GAGASAN MELAYU PERAK (GMP) akan membawa tuntutan ke persidangan meja bulat antara NGO-NGO Melayu yang bakal di adakan, supaya peruntukan hak kaum bumiputera negara ini dinaikkan kepada 60%, bukannya kakal ditakuk lama – 30%. Hasil persidangan itu nanti akan diajukan kepada pihak berkuasa kerajaan untuk tindakan susulan.
Demikian janji yang dijelaskan Pengerusi GMP, DS Mohd. Hilmi Ismail ketika menjadi moderator ‘Wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu, di Taman Budaya, Ipoh, semalam (15 Ogos).
Majlis anjuran bersama Gagasan Melayu Perak dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu menampilkan empat penceramah jemputan yang mahir dalam bidang masing-masing, khususnya dalam memperkasa kembali perpaduan dan hak Melayu yang sedang menuju keruntuhan kerana kesilapan lampau, kerana perpecahan sesama Melayu dan kerana himpitan tuntutan kaum imigran yang tidak henti-henti mengguris hati dan perasaan orang Melayu.
DS Hilmi berkata demikian ketika mengulas hujah penceramah ketiga, DS Reezal Merican yang menyatakan bahawa tuntutan kaum Cina yang mahukan hak Melayu sebanyak 30% itu dikurangkan lagi.
Menurut DS Reezal, sepatutnya kaum bumiputera di negara ini diberikan hak keistimewaan sebanyak 60% bukan lagi 30% yang telah jadi lapuk itu. Hujahnya, peratusan itu wajar kerana jumlah penuduk Melayu/Bumiputera di negara ini melebihi 60% sementara baki 40% lagi terdiri dari kaum-kaum imigran lain yang diberi taraf warganegara secara percuma tanpa dakwa dakwi. Kalau tuntutan mereka kerana merit, maka merit jumlah penduduk sepatutnya tidak diketepikan dan menjadi asas utama.
Empat penceramah yang dijemput ialah TS Harussani Zakaria, Mufti Perak; Prof. Dato’ Dr. Kamarudin Kachar, Presiden Pertubuhan Pemikir Melayu Malaysia; DS Reezal Merican, Penasihat GPMS dan Exco Pemuda UMNO dan Ustaz Hafiz Nordin, Naib Pengerusi Persatuan Ulama, Pulau Pinang yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang.
Setelah kaum imigran diberi ruang menguasai ekonomi selama lebih 50 tahun, kini mereka mula besar kepala dengan pelbagai tuntutan tidak munasabah yang membakar perasaan orang Melayu. Mereka kini berusaha menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Kedaulatan Raja Berperlembagaan dengan hak istimewanya serta kedudukan agama Islam sebagai agama resmi negara, dipertikai dan dicemuh semahu-mahunya.
Mufti Perak, TS Harussani selaku penceramah pertama menggariskan beberapa sejarah perpecahan bangsa-bangsa di dunia ini sejak ribuan tahun dahulu sehinggalah kepada sebab utama mengapa beliau berusaha keras mahu menyatukan kaum Melayu, walaupun berdepan dengan pelbagai kritikan yang agak menghina. Selain dihina dan dikutuk oleh umat Melayu/Islam sendiri, Mufti itu juga dipertikai peranannya oleh pemimpin politik Melayu yang kononnya berjuang demi Islam, iaitu Pas.
“Saya bertindak sedaya upaya menyatukan orang Melayu/Islam yang berpecah-belah, kerana saya menerima amanah dari Allah SWT yang menyeru dan memerintahkan umat Islam supaya bersatu dan jangan berpecah-belah. Itu perintah Tuhan, bukan perintah Raja atau perintah mana-mana parti politik. Perintah Allah kekal sampai bila-bila. Mutlak....
“Kesedaran saya timbul ketika memikirkan perbalahan sesama Melayu yang semakin meruncing sejak PRU-12, semata-mata kerana fahaman politik. Orang Melayu berpecah kerana tafsiran yang berteraskan kepentingan dan pemikiran politik.
“Saya bimbang dan takut dengan firman Allah SWT yang berjanji akan menukar kaum yang berpecah-belah dengan kaum lain.... Justeru, saya tidak sanggup melihat kaum Melayu/Islam di negara Melayu ini ditukar ganti dengan kaum lain, semata-mata kerana berbalah sesama sendiri” jelas TS Harussani.
Sementara penceramah kedua, Prof. Dato’ kamarudin Kacar yang terkenal lantang dan bersemangat, mahukan orang Melayu/Islam bersatu berdasarkan tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang tidak lagi menjadi pegangan orang politik, mahu pun orang Melayu sendiri.
“Kita (orang Melayu) mesti bersatu kerana mereka (kaum imigran) telah pun bersatu,” katanya kepada hadhirin yang hadir seramai lebih 400 orang termasuk pelajar-pelajar dari UPSI dan UiTM, Perak.
Sementara penceramah ke empat, Ustaz Hafiz Nordin menggariskan bahawa orang Melayu/Islam tidak akan berjaya di sepadukan atau bersatu padu selagi yang memainkan peranan untuk itu diserahkan kepada pemimpin politik atau parti politik.
“Kalau harapkan Pas, UMNO atau PKR untuk menyatu-padukan orang Melayu, sampai kiamat pun tak akan tercapai. Masing-masing ada kepentingan politik. Dan ego politik masing-masing tidak akan membawa kepada kesepakatan yang benar-benar jitu sebagaimana perintah Allah SWT dan juga sunah Rasulullah SAW.
“Orang Melayu di negara ini hanya boleh bersatu atau disatukan jika asas dan matlamat perpaduan yang diusahakan kini berasaskan keptingan Islam atau ‘KERANA ISLAM’. Hanya kerana Islam sahajalah yang mampu menyatukan orang Melayu.
“Kesimpulannya, hak menyatukan umat Melayu/Islam sekarang bukannya terletak kepada pemimpin parti politik tetapi, adalah menjadi hak mutlak seluruh umat Melayu/Islam sendiri. Orang Melayu ada seramai lebih 16 juta, sementara yang bergiat dalam politik hanya sekitar 4 hingga 5 juta orang sahaja. Yang lain bagaimana? Baki yang lagi 11 juta orang Melayu, siapa yang harus urus dan satukan?” katanya disembut dengan tepukan gemuruh para hadhirin.
Sambil ketawa, Ustaz Hafiz berkata: “ Jangan tepuk sahaja tetapi tidak ada followup. Yang penting apa yang harus kita buat, sebagai bukan orang politik. Semangat sahaja tidak cukup. Usaha mesti berterusan dan konsisten.
“Harapan saya, apa yang kita semua buat hari ini adalah menjadi titik mula kepada perpaduan umat Melayu/Islam sebenar di negara ini yang sedang menuju keruntuhan yang amat dahsyat. Segalanya terletak di bahu atau di tangan orang Melayu sendiri. Jangan harapkan orang politik. Mereka tak ada hak, kerana bilangan mereka minoriti bukan majoriti,” katanya menutup ucapannya.
Selamat berjuang. Hidup Melayu. Hidup Islam.
Pak Sulung: Terfikir apakah begini keadaan orang Melayu ketika lebih seratus buah persatuan dan pertubuhan Melayu bersatu menubuhkan UMNO di Kelab Sultan Sulaiman, Kg. Baru, Kuala Lumpur 64 tahun lalu, kerana menentang penubuhan Malayan Union tajaan penjajah Inggeris? Dan apa pula perbezaannya dari segi keadaan dan suasana ketika itu jika dibandingkan dengan sekarang?
BANTAH TAN SRI MUSA AMAN DILANTIK TYT SABAH-SATU PERBUATAN KEJI
-
Tan Sri Musa Aman dilantik Ketua Menteri pada Mac 2003, selepas menjadi
wakil rakyat pada tahun 1994, di DUN Sungai Sibuga.
Musa adalah Ketua Menteri terl...
3 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan