Cina India Kaum Pendatang

Sabtu, 9 Julai 2011

BERSIH2.0: Gas Pemedih Mata Dilepaskan, Meriam Air Ditembak

BERIKUT adalah perkembangan ‘perhimpunan haram’ di Kuala Lumpur:
Beribu orang penunjuk perasaan berarak di Jalan Sultan menuju ke Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
3.01 petang: Polis berkata, sebanyak 672 ditahan sehingga 2.30 petang (624 lelaki dan 48 wanita).
3.00 petang: Nurul Iman, Nurul Nuha, Maria Chin, Ambiga, Abdul Hadi Awang ditahan polis.

Polis melepaskan gas pemedih mata kepada anggota Bersih yang tidak mengendahkan amaran yang diberikan.
Anwar dan Wan Azizah kembali ke KL Hilton. Anwar dipercayai cedera di bahu.

2.30 petang: Penyokong Pakatan Rakyat dan Bersih 2.0 berjaya keluar dari KL Sentral yang sebelum ini dikepung oleh polis dan menuju ke Jalan Tun Sambanthan.
Ambiga, Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang dan beberapa lagi dilihat berada bersama penyokong mereka.

2.10 petang: Pasukan FRU melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang berada di perkarangan luar KL Sentral dan sekitar Jalan Tun Sambanthan. Mereka berpatah balik ke KL Sentral.

1.50 petang: Anwar Ibrahim, Ambiga, Hadi Awang, Wan Azizah dan Nurul Izzah bersama penyokong Bersih keluar dari Hotel KL Hilton untuk berarak bersama-sama para penyokong mereka ke KL Sentral sebelum menuju ke Stadium Merdeka.

1.45 petang: Para penyokong Pemuda Umno dan Kelab Putera 1Malaysia mula berarak dari Jalan Imbi menuju ke Stadium Merdeka. Reezal Merican mengingkari perintah larangan untuk memimpin Patriot di Bukit Bintang.
Seorang lelaki yang menyertai perhimpunan Bersih di Stesen KTM Kuala Lumpur ditahan pihak berkuasa.
1.40 petang: Khairy tiba di kawasan perarakan. Abdul Azeez menyusul lima minit kemudian.
1.30 petang: Para penyokong Pemuda Umno dan Kelab Putera 1Malaysia menyanyikan lagu, "Inilah Barisan Kita." Ia diketuai Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Pusat, Lokman Adam. Kelibat Khairy dan Abdul Azeez tidak kelihatan.
1.25 petang: Polis berkata, 514 orang ditahan sehingga 12.30 tengah hari (478 lelaki dan 36 wanita).

1.20 petang: Lebih 500 Pemuda Umno dan Kelab Putera 1Malaysia berkumpul di hadapan BB Plaza, Jalan Bukit Bintang dan mengedarkan baju Patriot berwarna merah.
Namun kelibat Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Presiden Kelab 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim masih belum kelihatan.
Mereka melaungkan slogan, "Hidup rakyat, hidup Malaysia, hancur Anwar, hancur Ambiga."

1.20 petang: Kumpulan Bersih bergabung dengan kumpulan lain berhampiran Puduraya.
1.15 petang: Lebih 1,000 penyokong Bersih mula berarak dari Jalan Imbi menuju ke Stadium Merdeka.
1.10 petang: Ribuan penyokong Bersih mula berarak dari Pudu Plaza, melalui Bukit Bintang dan sedang dalam perjalanan ke Jalan Pudu dalam percubaan untuk sampai ke Stadium Merdeka.
1.07 petang: FRU setakat ini telah berjaya menyuraikan para penunjuk di hadapan Bank Agro dan Pasar Seni. Di kedua-dua tempat gas pemedih mata telah ditembak untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang menjerit "reformasi". 

1 petang: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah menghantar mesej tweet bahawa beliau ditahan di hadapan Hilton kerana mengganggu tugas polis. Beliau berada dalam sebuah Black Maria sekarang.

12.55 tengah hari: Polis berkata, sebanyak 441 ditahan sehingga 12 tengah hari. 421 lelaki dan 20 wanita.
12.50 tengah hari: Gas pemedih mata ditembak ke arah penunjuk perasaan yang berarak dari hadapan Bank Agro menuju ke Pasar Seni melalui Daya Bumi.

 12.45 tengah hari: Lim Kit Siang dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat berkumpul di Hotel KL Hilton. Mereka merancang untuk berarak ke stadium dari situ.
12.40 tengah hari: Anggota FRU melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang menjerit "reformasi" di Bank Agro berdekatan Daya Bumi di Kuala Lumpur.

12.30 tengah hari: Satu kumpulan besar penunjuk perasaan sambil menjerit "reformasi" meninggalkan Pasar Seni dalam percubaan menuju ke Masjid Jamek dan Dataran Merdeka. Berdekatan Masjid Negara, penunjuk perasaan turut membawa bendera PKR dan PAS sambil melaungkan "Bersih".

12.28 tengah hari: Ribuan orang sedang berarak sambil menjerit "reformasi" melintasi tebing sungai melepasi Pasar Seni menuju ke Dataran Merdeka dan Masjid Jamek.

12.15 tengah hari: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub ditahan oleh polis di KL Sentral.
12.13 tengah hari: Polis membenarkan lima peguam daripada Majlis Peguam menuju ke stesen keretapi Kuala Lumpur ketika ramai orang menjerit "reformasi" dari dalam stesen keretapi.

12.05 tengah hari: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiba di KL Hilton ditemani ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan peguam Latheefa Koya. Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.
12.00 tengah hari: Polis mengesahkan seramai 338 orang termasuk 17 wanita ditahan di sekitar Kuala Lumpur.

11.35 pagi: Keadaan aman di KLCC. Para pelancong mengambil gambar. Pihak keselamatan mendirikan halangan di sekitar pintu masuk kecuali ruang kosong untuk pembeli belah masuk.
Seorang lelaki yang menyertai perhimpunan Bersih di Stesen KTM Kuala Lumpur ditahan pihak berkuasa.
11.30 pagi: Jumlah tangkapan di sekitar Kuala Lumpur adalah seramai 236 orang termasuk lapan wanita, kata polis.
11.20 pagi: Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga menghantar mesej tweet meminta semua orang keluar dengan memakai baju kuning.
11.18 pagi: Sebuah trak polis membawa sekumpulan lelaki yang ditahan keluar dari kawasan Masjid Jamek menuju ke kawasan tahanan di Pulapol.

11.02 pagi: Tren RapidKL tidak akan berhenti di tiga stesen dari 10.15 pagi atas arahan polis. Stesen-stesen tersebut ialah Hang Tuah dan Maharajalela (laluan monorel) dan Hang Tuah (laluan Ampang).
11.00 pagi: Seorang lelaki memakai baju kemeja merah ditahan oleh polis dekat dengan stesen LRT Masjid Jamek.

Helikopter polis terbang berdekatan Stadium Merdeka, pagi Sabtu.
10.40 pagi: Pusat media Bukit Media mengeluarkan kenyataan bahawa seorang daripada 21 orang yang ditahan pada awal Sabtu telah dibebaskan.
10.35 pagi: Sebuah Black Maria di Masjid Jamek memuatkan 13 orang ditahan, kebanyakannya lelaki. Mereka dipercayai merupakan penunjuk perasaan Bersih.
10.30 pagi: Ramai berkumpul di stesen keretapi berdekatan Masjid Negara. Turut kelihatan ramai anggota polis diketuai Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman mengawal situasi.
10.30 pagi: Lebih banyak trak polis tiba menyertai trak FRU di pintu utama Istana Negara tetapi situasi masih lengang.

10.01 pagi: Kedai-kedai dibuka untuk perniagaan. 100 pelanggan beratur di hadapan Machines, Lot 10, untuk membeli iPad2.
10.00 pagi: Seorang lelaki ditahan polis di Jalan Melayu, off Jalan Masjid India, selepas menjerit secara agresif terhadap orang ramai dan wakil media.
9.50 pagi: Anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) mengawal pintu masuk Pasar Seni. Mereka berkata, ia akan dibuka seperti biasa pada pukul 10 pagi tetapi mereka akan mengawalnya. Polis meronda di sekitar Pasar Seni sebelum ia dibuka.
9.45 pagi: Sekumpulan 100 orang di sekitar Masjid India diarahkan bersurai oleh polis.

9.28 pagi: 12 peguam berjaket dan bertali leher berada di luar stesen LRT Masjid Jamek. Kehadiran ramai anggota polis. Aktiviti normal. Stesen masih dibuka.
9.15 pagi: Satu kumpulan dengan lebih 100 orang berada di stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) berdekatan Masjid Negara. Polis sedang memantau mereka.
9.10 pagi: Polis menahan satu kumpulan yang berkumpul berdekatan masjid Kampung Baru.

9.07 pagi: Sekatan jalan raya di lebuh-lebuh raya menghala ke Kuala Lumpur menyebabkan trafik bergerak perlahan. Satu sekatan berdekatan Batu Tiga menyebabkan kesesakan teruk. Pemandu terpaksa menggunakan lebih sejam untuk bergerak dari Shah Alam ke plaza tol menghala ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun, trafik berjalan lancar selepas plaza tol itu.

9.05 pagi: Tiga peguam, berjaket hitam dan bertali leher, berjalan di Jalan TAR. Mereka memberitahu wartawan bahawa kehadiran mereka di situ adalah untuk memberikan bantuan guaman.

8.50 pagi: Kira-kira 15 trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berada di luar Istana Negara. Sekatan jalan dibuat 500 meter dari pinta utama ke istana.
Anggota-anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bersiap sedia menghadapi sebarang perhimpunan haram di sekitar Istana Negara, Kuala Lumpur, Sabtu.
8.45 pagi: Enam ambulans memasuki Jalan TAR dipercayai bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.
8.40 pagi: 12 trak polis dan sebuah Black Maria ditempatkan di luar Sogo. Kira-kira 120 anggota polis di sekitar situ. Pemeriksaan rambang dibuat terhadap pejalan kaki di Jalan TAR.

8.15 pagi: Polis menutup laluan ke Jalan Stadium dengan dawai berduri. 20 Black Maria diletakkan di depan tempat letak kereta.
8.10 pagi: Kehadiran ramai anggota polis, kurang kenderaan di jalan raya dan tidak kelihatan kumpulan besar di kawasan sekitar Chow Kit dan Kampung Baru.

8.05 pagi: Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) ditutup dengan kehadiran ramai anggota polis di luar Sogo.
8.00 pagi: Kuala Lumpur hampir lengang. Di Jalan Raja Laut, hanya kelihatan anggota polis bertugas. Di luar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kira-kira 200 anggota polis kelihatan bersarapan pagi. Sebuah helikopter polis berlegar-legar di ruang udara.

7.55 pagi: Lebih ramai anggota tiba dengan menggunakan monorel dan mereka turun di stesen Maharajalela bertentangan dengan Stadium Merdeka.
7.30 pagi: Sejumlah besar trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) termasuk yang dilengkapi dengan meriam air, melalui Jalan Maharajalela dan menghala ke Masjid Negara serta Masjid Jamek.
- mStarOnline

1 ulasan:

hangkedee berkata...

Tahniah bapak polisi

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog