Cina India Kaum Pendatang

Selasa, 26 Julai 2011

Anwar Fail Notis Usul Untuk Temu Bual Pemilik Kondo Dan Empat Yang Lain


ANWAR Ibrahim memfailkan satu notis usul memohon untuk pihak pembelaan menemu bual lima saksi dalam perbicaraan kes liwatnya sebelum beliau membela diri pada 8 Ogos.

Anwar, yang memfailkan permohonannya menerusi Tetuan Karpal Singh & Co pagi ini, menamakan dua saksi berkenaan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Tiga saksi yang lain ialah Hasanuddin Abd Hamid, pemilik unit kondominium di mana kejadian didakwa berlaku; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Anwar di dalam notis itu menyatakan bahawa mengikut undang-undang adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk memastikan mereka mengemukakan kesemua saksi untuk ditemu bual pihak pembelaan dan semua kos ditanggung pihak pendakwaan.

Di dalam afidavit sokongannya, Anwar menyatakan bahawa peguamanya, S N Nair menerima sepucuk surak daripada Jabatan Siasatan Jenayah Brickfields bertarikh 18 Julai bahawa Mohd Rodwan, Najib, Rosmah dan Musa enggan ditemu bual tetapi bersetuju untuk menjadi saksi pihak pembelaan dengan syarat sapina dikeluarkan terhadap mereka.

Sementara itu, Hasanuddin enggan ditemu bual kecuali jika ia dilakukan dengan kehadiran peguamnya, kata Anwar dalam afidavitnya.

Anwar berkata jika kesemua saksi berkenaan gagal hadir untuk ditemu bual peguamnya, beliau telah dinafikan hak untuk satu perbicaraan yang adil.

Daripada 25 orang yang dikenal pasti untuk ditemu bual pihak pembelaan, hanya lima ditemu bual setakat ini.

Mereka ialah bekas ratu pecut Datuk Mumtaz Jaafar; Dr Mohd Osman Abd Hamid, bekas doktor Pusrawi; adik perempuan Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan; seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur dikenali sebagai Dr Daniel dan Khairil Anaz Yusof, bekas pegawai khas Najib semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pada 13 Julai, hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 8 hingga 26 Ogos untuk mendengar hujahan pihak pembelaan.

Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantu ketua pembangkang itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang merupakan pengadu kes itu ialah saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa.

Pada penghujung kes pendakwaan, pihak pendakwaan mengemukakan 71 saksi, yang mana pihak pembelaan memilih untuk menemu bual 25 orang.

Pada 7 Ogos 2008, Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan meliwat bekas pembantunya di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun, 2008.
- BernamaOnline

SATU MELAYU:
Tidak mustahilkah temubual itu dituntut supaya ada peluang baru untuk mahkamah menangguhkan lagi kes liwat ini?
Entahlah!
Tak tahu bila kes ini boleh diselesaikan.
Walaupun masih ramai yang berminat menanti, tidak kurang juga yang dah bosan dengan karenah perundangan yang tidak difahami....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog