Cina India Kaum Pendatang

Khamis, 26 Ogos 2010

MALAIKAT MENGUJI SEORANG LELAKI

LAITH bin Saad bercerita, bersumber daripada Ismail bin Nafi’ dari seseorang yang bercerita kepadanya bahawa ada dua bersaudara yang kaya raya. Seorang soleh, sementara yang seorang lagi berakhlak buruk. Pada suatu waktu, orang yang soleh itu menerima musibah. Perniagaannya merosot dan dia jadi papa. Tidak ada apa yang ada padanya melainkan seorang isteri yang sangat cantik.

Dalam keadaan itu, pergilah si soleh itu berjumpa saudaranya yang berperangai buruk untuk mendapatkan bantun. Dia meminta diberikan sebarang kerja sebagai balasan kepada bantuan itu.

Kata saudaranya yang jahat, “ Mudah sahaja bagiku memberikan pertolongan kepadamu. Asalkan kamu sedia menyerahkan isterimu yang cantik itu untuk menemani aku tidur barang semalam. Dan engkau akan aku berikan wang seratus dinar.”

Mendengarkan jawapan saudaranya, si soleh terus meninggalkan saudaranya pulang kerumah untuk menceritakan syarat yang dikehendaki saudaranya.
Si isteri berkata: “Gila! Sungguh kamu keterlaluan , tidak sabar menerima musibah yang menimpa kita, hinggakan engkau sanggup meminta pertolongan daripada saudaramu yang berperangai buruk lagi jahat itu. Padahal kamu mengetahui bagaimana kelakuanku. Tolak sahaja keinginannya. Aku tidak rela. Semoga Allah akan membukakan yang lebih baik bagi kita.”

Lama si soleh berfikir mencari jalan usaha. Akhirnya dia memutuskan untuk berjualan air minuman. Dan dari hasil itulah, hari demi hari keluarganya dapat rezeki untuk makan.

Pada suatu hari, ketika dia sedang pergi, bekas tempat dia menyimpan air minuman jatuh dan pecah. Setelah mengetahui hal itu, dia duduk di depan pintu rumahnya, melamun sendirian. Fikirannya menerawang. Dia ragu-ragu untuk masuk ke dalam rumahnya untuk menemui isterinya tanpa membawa sesuatu hasil.

Setelah lama berada dalam kebingungan, dia memutuskan beredar meninggalkan rumahnya. Dengan langkah perlahan dia berjalan menuju sungai untuk mandi, kemudian terus solat bermunajat kepada Allah SWT. Dalam munajatnya si soleh berkata: “ Ya Allah, bila ada pada sisiMu bahagianku di akhirat, maka segeralah Engkau datangkan hal itu ke dunia ini sebagai rezeki untukku dan isteriku.”

Tidak lama selepas itu, datanglah awan berarak mengelilingi dan menyelubunginya. Dari gumpalan awan itu, jatuhlah sebutir mutiara yang tidak dalam kategori benda dunia. Dengan senyum penuh gembira dihampirinya mutiara itu lalu mengambilnya. Kemudian dia pergi ke rumah saudaranya untuk menceritakan pemgalamannya sambil memperlihatkan muatiara berkenaan.

“Biarlah benda ini aku beli darimu dengan tiga ribu dinar,” kata saudaranya yang berkelakuan buruk.
“Nanti dulu, aku akan mesyuarat dengan isteriku,” jawab si soleh.
Lelaki itu pun segera pulang ke rumah dan menceritakan peristiwa yang dilaminya. Demikian juga dengan keinginan saudaranya membeli benda itu.
“Kekanda, perbuatan kamu itu sangat tidak baik. Kamu tidak sabar menerima musibah Allah, Kamu meminta kepadaNya untuk disegerakan simpanan abadi yang akan kita nikmati di alam baqa. Tidak! Aku tidak rela menerimanya, apa lagi menjualkannya kepada orang lain,” kata isteri si soleh.
“Adinda, keputusan itu aku ambil kerana keperluan yang mendesak. Kalau begitu, apa yang harus aku lakukan?,” tanya si suami.

“Kembalikan sahaja ke tampat tadi. Lakukan seperti apa yang telah engkau lakukan. Berdoalah kepada Allah agar Dia berkenan mengambil kembali muatiara itu,” kata si isteri.

Maka pergilah lelaki soleh itu memenuhi cadangan isterinya. Setelah itu dengan hati sedih dan duka, dia kembali. Sesampai di muka pintu rumahnya, dia duduk melamun lagi. Dia mengenagkan dirinya yang tidak membawa apa-apa untuk isterinya yang tercinta. Dia tidak berani menemui isterinya, sekalipun dia tahu isterinya seorang solehin dan tabah menghadapi cubaan di dunia.

Ketika kekalutan sedang menyelubungi dirinya, tiba-tiba datanglah seorang lelaki. Dia bertanya dengan suara yang menyentak lamunannya.

“Tuan boleh menunjukkan kepadaku orang yang jujur dan soleh di daerah ini, yang boleh memegang amanah? Aku akan memberinya amanah berupa benih tumbuhan dan beberapa ekor lembu sehingga dia dapat menyara hidupnya dan memberi nafkah kepada keluarganya. Mampu memberi sedekah dan membeli pakaian. InsyaAllah, sesuadah itu, pada waktu ditentukan aku akan datang untuk mengambil bahagianku,” kata lelaki itu.

Mendengarkan kata-kata lelaki yang datang dengan tiba-tiba itu, si soleh jadi tertarik. Dia cuba memberanikan diri, seraya berkata: “Demi Allah, barangkali akulah orang yang dapat memegang amanah itu. Aku ingin berusaha menjadi orang jujur dan berlaku soleh seperti yang tuan kehendaki, sekiranya tuan mempercayakan amanah itu kepadaku.”

“Baiklah, urus dan tanamlah benih ini. Pelihara pula lembu ini, kalau kamu mengetahui caranya. Dari lembu ini akan lahir seekor anak kuda,” kata lelaki itu.

Maka dia mulai bekerja, bercocok tanam sambil memelihara lembu sehingga hasil tanamannya melimpah ruah dan lembu itu membiak dengan cepat. Setelah beberapa tahun dia melakukan tugas itu kekayannya pun pulih kembali, hartanya banyak. Ketika itu datanglah lelaki yang memberikan amanah kepadanya dahulu.

“Kenalkah kamu kepadaku?,” tanya orang itu.
“Tidak,” jawabnya.
“Apa benar? Apakah ini kemungkinan awal ketidakjujuran dan pengkhianatan yang akan kamu lakukan?”
“Tuan jangan berbicara sesuka hati. Berkatalah dengan kata-kata yang sedap di dengar. Semoga Allah merahmatimu. Siapa tuan ini?” kata petani itu.

“Aku adalah orang yang memberikan amanah kepadamu, yang punya benih dan lembu dahulu.”
“Selamat datang tuan.”
“Apakah yang telah kamu lakukan dengan amanah yang aku berikan itu?”
“Tuan lihat bukti itu. Tanah yang terbentang luas itu bahagianmu.”
“Lalu bagaimana pula dengan anak-anak kuda yang dilahirkan oleh lembu itu,” tanya lelaki itu.
“Demi Allah tuan. Tidak mungkin ada di dunia ini lembu beranakkan kuda. Sekiranya apa yang tuan katakan itu benar, semestinya tuan melihat di sini banyak kuda berkeliaran,” jawab petani.

“Kamu mulai berkhianat dan tidak jujur. Ini petanda bahaya besar. Tidak! Aku tetap menuntut kuda darimu. Kalau dirimu tidak jujur, akan aku adukan kepada Hakim. Segera pilih mana hakim yang kamu suka, biar perkara ini segera dapat dibereskan.”

Maka berangkatlah mereka menghadap hakim yang boleh dipercayai masyarakat ketika itu. Setelah berada di hadapan hakim, si petani mengemukakan masalahnya. Dia dituduh mengkhianat.
“Demi Allah, lembu tidak pernah beranakkan kuda,” katanya membela diri.
“Kalau memang ada kuda itu, tentu aku akan menyerahkan kepadanya,” sambung si petani.

Sebelum hakim membuat keputusan, lelaki yang menuntut memberikan rasuah secara rahsia kepada hakim. Akhirnya, hakim memutuskan si petani mesti memnyerahkan kuda kepada yang menuntut haknya itu. Petani tidak puas hati dan mereka pergi berjumpa hakim lain untuk mengadili masalah sama. Sampai tiga orang hakim mereka temui, semuanya memenangkan lelaki yang menuntut itu kerana rasuah yang diberikannya.

Akhirnya, mereka bersetuju untuk menghadap Nabi Daud. Sebelum mereka berjumpa Nabi Daud mereka terlebih dahulu berjumpa dengan Nabi Sulaiman, iaitu anak Nabi Daud. Lalu mereka mengadukan masalah.
“Lembuku melahirkan seekor kuda. Tetapi ketika aku bermaksud hendak mengambilnya, dia menyembunyikan dan mengatakan tidak ada,” jelas lelaki itu.
Mendengarkan pengaduan itu, Nabi Sulaiman berkata: “Betulkah kuda yang dilahirkan lembumu? Sekarang, pergi taburkan padi ini di sungai. Bila dia tumbuh, berikan kepadaku!”
“Apakah benih padi ini dapat tumbuh di sungai?” tanya lelaki itu kehairanan kepada Nabi Sulaiman.
“Sekarang pulanglah. Kamu wahai petani, adalah benar. Jujur dalam memegang amanah,” jelas Nabi Sulaiman.
“Seorang Nabi telah memutuskan perkara ini dengan adil,” kata petani yang soleh itu.

“Sesungguhnya aku adalah malaikat yang diutus Allah untuk menguji para hakim. Allah SWT telah membutakan pandangan mereka, maka lihat dan perhatikanlah sifat mereka, nescaya kamu akan tahu siapa mereka sebenarnya. Tidak lebih adalah syaitan-syaitan. Sekarang, kekayaan itu semua milikmu. Aku tidak minta sedikit pun, “tegas lelaki itu.

Pengajaran:
Kisah ini menceritakan bagaimana tabahnya suami isteri yang soleh menghadapi dugaan dari penciptanya, Allah SWT. Dalam keadaan terdesak bagaimana sekalipun mereka tetap sabar dan taat kepada Khaliknya. Si suami tidak sanggup menggadaikan isterinya semata-mata kerana mahukan kesenangan di dunia. Begitu juga dengan si isteri yang jauh lebih tabah daripada suaminya tetap sabar dan tidak rela dijadikan barang gadaian. Akhirnya, mereka berjaya dan kembali kaya raya dengan pertolongan Allah SWT.

Bagaimana dengan sesetengah manusia di zaman sekarang? Bukan sahaja ada yang sanggup menggadaikan isterinya demi kekayaan dunia dan kedudukan malahan, berkongsi isteri pun ada yang sanggup melakukannya. Bukan semalam dua tetapi berterusan selagi diperlukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog