PERBALAHAN dan berbeza pendapat sesama Islam di negara ini semakin parah. Generasi muda yang mahu berjinak-jinak dengan kefahaman Islam sebenar jadi bingong mendengarkan tokoh-rokoh agama yang ada berbeza pendapat. Golongan bukan Islam yang ada minat terhadap Islam pun turut pening memikirkan betapa tidak konsistennya para ulama Melayu negara ini dalam memperkatakan soal ajaran Islam itu sendiri atau apa yang disebut sebagai akidah.
Contoh terbaru ialah mengenai hukum mendoakan Ketua Menteri bukan Islam dalam Khutbah Jumaat yang sedang heboh diperkatakan sekarang. Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (tokoh ulama Pas yang jadi ketua kepada semua ulama dalam parti itu) ketika diminta mengulas mengenai isu itu berkata, ianya satu pendapat peribadi. Tak apa dan dibolehkan. Tak ada komen. Membisu le tu.
Sementara Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Tantawi pula ketika mengulas perkara sama berkata, tindakan khatib itu betul, tidak salah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah mendoakan untuk orang kafir. Beliau juga tergolong sebagai ulama muda dalam Pas.
Manakala Sahibul Samahah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula ketika mengulas isu yang sama berkata hukumnya orang Islam yang mendoakan kesejahteraan dan kebahagian orang bukan Islam adalah HARAM, apatah lagi apabila ia dibaca di dalam khutbah Jumaat. Menurut beliau lagi perbuatan mendoakan supaya orang kafir memeluk Islam amat digalakkan agama Islam tetapi, menggunakan pentas khutbah Jumaat untuk berdoa seperti itu dilarang agama.
Lebih parah lagi, Chua Soi Lek, Presiden MCA yang baru-baru ini kena lanyak teruk kerana isu ikuiti bumiputeranya, turut serta memberikan pendapat. Siap dengan buat kenyataan akhbar lagi. Bukan main hebat bunyinya dia mempertahankan pendapat bahawa apa yang dilakukan oleh khatib puak Pas, bernama Zakaria Ahmad adalah salah dari sudut peraturan agama Islam.
Cuma yang belum buat kenyataan adalah Samy Velu atau Palanivel dari MIC. Sama-sama kita tunggu apakah mereka juga akan turut sama memberikan pendapat mengenai ajaran dan peraturan agama Islam di negara ini.
Begitulah bercelarunya agama Islam di negara kita sekarang. Yang seratus peratus mengamalkan ajaran Islam ialah orang Melayu. Yang menghuru-harakannya pun Melayu juga. Bukan orang lain, bukan umat lain dan bukan juga pemimpin agama lain. Yang pasti, apabila Melayu/Islam berbalah mengenai amalan agamanya, maka kaum bukan Islam pun tumpang sekaki.
Kenapa begitu jadinya?
Tidak syak lagi, semuanya kerana fahaman politik. Itulah akibatnya apabila agama suci Allah SWT itu dijadikan alat berpolitik. Bila dikatakan jangan peralatkan Islam untuk politik, marahnya selangit. Melenting dan dengan mudah menuduh puak yang tidak menyokong mereka sebagai sasat, toghut dan macam-macam lagi gelaran yang menghina. Setakat menghina sahaja tak apa tetapi, apabila ianya jadi isu, maka terserlahlah bahawa sesama Islam tidak bersatu dan berpecah-belah.
Kalau dalam menghayati kesucian ajaran agama pun sesama Islam berbalah, apa lagi yang boleh diharapkan kepada agama Islam di negara ini? Sebagaimana yang selalu diuar-uarkan, hanya Islam sahaja boleh menyatu-padukan umatnya sebagaimana sunnah Rasulullah SAW. Bagaimana dengan Islam di Malaysia sekarang? Jadi alat penyatuan atau sebaliknya?
Hakikatnya, apa yang terjadi semuanya ‘terbalik kuang’. Tokoh agama Islam yang diharapkan dan dijadikan ikutan serta diakui tarbiahnya tidak sekata dalam banyak perkara yang berkaitan dengan ajaran dan amalan murni agama itu.
Tidakkah semua ini menyebabkan generasi muda jadi keliru dan tak tahu mana satu yang betul. Mana satu yang harus dijadikan ikutan. Fahaman mana yang dikatakan ajaran Islam sebenar? Akhirnya, generasi muda hilang minat dan menjauhkan diri.
Apabila ada pendakwah agama lain, terutamanya Kristian dan Hindu berdakwah kepada anak-anak Melayu mengenai agama mereka, maka melenting dan bukan main marah lagi para pemimpin ugama Islam dan para Mufti. Heboh hingga pihak berkuasa polis tidak terkira berapa banyak laporan dibuat untuknya.
Apanak jadi dengan orang Melayu sekarang? Kerana politik jalinan hidup jadi bercelaru. Wujud puak dan saling salah menyalah antara satu puak dengan satu puak lain. Masing-masing mendakwa pihak merekalah yang betul. Yang lain itu salah, sesat dan bermacam label diberikan.
Jelaslah orang Melayu di negara ini semakin hebat pecah-belahnya. Yang tua menyalahkan yang muda berkaitan penghayatan agama Islam, sosial, budaya dan jati diri. Bagaimana generasi muda mahu mendengar atau mengikut cakap orang tua, kalau orang tua yang patut dijadikan idola berkecamuk dan berbeza-beza pendapat dalam hal-hal yang menyentuh soal akidah?
Apa lagi yang ada pada orang Melayu? Kehidupan sosial runtuh. Perpaduan kaum musnah dan punah-ranah. Budaya bercelaru. Ekonomi tercorot. Sekarang, akidah Islam pula tak keruan. Tak tahu mana satu yang betul.
Siapa yang bersalah dalam perkara ini? Rakyat yang berada di bawah atau para pemimpin yang duduk selesa di atas? Dari kalangan Mufti pun hanya Mufti Perak sahaja yang berani menonjol. Yang lain ke mana? Cukupkah dengan tazkirah di radio dan TV sahaja? Mengatakan yang itu haram yang ini tak boleh memang mudah tetapi, penerimaan dan pengahyatannya bagaimana?
Benarlah pendapat yang mengatakan: Orang Melayu walau pun dah lebih 50 tahun merdeka tetapi, masih bodoh. Kebodohan orang Melayu masih belum habis?
Pak Sulung: Sentiasa resah dan gelisah apabila memikirkan masa depan orang Melayu di negara ini. Apakah semua ini sebagai isyarat dari Allah SWT bahawa kaum Melayu negara ini akan terpinggir kerana mahu digantikan dengan kaum lain?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan