Cina India Kaum Pendatang

Selasa, 10 Mei 2011

SURUHANJAYA SIASATAN KEMATIAN TBH: Prosiding Suruhanjaya Berakhir

PROSIDING Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock yang mula bersidang pada 14 Feb lepas, berakhir hari Selasa selepas pakar psikiatri forensik Dr Ba'diah Yahya memberi keterangan.

Pengerusi suruhanjaya itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen kemudian menetapkan 25 Mei ini untuk Majlis Peguam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan hujah bertulis.

Beliau berkata hasil siasatan suruhanjaya akan diserah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin 24 Jun depan.

Sepanjang prosiding yang bersidang selama 60 hari itu, seramai 70 saksi memberi keterangan termasuk majikan Teoh, iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan beberapa pegawai SPRM yang tidak dipanggil ketika inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam, Selangor.

Tunang Teoh, Soh Cher Wei dan anggota keluarga mendiang iaitu ayah, Leong Hwee, abang, Beng Kee serta adiknya, Lee Lan turut memberi keterangan. Pada prosiding hari ini, suruhanjaya yang bertindak melantik penyiasat persendirian Michael Leslie Squires mendedahkan beberapa dapatan baru seperti kandungan SMS telefon bimbit serta maklumat daripada komputer pegawai SPRM.

Hakim James Foong
Suruhanjaya itu juga membongkar beberapa isu seperti dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan Adun yang membabitkan Teoh dengan lebih terperinci.

Ada saksi, sama ada pegawai SPRM ataupun kontraktor, memberitahu suruhanjaya itu bahawa DAP menggunakan syarikat orang Melayu bagi mendapatkan projek kelas F, namun siasatan berhubung perkara itu terhenti selepas kematian Teoh.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan Plaza Masalam.

Anggota suruhanjaya juga mendedahkan tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan Teoh akan mengahwini Soh sehari selepas kematiannya.

Suruhanjaya yang turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog