Cina India Kaum Pendatang

Selasa, 10 Mei 2011

Tunang Menangis Di Prosiding Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh

PROSIDING Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini berlangsung dalam suasana hiba apabila tunang Teoh, Soh Cher Wei menitiskan air mata ketika menceritakan detik-detik hubungan percintaannya dengan mendiang Teoh. "Saya menganggap Teoh adalah orang yang akan menemani saya sehingga akhir hujung nyawa saya," katanya dalam keadaan sebak apabila ditanya Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Soh, 30, guru di sebuah sekolah di Batu Pahat, Johor berkata bahawa beliau mengenali Teoh sejak 2005 sewaktu mereka menyewa sebuah rumah di Semenyih, Kajang dan mereka mulai rapat dan menjalin hubungan cinta pada 2007.

"Sepanjang perkenalan, Teoh merupakan seorang yang baik dan amat menyayangi saya dan beliau turut menyayangi keluarganya," katanya sambil sesekali mengesat air mata.

Ketika ditanya pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen adakah mendiang pernah mempunyai perancangan untuk berkahwin, Soh berkata: "Teoh pernah merancang untuk berkahwin dengan saya semasa kakak Teoh berkahwin pada awal tahun 2009, tetapi saya belum membuat keputusan pada waktu itu".

Soh turut memberitahu suruhanjaya bahawa tarikh perkahwinan mereka telah ditetapkan pada 3 Oktober 2009 dan majlis perhakwinan mereka akan diadakan di Alor Gajah, Melaka.

Beliau menjelaskan Teoh pernah memaklumkan kepadanya bahawa mereka akan berpindah ke Melaka selepas berkahwin kerana keluarga Teoh tinggal di sana.

"Teoh pernah memaklumkan kepada saya beliau akan berhenti kerja dan mungkin akan membuka perniagaan atau mungkin boleh menjadi setiausaha politik kepada yang berhormat (YB) Melaka, sekiranya ada kekosongan," katanya.

Beliau berkata Teoh belum membuat pendaftaran perkahwinan kerana mereka merancang untuk mendaftarnya selepas mereka mengambil gambar perkahwinan yang dijadualkan pada 18 atau 19 Julai 2009.

Soh, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 15 bulan hasil hubungannya dengan mendiang, berkata keluarga Teoh menerima berita bahawa beliau (Soh) mengandung anak mendiang dengan hati yang terbuka.

"Saya sah mengandung pada 3 atau 4 Julai 2009 selepas membuat pemeriksaan disebuah klinik dan Teoh amat gembira dengan berita tersebut," katanya ketika disoal Foong.

Soh turut bersetuju dengan kenyataan Foong yang menyifatkannya seorang wanita yang berfikiran terbuka dan moden.

Wanita itu turut menyifatkan Teoh seorang yang sangat sayangkan keluarga malah akan menghubungi ibunya, Teng Shuw Hor pada setiap hari dan akan pulang ke kampungnya di Alor Gajah pada setiap hujung minggu.

Ketika ditanya pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud apakah minat mendiang, Soh sekali lagi kelihatan sebak dan menangis apabila memberitahu prosiding bahawa Teoh gemar memasak.

"Semasa Teoh menjadi seorang wartawan untuk akhbar Sin Chew, beliau selalu masak untuk saya tetapi selepas mendiang menjadi setiausaha politik kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, saya yang selalu masak untuk dia (Teoh) kerana Teoh agak sibuk," katanya.

Soh turut memberitahu suruhanjaya, Teoh jarang bercerita tentang masalahnya dan mendiang banyak bercerita mengenai keluarga dan rakan-rakan.

"Teoh juga tidak pernah mengadu mengenai Ean dan beliau menghormati majikannya itu," katanya ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, bapa mendiang Teoh, Leong Hwee memberitahu prosiding suruhanjaya, anak lelakinya itu kerap pulang ke rumah mereka di Alor Gajah, Melaka untuk melawat keluarga pada hujung minggu.

"Sekiranya mendiang pulang, beliau akan membawa keluarga berjalan-jalan kebandar dan akan menghubungi keluarga terutama sekali ibunya jika mendiang tidak pulang ke kampung," katanya dalam bahasa Hokkien yang kemudian diterjemahkan oleh jurubahasa mahkamah ke dalam Bahasa Inggeris ketika disoal pegawai pengendali Kwan Li Sa.

Leong, 63, yang merupakan seorang pemandu teksi di Melaka berkata Teoh pernah membawa beliau dan isteri pergi ke Batu Pahat, Johor untuk bertemu dengan keluarga Soh bagi berbincang mengenai hubungan Teoh dan Soh dan perbincangan itu berlaku dalam keadaan yang selesa.

Bagaimanapun, Leong memaklumkan beliau tidak mengetahui tunang kepada mendiang mengandung dan tidak pasti sama ada isterinya atau anggota keluarga yang lain mengetahui mengenai perkara itu.

Sementara itu, abang kepada Teoh, Meng Kee memberitahu suruhanjaya Teoh tidak pernah menceritakan mengenai masalah yang dihadapi kepadanya.

Beliau yang mengakui amat rapat dengan Teoh menyifatkan mendiang seorang yang menyayangi kanak-kanak dan suka menolong keluarga.

"Mendiang yang bersekolah di sebuah sekolah kebangsaan Cina di Alor Gajah, amat gemar melakar kaligrafi dan dapat membuat lakaran dengan begitu baik," katanya.

Meng, 35, yang bekerja sebagai pengurus jualan di sebuah syarikat di Alor Gajah, Melaka berkata seminggu sebelum Teoh meninggal dunia pada 16 Julai 2009, beliau menempah sebuah restoran di sebuah kelab golf di bandar Melaka untuk meraikan perkahwinan adiknya.

"Saya pergi bersama ibu dan bapa untuk menempah restoran itu dan memberi wang pendahuluan sebanyak RM1,000 bagi membuat tempahan meja lebih daripada 20," katanya.

Selain Foong dan Mohamed Hatta, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
- Bernama

1 ulasan:

YB Raz berkata...

jangan dilayan cerita cina ni...semuanya propaganda dap..

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog