Cina India Kaum Pendatang

Ahad, 15 Ogos 2010

KISAH TIPU DAYA IBLIS: Menyerupai Binatang Kesayangan dan Binatang Buas

SELAIN daripada menyamar atau menyerupai Ulama dan Guru, Iblis dan syaitan juga menyamar sebagai binatang kesayangan orang yang sedang menghadapi sakratulmaut. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan hanya untuk menggoda, mengacau dan menyesatkan muslimin yang sedang bertarung di saat-saat akhir hayatnya daripada mengingati Allah.

Jika seseorang itu semasa hidupnya meminati atau menyayangi seekor burung, maka syaitan dan Iblis akan datang menyerupai burung kesayangannya itu. Begitu jugalah jika seseorang itu menyayangi binatang-binatang lain seperti kucing, ayam, lembu, kerbau, kuda atau apa jua binatang kesayangan. Iblis akan datang di saat sakratulmaut itu menyerupai binatang-binatang berkenaan.

Apabila orang itu didatangi binatang kesayangannya yang dijelmakan Iblis atau syaitan, lalu ia mengusap-usapnya, maka dia akan jadi lalai dan lupa mengingati Allah SWT. Iblis dan syaitan akan mengganggu sehinggalah orang itu mati dalam keadaan lupakan Allah. Justeru, tergolonglag orang itu dalam golongan orang fasik dan derhaka kepada Allah – penciptanya. Maka nerakalah tempat yang layak baginya di akhirat kelak.

Oleh itu, segala binatang yang menjadi kesayangan seseorang, apatah lagi jika terlibat pula dengan kegiatan perjudian seperti sabung ayam, laga lembu, lumba kuda atau lain-lain perjudian yang membabitkan binatang, pasti di saat kematiannya nanti binatang itu akan dijelmakan oleh Iblis untuk melalaikan dan menyesatkan seseorang daripada mengingati Allah, lalu matilah ia dalam kecelakaan.

Justeru, jika kita berminat dan menyayangi binatang sekali pun, janganlah sampai mengasyikkan dan melalikan kita daripada mengingati Allah. Cukuplah sekadar hobi untuk mengisi masa lapang dan memeliharanya dengan baik tanpa menyiksanya.

Sesungguhnya beruntunglah seseorang itu jika di saat-saat akhir kematiannya, syaitan dan Iblis tidak berupaya menggoncang iman dan keyakinannya kepada Allah SWT.

Oleh itu, bagi menguatkan keimanan kepada Allah, mestilah membentuknya semasa hidup dan berupaya mengerjakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. InsyaAllah, amal dan kebajikan yang ikhlas kerana Allah itu akan menjadi benteng penghalang daripada gangguan dan godaan Iblis semasa menghadapi sakratulmaut.

Ada kalanya Iblis dan syaitan itu datang menganggu dan menggoda orang yang sedang menghadapi sakaratulmaut dengan menyamar diri menjadi bintang buas dan berbisa seperti harimau, singa, ular, kala jengking dan lain-lain.

Andai kata pada waktu orang yang sedang sakaratulmaut itu memandang sahaja kepada Iblis yang menyerupai binatang buas dan berbisa itu tanpa mengingati Allah, maka ia akan terpekik terlolong kerana takut yang amat sangat.

Jika keadaan itu berterusan sehingga malaikatmaut mengambil nyawanya, maka tergolonglah orang itu sebagai insan yang mati dalam keadaan tidak mengingati Allah kerana dilalaikan oleh Iblis yang mengacaunya. Maka matinya orang itu adalah mati sebagai seorang fasik dan munafik.

Sebenarnya terlalu banyak untuk diperkatakan mengenai penyamaran Iblis dan syaitan semasa seseorang sedang menghadapi nazak sebelum mati. Semuanya dilakukan oleh Iblis dan konco-konconya untuk menyesat dan mengacau saat-saat akhir kematian seseorang, supaya tidak berada dalam keadaan mentaati dan mengingati Allah SWT. Ada kalanya Iblis menyerupai emas, perak atau bermacam perhiasan dunia yang semasa hidupnya dia seorang yang tamak, rakus dan cintakan harta dunia serta kuat makan dan minum.

Iblis dan konconya juga boleh menyerupai orang yang dibenci atau sebaliknya, orang yang sangat disayangi semasa hayatnya. Kedua-dua orang yang dijelmakan itu (disayangi dan dibenci) akan menjadikan ia lalai kerana rasa benci atau rasa sayangnya di saat-saat akhir hayatnya. Kedua-duanya akan menjadi pengacau yang menganggu ingatannya terhadap Allah SWT selaku pencipta yang akan dihadapinya nanti.

Oleh itu, orang yang hidup atau yang menziarah ketika seseorang itu sedang menghadapi sakratulmaut, hendaklah mengajar atau mengingatkan kalimah Taiyibah, iaitu Lailahaillallah atau Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.

Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang maksudnya: Ajarilah orang yang hampir meninggal dunia dengan kalimah Lailahaillallah, supaya dia mengakhiri kalamnya dengan ucapan terpuji.

Justeru, kepada sesiapa yang berada di samping orang yang sedang nazak, disunatkan mengajar kalimah tersebut (dua kalimah syahadah) secara perlahan supaya dia tidak resah dan gelisah. Maksudnya, dia akan kembali menghadap Allah dalam keadaan tenang dan beriman kepada Allah SWT, kerana kalimah tauhid itulah yang membahagiakannya menghadap Tuhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog