Cina India Kaum Pendatang

Ahad, 15 Ogos 2010

MATA IBLIS BUTA DITUSUK NABI IDRIS

DIRIWAYATKAN bahawa pada suatu hari Iblis datang berkunjung ke kediaman Nabi Idris. Ketika itu Nabi Idris sedang menjahit pakaiannya seorang diri di depan pintu rumahnya.

Iblis datang dengan gaya terhuyung-hayang membawa bersamanya sebiji telur lalu bertanya: “Wahai Nabi Allah! Bolehkah Tuhanmu memasukkan dunia ke dalam telur yang aku bawa ini?”

Lantas Nabi Idris pun memandang tepat ke muka yang bertanyakan soalan itu. Dia sangat kenal bahawa itu adalah seteru Allah SWT - Iblis. Musuh kepada para nabi dan rasul dan musuh kepada semua orang yang beriman kepada Allah.

Nabi Idris pun berkata: “Marilah dekat denganku, tanyalah apa yang engkau hendak tanyakan, aku sedia menjawabnya.”

Lantaran itu, Iblis pun datang menghampiri Nabi Idris yang masih meneruskan kerja menjahitnya. Iblis sekali lagi bertanya: “Wahai nabi Allah! Bolehkah Tuhanmu memasukkan dunia ke dalam telur ini?”

Jawab Nabi Idris: “Jangankan memasukkan dunia ini ke dalam telurmu yang sebesar itu, bahkan ke dalam jarumku yang sekecil ini pun, Tuhanku sangat berkuasa untuk memasukkannya.”

Serentak dengan jawapan itu, Nabi Idris menusuk (menikam) mata Iblis dengan jarum yang ada ditangannya. Iblis amat terperanjat dengan tindakan sepantas kilat Nabi Allah Idris itu. Iblis meraung-raung kesakitan membawa diri meninggalkan kediaman Nabi Idris.

Iblis tidak menyangka dia akan menerima buah tangan yang sangat istimewa daripada Nabi Idris. Maka butalah sebelah mata Iblis kerana tusukan Nabi Idris itu hingga ke zaman kelahiran dan kebangkitan Nabi Muhammad SAW.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog