meminta Holako menyerang Baghdad. Dia berjanji akan berpaling tadah membantu tentera Monggol untuk sama-sama menggulingkan Khalifah. Maksudnya, dia akan merampas kuasa melalui bantuan tentera Monggol.

Sebaik menerima surat Muaiyiduddin, Holako sangat gembira lalu berkata kepada tenteranya, “Kali ini kita akan merebut kota kebanggaan dunia dalam masa yang singkat.”

Maka kota Baghdad pun dikepung oleh tentera Holako dari segenap penjuru sambil memberikan amaraan supaya menyerah sebelum pertumpahan darah besar-besaran berlaku. Khalifah dengan para menterinya mengadakan mesyuarat bagi menghadapi serangan tentera Monggol itu. Dan Muaiyiduddin mencadangkan supaya diberikan hadiah kepada Holako supaya tidak menyerang kota Baghdad. Cadangannya dibangkang oleh ketua turus tentera bernama al-Daudar.

“Tidak boleh diterima cadangan itu. Aku tahu itu adalah cadangan busuk daripada Muaiyiduddin yang telah pun ada pakatan dengan Holako untuk merampas kuasa demi kepentingan diri dan kaumnya - Syiah,” kata al-Daudar. Dan dia mengambil keputusan untuk menentang tentera Holako demi maruah bangsa dan negara.

Maka terjadilah peperangan antara pasukan Holako dengan tentera Islam. Manakala puak Syiah membantu tentera Holako. Akhirnya, tentera Islam kalah teruk. Setelah petempuran berhenti, Muaiyiduddin pun pergi mengadap Holako dengan harapan akan mendapat hadiah paling berharga daripada penglima Monggol itu. Dalam masa sama dia berangan-angan bahawa kini tibalah masanya kaum Syiah akan dapat memerintah Baghdad.

Muaiyiduddin al-Aqami mengadakan rundingan dengan Holako. Selepas rundingan dia merasa lega seolah-olah apa nyang dihasratkannya akan tercapai tidak lama lagi. Dia pun balik ke istana menghadap Khalifah untuk menyampaikan hasil rundingannya, padahal rundingannya hanyalah satu tipu muslihat.

Berkatalah Muaiyiduddin,”Tuanku, Holako bersetuju untuk mengekalkan tuanku sebagai Khalifah negara ini. Dan Holako bersetuju untuk jodohkan puterinya dengan putera tuanku.”

Khalifah sangat genbira mendengarkan kata-kata menterinya itu. Beliau pun mengundang para pembesar negara dan para ulama’ berhimpun di istana untuk menunggu kedatangan Holako yang hendak mempersandingkan anaknya.

Maka sampailah Holako bersama orang-orangnya. Ketibaannya bukan untuk mengijab-kabulkan anaknya, sebaliknya untuk menyembelih sesiapa sahaja yang ada di majlis itu. Akhirnya, matilah Khalifah bersama semua kaum kerabatnya, para menteri, para ulama’ dan pegawai-pegawai tinggi yang lain. Istana Khalifah di kota Baghdad menjadi sungai berdarah.

Muaiyiduddin membayangkan bahawa puak Syiah akan memerintah sebentar lagi. Lalu berjalanlah si pengkhianat itu menghadap Holako untuk mengucapkan terima kasih tetapi sayang, Holako sendiri yang memenggal kepala Muaiyiduddin al-Alqami hingga terpisah dari tubuhnya.

Sesudah itu Holako dengan bala tenteranya bermaharajalela mengganas di kota Baghdad dengan merompak, mengugut dan merogol. Hancurlah kota Baghdad dan lenyaplah kemegahan daulat Abbasiyah.

Moral kepada kisah ini mengingatkan supaya jangan sekali-kali antara kita menjadi seorang pengkhianat yang sanggup menggadaikan maruah negara, bangsa dan agamanya semata-mata kerana kepentingan nafsu diri sendiri.

“Ya Allah, selamatkanlah negara kami ini daripada sebarang ancaman manusia yang jadi pengkhianat, dan selamatkan kami semua di dunia dan juga di akhirat. Aminnnn....
>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog