"DARI apa yang saya lihat ia seolah-olah Anwar, kata hati juga mengatakan ia kelihatan seperti Anwar dan saya rasa itu adalah beliau. Saya yakin dengan apa yang dilihat.
"Ini adalah mengikut pandangan saya tetapi biarlah video itu disahkan oleh pakar untuk menentukan ketulenannya."
Demikian antara kata-kata Presiden KITA, Datuk Zaid Ibrahim kepada wakil media selepas merasmikan ibu pejabat parti KITA di Taman Tunku Haminah, Sungai Petani, Kedah, pada Jumaat ketika diminta mengulas mengenai isu video seks yang telah pun jadi kes polis itu.
Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Datuk Zaid menyeru pihak berkuasa kerajaan mempercepatkan siasatan mengenai ketulenan video seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dengan seorang wanita yang dipercayai pelacur.
Katanya, kerajaan harus mempercepatkan siasatan itu kerana ia akan memberi impak buruk kepada kepimpinan dan negara.
Zaid juga turut menyarankan supaya kerajaan mendapatkan bantuan luar untuk memastikan ketulenan video terbabit.
Beliau berkata, jika isu itu dibiarkan terlalu lama ia adalah tidak adil kepada Anwar.
Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan beberapa bekas ahli PKR turut hadir pada upacara itu.
Pada masa sama, Zaid mengakui telah menonton video itu semasa tayangan untuk media di Carcosa Seri Negara pada Isnin tetapi berkata dia tidak mengetahui mengapa wakil media yang terpilih turut diundang untuk menonton video itu.
Ketika ditanya mengapa beliau bersetuju menonton video itu walaupun tahu ia adalah satu kesalahan jenayah memandangkan beliau seorang peguam, Zaid berkata, dia menganggap video itu sebagai dokumentari dan bukan pornografi.
Sejak isu video seks membabitkan pemimpin pembangkang ini jadi heboh, Zaid Ibrahim dan partinya KITA, dapat ruang berita yang agak meluas juga. Sebelum ini, Zaid dan KITA hampir tenggelam setelah parti itu berjaya ditubuhkannya selepas beliau keluar PKR.
Sama ada ianya sebagai satu peluang terbuka untuk Zaid menghiasi berita di dada akhbar atau merupakan peluang untuknya ‘membalas dendam’ terhadap Anwar Ibrahim yang berperanan memecatnya daripada PKR kerana mencabar Azmin Ali di kerusi timbalan presiden pertengahan tahun lalu, agak menarik untuk diperhatikan.
Sebagaimana diketahui umum, ketika isu video seks ini meletop minggu lalu, Anwar Ibrahim dengan pantas melenting dan terus membuat laporan polis atas aduan ‘menyebarkan video lucah’.
Pada masa sama, dalam beberapa sidang media selepas siapa sebenarnya ‘Datuk T’ mendedahkan diri, Anwar menuduh bahawa Tan Sri Rahim Tambhy Chik dan Datuk Eskay Abdullah yang mengaku terlibat mendedahkan video seks berkenaan, bertindak kerana mahu membalas dendam terhadapnya.
Kini seorang lagi Datuk – Zaid Ibrahim, agak berminat pula untuk turut serta dalam isu ini dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan melalui media yang jelas tidak memihak kepada Anwar Ibrahim.
Apakah ada kemugkinan tindakan Datuk Zaid dalam isu ini juga akan dianggap oleh Anwar dan juak-juaknya sebagai ‘membalas dendam’ atas apa yang telah berlaku antara mereka dalam perebutan kepimpinan nombor dua PKR tidak lama dulu?
Apapun, demikianlah keadaannya apabila peluang dan ruang terbuka untuk musuh politik menyerang dan mengkritik kepimpinan parti yang jadi musuh politik seseorang.
Diakui atau tidak, isu video seks yang konon membabitkan Anwar Ibrahim ini seolah-olah menjadi batu loncatan untuk Zaid Ibrahim dan KITA menonjolkan diri dan partinya kepada umum. Ianya bagaikan ‘peluang datang bergolek’.
Dari segi politik, peluang sebegini tidak selalu datang dan apabila ada peluang, maka ianya mestilah diguna dengan sebaik-baiknya.
Wallahhualam.....
- Sumber: mStar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan