Cina India Kaum Pendatang

Selasa, 26 Julai 2011

Pembunuhan Banting: Sampel Tanah Ladang Berbau Petrol

PEMERIKSAAN di sebuah ladang di Banting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya mendapati pelbagai barang termasuk sembilan kesan darah, serpihan tulang dan sampel tanah yang berbau petrol.

Pegawai Soal Siasat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Cif Inspektor, N. Govindan, 45, menambah, pemeriksaan turut menemui satu tong berisi cecair letupan, sarung dan potongan kusyen yang mempunyai kesan darah, penyodok tanah, enam kesan cap jari, dua putung rokok serta tujuh keratan potongan wayar.

Katanya lagi, pemeriksaan yang dilakukan di ladang beralamat Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting pada pukul 10 pagi, 12 September 2010 dilakukan selepas pasukan polis dipandu arah oleh dua tertuduh, iaitu R. Matan dan R. Kathavarayan.

KATHAVARAYAN (depan), MATAN (tengah)
Selain itu, Govindan yang disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainudin di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada Selasa, juga memberitahu, soal siasat juga membawa kepada penemuan 14 batang kayu yang mempunyai sisa bakar di kawasan pembuangan sampah Sungai Arak, Banting.

Batang kayu tersebut ditemui pada 13 September 2010.

Beliau yang merupakan saksi pendakwaan ke-32 seterusnya memberitahu pemeriksaan di Sungai Panchau, Banting pada 14 September 2010 juga dengan dipandu arah oleh tertuduh, T.Thilaiyalagan membawa kepada penemuan enam keping atap zink di sungai di sebuah ladang kelapa sawit.

"Zink mempunyai kesan terbakar dan sisa kebakaran yang melekat padanya," katanya.

Sementara itu, perbicaraan yang masuk hari ke-11 pada Selasa, menyaksikan barisan pembelaan berkali-kali membantah keterangan saksi berhubung hasil soal siasat yang membawa kepada penemuan barang bukti yang turut dicamkan oleh saksi pada prosiding hari ini.

Peguam Ravi Nekoo membantah atas alasan anak guamnya, Kathavarayan tidak pernah memberikan keterangan seperti yang didakwa manakala peguam Manjeet Singh Dhillon mengemukakan bantahan dengan berasaskan penggunaan bahasa oleh tertuduh.

"Saksi memberitahu beliau menyoal dalam bahasa Tamil dan tertuduh juga menjawab dalam bahasa Tamil. Tetapi di mahkamah, saksi menterjemahkan bahasa tersebut kepada bahasa Melayu. Siapa jurubahasa bahasa Tamil?," katanya.

Peguam Gurbachan Singh pula memohon agar bicara dalam bicara (TWT) diadakan bagi menentukan sama ada berlaku unsur tekanan atau kekerasan terhadap tertuduh sehingga mendorong dia untuk memberi kenyataan seperti didakwa oleh Govindan.

Katanya, sekiranya mahkamah memutuskan kenyataan tersebut didengar atas alasan barisan pembelaan mempunyai peluang untuk menyoal balas saksi, ia tidak akan sama kerana keterangan itu akan dimasukkan di dalam rekod mahkamah.

Peguam Amer Hamzah Arshad juga tidak ketinggalan untuk mengemukakan bantahan, tetapi atas alasan yang berbeza, iaitu penggunakan perkataan 'si mati' oleh saksi.

"Perkataan tersebut seolah-olah menunjukkan ada mayat dan ia adalah cara yang tidak sepatutnya digunakan oleh pihak pendakwaan dalam membuktikan kes mereka," ujar Amer Hamzah.

Selepas mendengar hujahan tersebut, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan TWT perlu diadakan selepas saksi selesai memberikan keterangan pada pemeriksaan utama selain bersetuju dengan hujahan Amer Hamzah bahawa penggunaan perkataan 'si mati' boleh 'menjejaskan' tertuduh dan patut dipadamkan daripada rekod.
Atas bantahan Manjeet, Govindan menyambung kembali keterangannya dalam Bahasa Tamil apabila merujuk kepada jawapan yang diberikan oleh tertuduh semasa soal siasat dilakukan yang akan diterjemahkan oleh seorang jurubahasa mahkamah.

Saksi memberitahu, Thilaiyalagan telah berkata: "Kami buang kayu untuk bakar mangsa di kelapa sawit, Sungai Arak" dan apabila berada di situ, tertuduh didakwa telah berkata: "Kayu ini digunakan bakar mereka".

Govindan juga menambah, pada 14 September 2010, Thilaiyalagan telah membawa pasukan polis ke sungai di ladang kelapa sawit dan berkata "Saya dan Suresh (saksi pendakwaan ke-29) alas enam zink untuk bakar mereka, dibuang di suatu sungai dekat ladang kelapa sawit, saya boleh tunjuk." dalam Bahasa Tamil.

Perbicaraan pada sebelah petang juga agak tegang apabila Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff mengherdik jurubahasa Tamil, K.Vijayan ekoran salah faham berhubung terjemahan yang dibuat jurubahasa tersebut.

Vijayan cuba mempertahankan terjemahannya dan menambah, pihak pendakwaan boleh bertanya kepada sesiapa sahaja yang berada di mahkamah sama ada terjemahannya betul atau tidak.

Vijayan juga memberitahu Akhtar bahawa dia keberatan untuk terus berada di mahkamah itu dan meninggalkan mahkamah sambil berkata: "Saya minta maaf, terima kasih Datuk (Akhtar)."

Akhtar kembali menenangkan keadaan dengan menyuruh Vijayan untuk menenangkan diri di luar mahkamah.

Ishak kemudiannya memohon maaf kepada mahkamah atas kelakuannya, tetapi Manjeet berkata, permohonan maaf sepatutnya dibuat kepada Vijayan.

Dalam kes ini, Thilaiyagan, 20, dan Khatavarayan, 31, dibicarakan bersama R.Matan, 21, dan bekas peguam, N. Pathmanabhan, 41, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada antara pukul 8.30 dan 9.40 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan bersambung Rabu.
- Laporan: mStarOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog