JAWAPAN-jawapan yang terkandung dalam 24 muka surat rakaman percakapan saksi pendakwa ke-29, U. Suresh berhubung siasatan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, adalah daripada mulut saksi tersebut sendiri.
Saksi itu juga memahami akibat daripada pernyataan yang diberikan kepada pegawai perakam, Asisten Supritendan (ASP) Ong Seng Keong pada 26 Oktober tahun lalu di Penjara Sungai Udang, Melaka.
Selain itu, saksi yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun di pusat tahanan itu memberikan kenyataan secara sukarela sebagaimana yang dicatatkan pada muka surat 24 rakaman percakapan tersebut.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh pegawai perakam itu yang juga pegawai penyiasat kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff pada bicara dalam perbicaraan (TWT) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Jumaat.
TWT itu diadakan selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir mendapati terdapat 22 percanggahan antara keterangan saksi itu yang juga bekas pekerja Ladang Gadong di mahkamah dengan rakaman percakapan yang telah direkodkan.
Ia juga bagi memastikan kesahihan kandungan rakaman percakapan itu diberikan oleh Suresh yang dipenjara selepas mengaku bersalah atas tuduhan membuang abu mayat Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38 di Sungai Panchau.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh kesemua mangsa di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Menjelaskan mengenai pengetahuannya mengenai latar belakang kes tersebut, Seng Keong menyatakan, beliau memerlukan maklumat-maklumat mengenai kes pembunuhan itu bagi membantunya mengemukakan soalan-soalan yang perlu ditanya kepada Suresh.
Menurutnya, soalan-soalan itu disediakan sendiri olehnya empat jam sebelum menemu bual Suresh dan dibuat berdasarkan temu bual oleh seorang lagi pegawai ke atas K. Sarawanan.
Soalan-soalan itu juga mengambil kira beberapa dokumen seperti gambar tempat kejadian, rajah kasar Ladang Gadong dan laporan polis pegawai soal siasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Cif Inspektor N. Govindan yang disediakan oleh pegawai penyiasat ASP Ishak Yaakob, katanya.
Bekas mekanik, Sarawanan dipenjara bagi tempoh yang sama selepas mengaku bersalah atas tuduhan membakar mayat kesemua mangsa.
Ketika soal balas, peguam bela, Manjeet Singh Dhillon mempersoalkan jawapan yang diberikan oleh Suresh yang didakwanya sama dengan apa yang dinyatakan kepada Govindan tiga bulan sebelum itu.
‘‘Jawapan Suresh yang bagi. Mana saya tahu, dia cakap macam itu, saya tulis macam itu. Itu (jawapan) yang dia bagi pada saya,’’ kata Seng Keong.
Seperti tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, peguam terbabit terus mengasak Seng Keong dan turut mendakwa rakaman percakapan itu disediakan dengan konspirasi atau komplot dengan pegawai penyiasat.
Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin membantah dakwaan tersebut dengan menyatakan pengunaan perkataan konspirasi serta komplot merupakan ‘ayat yang sangat jahat’ dan bantahan tersebut dibenarkan oleh Hakim Akhtar.
Menjawab lebih lanjut, Seng Keong tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa pegawai penyiasat kes ada membantunya membuat soalan-soalan tersebut atau berada di dalam bilik sewaktu temu bual diadakan.
Prosiding TWT itu bersambung Isnin ini.
- Laporan: UtusanOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan