PADA suatu hari, Saidina Ali ra balik dari menziarahi Rasulullah SAW. Beliau terus ke rumahnya dan di dapati isterinya, Fatimah ra sedang duduk memintal bulu biri-biri, sementara Salman al-Farisi sedang meleraikan bulu-bulu tersebut. Saidina Ali ra berkata: “ Wahai perempuan yang mulia, adakah sesuatu makanan untuk suamimu ini?”
Jawab Fatimah: “ Wahai suamiku, demi Allah aku tidak mempunyai sesuatu apa yang dapat kuberikan untukmu makan tetapi, aku mempunyai enam dirham yang diberikan oleh Salman al-Farisi sebagai upah memintal. Dan wang ini aku bercadang untuk membeli makanan untuk Hasan dan Husin.”
“Wahai perempuan yang mulia, berikanlah kepadaku wang yang enam dirham itu,” pinta Ali ra.
Sebaik sahaja menerima arahan Ali, maka Fatimah pun memberikan wang tersebut supaya Ali dapat membeli makanan untuk anak-anak mereka. Di pertengahan jalan, Ali ra bertemu seorang lelaki yang berkata: “Siapakah yang hendak meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik.”
Sebaik sahaja Ali mendengarkan kata-kata orang itu, dia terus memberikan wang yang enam dirham di tangannya itu. Setelah memberikan wang tersebut kepada lelaki itu, dia pun pulang ke rumah dengan tangan kosong. Apabila Fatimah melihat Ali pulang dengan tangan kosong, lalu beliau menangis.
Berkata Saidina Ali ra: “Wahai perempuan yang mulia, kenapakah kamu menangis?”
“Wahai suamiku, aku menangis sebab engkau tidak membawa apa-apa,” jawab Fatimah ra.
Kata Ali: “ Wahai perempuan yang mulia, sebenarnya wang enam dirham tadi telah kupinjamkan kepada Allah SWT.”
Sebaik mendengarkan kata-kata suaminya itu, Fatimah berkata: “Benarkah begitu?”
Setelah menjelaskan duduk perkara sebenarnya kepada Fatimah, Ali ra pun pergi menuju ke rumah Rasulullah SAW. Dalam perjalanan, Ali bertemu pula dengan seorang lelaki yang berjalan membawa seekor unta. Apabila Ali sampai dekat lelaki itu, maka berkata lelaki itu: “Wahai bapa Hasan, belilah unta ini.”
Oleh kerana Saidina Ali ra tidak mempunyai wang, maka berkatalah ia: “Sebenarnya aku tidak mempunyai apa-apa untuk membeli untamu itu.”
Kata lelaki itu: “Beginilah, aku jualkan unta ini kepada kamu dengan harga 100 dirham. Dan wangnya bolehlah kamu bayar kemudian.”
Memandangkan lelaki itu tidak meminta wang dahulu, maka Ali pun setuju dengan tawaran itu dan berkata: “Kalau begitu aku setuju membeli unta ini dengan harga 100 dirham.”
Setelah unta tersebut dibeli, datang pula seorang lelaki lain lalu berkata: “Wahai bapa Hassan, apakah kamu hendak menjual unta ini?”
“Ya, memang aku hendak menjualnya.”
“Berapa harganya?”
“300 dirham,” jawab Ali.
“Baiklah aku beli unta ini dengan harga 300 dirham,” kata lelaki itu sambil membayar wangnya kepada Ali ra.
Selesai sahaja urusan jual beli itu, Saidina Ali pun pulang ke rumah dengan tersenyum-senyum. Melihatkan telatah Ali itu isterinya, Fatimah bertanya: “Wahai bapa Hasan, apakah sebabnya tersenyum sangat?”
Saidina Ali ra pun menceritakan dari mula hingga akhir kisah jual beli unta itu. Setelah selesai mendengar kata-kata suaminya, maka berkata Fatimah: “Wahai suamiku, sebenarnya kamu telah mendapat taufiq.”
Kemudian Ali ra pun terus pergi menemui Rasulullah SAW. Apabila Ali masuk ke dalam masjid, Rasulullah memandang beliau sambil tersenyum. Sebaik sahaja Ali memberi salam, Rasulullah SAW berkata: “Wahai Ali, apakah kamu hendak menceritakan kepadaku atau aku yang menceritakannya kepada kamu?” Oleh kerana Ali ra tahu bahawa baginda Rasulullah lebih mengetahui, maka kata Ali: “Ya Rasulullah, eloklah baginda sahaja yang menceritakannya.”
Bersabda Rasulullah: “Wahai bapa Hasan, tahukah kamu siapakah yang menjual unta kepada kamu dan siapakah yang membeli unta itu dari kamu?”
“Allah dan RasulNya sahaja yang lebih mengetahuinya,” jawab Ali.
“Wahai Ali, kamu sungguh beruntung kerana kamu berikan pinjaman kepada Allah SWT enam dirham. Sebagai balasannya Allah SWT memberikan kepada kamu 300 dirham. Orang yang menjual unta itu ialah Jibril as, dan orang yang membelinya pula ialah Israfil as.”
Kisah Saidina Ali ra ini bukanlah bermaksud bahawa Allah SWT itu memerlukan wang atau Allah SWT memerlukan pertolongan dan bantuan dari makhlukNya tetapi, ini adalah satu ujian Allah terhadap seseorang yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah SWT tidak memerlukan walau setitik pun bantuan dari makhlukNya, sebaliknya makhlukNyalah yang memerlukan bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT.
Setiap orang, akan diuji oleh Allah SWT, ada yang diberikan kekayaan, pangkat dan jawatan, miskin dan sebagainya. Walau apa pun yang diberikanNya, di akhirat nanti semua itu akan disoal kembali. Beruntunglah orang yang taat kepada Allah SWT dan rugilah mereka yang tidak mengingati Allah, baik yang kaya atau pun yang miskin.
Dunia ini ialah tempat kita menghadapi ujian, lulus atau tidak seseorang itu hanya akan diketahuinya di akhirat nanti. Hanya Allah SWT sahaja yang akan memberi kita balasan, sama ada balasan ke syurga atau ke neraka. Oleh itu hendaklah kita benar-benar taatkan Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan