Cina India Kaum Pendatang

Isnin, 23 Ogos 2010

TIGA MALAIKAT JADI TETAMU NABI LUTH

ADA golongan orang yang dalam keadaan sedar melanggar batas-batas ketentuan Tuhan tetapi, masih tetap melanggarnya dan berpura-pura pula bertanya konon tidak tahu, pada hal mereka mengetahuinya. Pertanyaan mereka hanyalah mempersendakan perintah-perintah Allah SWT yang diwajibkan ke atas dirinya.

Untuk itu Allah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah daripada itu. Adapun orang-orang yang beriman maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan : ‘Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?’ Dengan perumpamaan itu pula ramai orang yang diberiNya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik.” – Al-Baqarah, ayat 26.

Contoh teladan yang bertepatan dengan ayat berkenaan iaialh perihal isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth. Mereka adalah orang yang hidup bersama suami mereka yang memegang tanggungjawab sebagai seorang Nabi. Mereka mengetahui secara langsung melalui suami mereka akan kebenaran wahyu daripada Allah SAW, namun mereka tetap tidak mengendahkannya. Malahan membantu pula orang-orang yang kafir dan fasik lainnya, yang akhirnya isteri kedua-dua Nabi tersebut mati dalam bencana yang diturunkan Allah SWT.

Firman Allah SWT, maksudnya: “Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami, lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, maka kedua suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikit pun dari (siksaan) Allah SWT, dan dikatakan kepada keduanya: “Masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk neraka.” – At Tahrim, ayat 10.

Menurut Ibnu Abbas, isteri Nabi Nuh kadang kala ikut mencela suaminya dengan mangatakan bahawa Nabi Nuh gila dan sebagaimnya. Sementara isteri Nabi Luth pula tidak mempedulikan dakwah suaminya yang menentang kaumnya yang mengamalkankan ‘homoseks’ itu. Malahan dialah yang memberitahu kepada penduduk bahawa rumahnya ada pemuda yang cantik, yang datang sebagai tetamu, sehingga mereka datang untuk memiliki pemuda tersebut, pada hal tetamu itu sebenarnya adalah malaikat.

Nabi Luth dalam dakwahnya mendapat tentangan hebat dari kaumnya sehingga sampai kepada satu tahap bahawa kaumnya memang tidak mahu lagi diajak kepada kebenaran. Akhirnya Nabi Luth pun berdoa kepada Allah SWT supaya kaumnya ditimpa bencana di dunia ini sebelum ditimpa bencana yang lebih pedih lagi di akhirat nanti.

Oleh Allah dikirimkan tiga Malaikat menyamar sebagai tiga orang tetamu biasa, memberitahu kepada Luth bahawa Nabi Ibrahim telah dikurniakan anak yang bernama Ishak. Kemudian Malaikat tersebut menyampaikan kepada Luth bahawa dia adalah utusan Allah untuk menurunkan azab kepada kaum Luth di kota Sadum.

Nabi Luth berpesan kepada isteri dan kedua puterinya supaya merahsiakan kedatangan tetamu-tetamunya itu, jangan sampai diketahui oleh kaum-kaumnya. Tetapi isteri Nabi Luth yang fasik itu, sehaluan dengan pendirian penduduk Sadum (pengamal homoseks) telah memberitahukan tentang kedatangan para pemuda yang gagah dan perkasa itu.

Terbuktilah apa yang dibimbangkan oleh Nabi Luth. Mereka (pengamal homoseks) semua datang ke rumah Luth untuk melihat tetamunya itu serta mahukan pemuda-pemuda itu untuk memuaskan Hawa nafsu mereka. Nabi Luth tidak membuka pintu rumahnya dan berseru kepada mereka yang datang agar kembali ke rumah masing-masing dan tidak mengganggu tetamunya itu.

Seruan Nabi Luth tidak mereka endahkan, bahkan mereka berusaha untuk memecah pintu rumah Nabi Luth pula. Akhirnya Nabi Luth berterus terang dengan tetamu-tetamunya yang tiga orang itu: “Sesungguhnya aku tidak berdaya lagi untuk menentang mereka, aku sangat malu sebagai tuan rumah tidak dapat menghalang gangguan terhadap tetamu-tetamuku di rumah ku sendiri.”

Kemudian tetamu-tetamu itu pun memperkenalkan dirinya bahawa mereka adalah para malaikat yang diutus oleh Allah SWT untuk membinasakan kota Sadum bersama penghuninya yang ingkar. Dan dia menyuruh Nabi Luth supaya pintu rumah tersebut dibuka. Ketika pintu dibuka mereka semuanya meluru masuk, ketika mereka melangkah kaki untuk masuk ke dalam rumah, tiba-tiba pendangan mereka menjadi gelap, tidak kelihatan satu apa pun, ternyata mereka semua jadi buta.

Dalam keadaan yang tidak menentu itu, malaikat tadi pun berseru kepada Nabi Luth agar segera meninggalkan kota itu bersama keluarganya, sebab azab Allah telah hampir tiba menimpa mereka semua. Malaikat itu berpesan kepada Luth serta keluarganya, ketika dalam perjalanan meninggalkan kota ini jangan ada seorang pun dari mereka melihat ke belakang.

Maka Nabi Luth dan keluarganya pun meninggalkan kota Sadum pada tengah malam dengan tidak menoleh ke kiri dan ke kanan apa lagi menoleh ke belakang. Tetapi, isterinya merasa sedih meninggalkan kaumnya, ia berjalan di sebelah belakang. Tidak henti-hentinya dia menoleh ke belakang kerana ingin mengetahui bencana apa yang akan menimpa kaumnya.

Ketika fajar menyingsing dan ketika langkah Nabi Luth berserta puteri-puterinya melewati sempadan kota Sadum, bergoncanglah bumi dengan dahsyatnya dari bahagian bawah bandar. Isteri Nabi Luth yang fasik itu tidak terkecuali daripada menerima akibatnya. Dia turut hancur dan terkubur di dalam azab Allah tersebut. Angin kencang berserta hujan batu itu dengan serta merta menghancurkan bumi Sadum yang subur itu.

Begitulah gambaran bencana yang akan di terima oleh orang-orang yang ingkar (pengamal homoseks), serta nasib orang yang fasik seperti isteri Nabi Luth yang bersekongkol dengan kaumnya yang fasik. Dia tahu akan kebenaran tetapi, tidak melaksanakan dan mengikuti kebenaran tersebut.

(Kisah ini dapat di rujuk dalam al-Quran surah al-Anbiya: 74/75; Asysyu’ara: 160-175. Surah Hud: 77-83. Surah al-Qamar: 33-39 dan At Tahrim: 10)

Moral kisah:
Begitulah akibat seorang isteri yang mengatahui apa yang ditegah dan dilarang oleh Allah SWT tetapi, buat-buat tak tahu malah bersekongkol dengan kaum homoseks yang dilaknat Allah. Akhirnya, dia dihukum oleh Allah SWT dengan hukuman yang menghancurkan kaum Nabi Luth itu. Dia hancur dan mati terkubur bersama kaumnya yang zalim.

Maksudnya, sesiapa yang bersekongkol dengan pengamal homoseks sedangkan dia tahu apa yang diamalkan itu salah dan melanggar perintah Allah SWT, maka dia juga turut serta menerima hukuman setimpal dari Hakim Rabbul Jalil.

Dikhabarkan bahawa Bandar Sadum yang jadi tempat tinggal kaum Nabi Luth itu telah diterbalikkan para malaikat dengan perintah Allah SWT hingga menjadi laut. Dan laut yang dimaksudkan ialah Laut Mati yang ada sekarang. Ianya kekal wujud sebagai peringatan dari Allah SWT untuk mereka yang mahu beringat dan menginsafi kebesaran Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog