Cina India Kaum Pendatang

Sabtu, 28 Ogos 2010

SAIDINA ALI MENTAATI KEPUTUSAN HAKIM


KHALIFAH Ali bin Abi Talib, telah kehilangan baju besinya dalam peperangan Shiffin. Selang beberapa hari kemudian, Ali r.a. telah melihat baju besinya dimiliki oleh seorang Yahudi. Ali r.a. menghampiri orang Yahudi itu lalu berkata:
“Baju besi yang ada padamu itu adalah baju aku, aku tidak pernah menjualnya atau memberikan kepada sesiapa pun.”
Berkata Yahudi itu: “ Tidak, baju ini adalah milikku dari dulu.”

Saidina Ali r.a. dan Yahudi itu tetap mempertahankan hak masing-masing. Akhirnya kedua mereka bersetuju untuk menemui hakim Syuraih untuk menyelesaikan masalah mereka. Ketika berada di hadapan hakim, Ali r.a. berhujah mempertahankan haknya dan begitu juga dengan orang Yahudi itu. Masing-masing mengaku sebagai pemilik baju besi berkenaan.
Kata Saidina Ali r.a. “Yang Arif, baju besi yang ada pada orang Yahudi itu milik saya sejak dari dulu lagi.”

Berkata Hakim Syuraih kepada orang Yahudi, “Ali mengatakan baju yang ada padamu itu adalah miliknya, apa hujahmu?.”
Jawab orang Yahudi, “Tidak, baju besi ini adalah milik saya.”
Hakim Syuraih bertanya kepada Ali r.a. “Apakah Amirul Mukminin mempunyai bukti yang mengatakan baju besi itu milik Amirul Mukminin?”
“Ada, saya ada dua orang anak yakni Hasan dan Husin. Mereka memang tahu benar tentang baju besi kepunyaanku itu,” jelas Ali r.a.

Berkata Hakim Syuraih, “Kesaksian anak sendiri terhadap ayahnya tidak boleh diterima sebagai bukti menurut hukum.”
Kata hakim itu lagi, “Oleh kerana Amirul Mukminin tidak dapat mengemukakan dua saksi yang sah, maka aku memutuskan bahawa baju besi ini adalah milik orang yang memegangnya pada masa ini, iaitu orang Yahudi ini.”
Kemudian Hakim Syuraih pun menutup perbicaraan.

Walaupun Saidina Ali r.a. adalah seorang Khalifah yang membolehkan dia mengambil tindakan atau mengenakan tekanan terhadap hakim untuk memenangkan dirinya tetapi, beliau tidak mengambil jalan itu. Sebaliknya, beliau patuh kepada keputusan mahkamah.

Orang Yahudi itu berasa amat hairan dengan sikap Saidina Ali r.a. yang mana beliau sebagai Amirul Mukminin patuh kepada keputusan mahkamah. Orang Yahudi itu juga hairan dengan sikap hakim yang bertindak menurut yang hak dari segi undang-undang, walaupun yang dihadapinya adalah seorang Amirul Mukminin.

Oleh kerana sangat terharu mengenangkan cara dan keputusan mahkamah yang mengikut peraturan Islam, maka orang Yahudi itu berkata kepada Ali r.a. dan Hakim Syuraih, “Aku bersaksi bahawa Islam adalah agama yang benar dan adil.”
Ketika itu juga orang Yahudi itu memeluk Islam dan mengembalikan baju besi kepunyaan Saidina Ali.

Menyentuh mengenai hakim, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Hakim itu ada tiga golongan. Satu golongan masuk syurga dan dua golongan lagi masuk neraka. Golongan yang masuk syurga ialah hakim yang mengetahui kebenaran, lalu dia memutuskan dengan benar, maka dia masuk syurga. Hakim yang tahu kebenaran tetapi, dia dengan sengaja buat tidak tahu, maka dia masuk neraka. Dan seorang hakim yang memutuskan perkara tanpa ilmu, maka ia juga masuk neraka.”

Sementara dalam surah Al-Nahl, ayat 90, Allah SWT berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan serta memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar kamu mengambil pelajaran.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog