PADA suatu senja yang lengang, terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-hayang. Pakaiannya yang serba hitam menandakan dia berada dalam dukacita yang mencengkam.Tudungnya menutup rapat hampir seluruh wajahnya yang tidak mengenakan sebarang solekan dan penghias muka. Kulitnya yang bersih dan badannya yang langsing serta roman muka yang ayu, tidak dapat menghapus kesan kepedihan yang melanda hidupnya.
Dia melangkah terseret-seret mendatangi tempat tinggal Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu rumah perlahan-lahan sambil mengucapkan salam. Maka terdengarlah jawapan dari dalam rumah berkata: “Silakan masuk!”
Perempuaqn cantik itu lalu berjalan masuk sambil kepalanya terus tunduk. Air matanya berderai tatkala ia berkata: “Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni dosa keji saya. Saya ketelanjuran.”
“Apakah dosamu, hai wanita?” tanya Nabi Musa dalam nada terkejut.
Dengan suara yang tersekat-sekat, perempuan itu bercerita: “ Saya.... saya.... telah berrr..zina.”
Nabi Musa mengangkat kepalanya dan hatinya tersentak.
Perempuan itu meneruskan ceritanya: “Dari perzinahan itu saya punnn.. hamil. Setelah anak itu lahir, langsung saya.... sayaaa.... cekik lehernya sampai... matiii.....” diikuti tangisan sekuat-kuat hatinya.
Nabi Musa jadi marah. Matanya bagaikan berapi. Dengan muka yang berang ia mengherdik, “Perempuan hina! Pergi kamu dari sini! Agar seksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergiiii...! pergiiii...!,” Nabi Musa mengherdik sambil matanya menjeling tanda jijik.
Perempuan berwajah ayu itu dengan hati yang hancur, bagaikan kaca terhempas ke batu, segera bangun dan melangkah pergi dari rumah Nabi Allah itu. Ratap dan tangisannya amat memilukan. Dia tidak tahu kemana lagi tempat untuknya mengadu. Bahkan tidak tahu kemana hendak dibawa dirinya.
Apabaila seorang Nabi Allah seperti itu telah menolaknya, bagaimana pula dengan manusia biasa yang lain menerimanya? Terbayang olehnya betapa besar dosanya. Betapa jahat perbuatannya.
Dia tidak tahu sepeninggalannya, malaikat Jibril a.s. turun datang mengunjungi Nabi Musa.
Ruhul Amin Jibril bertanya: “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang mahu bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu ada dosa yang jauh lebih besar dari itu?”
Nabi Musa terperanjat. Dosa apakah yang jauh lebih besar dan keji daripada wanita penzina dan pembunuh itu? Dengan perasaan ingin tahu, Nabi Musa bertanya: “Betulkah ada dosa yang lebih besar dari dosa perempuan yang nista itu?”
“Ada,” jawab Jibril dengan tegas.
“Dosa apakah itu?” tanya Nabi Musa.
“Dosa orang yang meninggalkan solat dan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu lebih besar dosanya daripada seribu kali berzina.”
Mendengarkan penjelasan itu, Nabi Musa pun memanggil wanita itu untuk menghadap kembali kepadanya. Ia mengangkat tangan dengan khusyuk untuk berdoa memohonkan keampunan kepada Allah SWT bagi pihak wanita berkenaan.
Nabi Musa sedar bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama seperti berpendapat bahawa solat itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya. Anggapan itu bererti meremehkan perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan tidak punya hak untuk mengatur dan memerintah hambaNya.
Manakala orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan bersungguh-sungguh pula, bererti dia masih mempunyai iman di dadanya. Itu tandanya orang itu yakin bahawa Allah itu Maha Kuasa serta dia pun ingin kembali taat kepada Tuhannya. Itulah sebabnya Allah SWT menerima kedatangannya.
Nota:
Kisah ini jangan disalah ertikan sebagai berzina itu lebih baik daripada meninggalkan solat. Perbuatan zina tetap berdosa. Apa yang mahu ditegaskan dalam kisah ini ialah bahawa solat itu amat penting – tiang agama. Dan kesalahan kerana meninggalkan solat wajib dengan sengaja serta tanpa kesal itu paling besar dosanya, bertujuan supaya kita semua jangan meninggalkan solat sesuka hati tanpa sebab.
Dan kalau kita bersolat dengan benar-benar khusyuk kerana Allah SWT, InsyaAllah perbuatan zina tidak akan datang menghampiri kita. Allah SWT akan selamatkan kita daripada melakukan dosa itu serta dosa-dosa besar yang lain.
Wallahhualam.....
BANTAH TAN SRI MUSA AMAN DILANTIK TYT SABAH-SATU PERBUATAN KEJI
-
Tan Sri Musa Aman dilantik Ketua Menteri pada Mac 2003, selepas menjadi
wakil rakyat pada tahun 1994, di DUN Sungai Sibuga.
Musa adalah Ketua Menteri terl...
3 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan