Cina India Kaum Pendatang

Jumaat, 25 Mac 2011

PERBICARAAN KES LIWAT II: Pihak pendakwaan tutup kes dan akan kemuka 71 saksi apabila perlu


PADA saat-saat akhir sebelum pihak pendakwaan menutup kesnya, Anwar Ibrahim semakin terdesak untuk mengetepikan tuala kecil Good Morning, berus gigi dan satu botol minuman mineral daripada dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan kes liwat yang dihadapinya.

Ia dapat dilihat apabila Ketua Pembangkang itu memfailkan permohonan pada pagi Khamis, supaya Mahkamah Tinggi di sini menyemak semula keputusannya semalam yang menerima ketiga-tiga barang diperoleh dari lokap yang menempatkannya semalaman pada 16 Julai 2008 sebagai bahan bukti.

Bagaimanapun usahanya gagal apabila permohonan itu ditolak oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah selepas selesai mendengar hujah peguam bela utamanya, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Dalam penghakiman ringkasnya, hakim itu dengan tegas menyatakan bahawa tiada alasan untuk beliau mengubah semula keputusan yang dibuatnya semalam.

Anwar mengemukakan permohonan itu dengan alasan keputusan mahkamah semalam tidak berdasarkan hujah berhubung pelanggaran peraturan yang tidak membenarkan tahanan lokap dibawa keluar antara pukul 6 petang hingga 6 pagi dan keterangan petugas lokap yang mendakwa mereka dilarang menyentuh barang-barang dalam lokap yang menempatkan Anwar.

Mohd. Yusof dalam hujah balasnya menyatakan bahawa permohonan itu tidak berasas kerana peraturan lokap tidak menetapkan bahawa setiap tahanan perlu sentiasa berada dalam lokap dalam tempoh tersebut dan barang-barang terbabit bukan diperoleh daripada Anwar tetapi diambil dari lokap tersebut.

Hakim Mohamad Zabidin pada 8 Mac lalu menolak ketiga-tiga barang tersebut dijadikan bahan bukti semasa bicara dalam perbicaraan (TWT) setelah mendapati bahawa ia diperoleh dengan cara yang tidak sah.

Beliau bagaimanapun dalam keputusannya semalam menjelaskan bahawa keputusan pada TWT itu dibuat bersandarkan keterangan pada masa itu dan tanpa keterangan pegawai penyiasat yang tidak dipanggil sebagai saksi dalam prosiding tersebut.

Sebaik sahaja permohonan itu ditolak, perbicaraan diteruskan dengan dua saksi pendakwaan dipanggil semula iaitu bekas Ketua Bahagian CSI Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan dan ahli kimia, Nor Aidora Saedon bagi mengesahkan ketiga-tiga barang itu untuk ditanda sebagai bahan bukti.

Satu laporan kimia yang dikemukakan oleh Nor Aidora yang sebelum ini ditanda sebagai ‘ID’ (bahan yang belum dijadikan bukti) turut ditukar menjadi bahan bukti.

Nor Aidora dalam keterangannya pada 23 Februari lalu memberitahu bahawa profil asid deoksiribonukleik (DNA) yang ditemui pada ketiga-tiga barang itu adalah sepadan dengan profil DNA Lelaki Y yang ditemui di bahagian dalam dubur pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Selesai kedua-dua saksi itu memberi keterangan, Mohd. Yusof memaklumkan bahawa pihaknya menutup kes pendakwaan dan menawarkan 71 saksi kepada pasukan pembelaan sekiranya tertuduh dipanggil membela diri.

Hakim Mohamad Zabidin kemudian menetapkan 18 April ini untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujah di akhir kes pendakwaan sebelum menentukan sama ada Anwar akan diperintah membela diri atau dibebaskan.

Anwar, 64, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya itu yang berusia 26 tahun di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Beliau pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008 sebelum kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas permohonan pihak pendakwaan.

Pada peringkat awal, kes berprofil tinggi itu kerap tertangguh ekoran pelbagai permohonan dikemukakan oleh Anwar sebelum perbicaraan bermula pada 3 Februari tahun lalu.
Sepanjang perbicaraan selama 57 hari di Mahkamah Tinggi, sebanyak 26 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dengan saksi pertama dan utamanya ialah Mohd. Saiful Bukhari.

Turut dipanggil memberi keterangan ialah ketiga-tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari pada 28 Jun 2008; ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong; dan pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira.

Supritendan Ahmad Taufek Abdullah yang menangkap Anwar pada 16 Julai 2008 merupakan saksi pendakwaan terakhir yang selesai memberi keterangan pada 11 Mac lepas.

71 saksi ditawarkan terhadap pihak pembelaan

SEKIRANYA kes liwat membabitkan Anwar Ibrahim memasuki peringkat bela diri, perbicaraan itu dijangka menjadi lebih hangat daripada kebiasaannya.

Ini kerana, antara 71 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan kepada barisan pembelaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Senarai nama saksi itu diberikan kepada pasukan pembelaan selepas pihak pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal menutup kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

Bagaimanapun, menurut peguam bela utama, Karpal Singh ketika ditemui di luar mahkamah, pihaknya perlu menemuramah kedua-dua individu terbabit dan beberapa lagi saksi yang akan disenarai pendekkan dalam tempoh terdekat.

Ini bagi memastikan keterangan yang akan diberikan nanti akan memihak kepada kes barisan pembelaan dan bukannya sebaliknya, jelas beliau.

Selain dua nama itu, barisan pembelaan berkemungkinan besar memanggil salah seorang doktor yang bertugas di Hospital Pusrawi, Dr. Mohamad Osman Abd. Hamid sebagai saksi.

Saksi utama kes itu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dalam keterangannya sebelum ini menyatakan bahawa dia telah pergi ke hospital tersebut dan diperiksa oleh doktor terbabit sebelum ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Doktor itu juga dikatakan individu yang bertanggungjawab menghasilkan laporan perubatan kontroversi yang menyebut mengenai kemasukan objek plastik ke dalam dubur mangsa.
- UtusanOnline.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog