Suzana Radin Pangat, 39, memberitahu, Noorhisham menghubunginya selepas berbuka puasa, iaitu kira-kira pukul 8 malam, 30 Ogos 2010 memaklumkan beliau mahu menyelamatkan Sosilawati yang menerima ugutan 'gambarnya dalam keadaan tidak elok' mahu disebarkan oleh pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin atau dikenali sebagai Kamal.
Suara Suzana yang dipanggil selaku saksi pendakwaan kelapan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa, kemudiannya tersekat-sekat kerana menahan sebak semasa diminta mengimbas kembali perbualan terakhir mereka.
"Dia beritahu dia dan Kamil (peguam Ahmad Kamil Abdul Karim) mahu membantu Sosilawati. Dia minta saya faham dan minta maaf banyak-banyak pada saya. Dia kata akan balik dalam masa tiga hari dan akan ceritakan apa yang berlaku.
"Saya tanya dia di mana tapi dia tidak jawab dan terus matikan telefon bimbit. Dia seperti mahu cepat kerana saya tanya dia berbuka di mana pun dia tidak jawab," kata Suzana pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.
Wanita bertubuh tinggi lampai itu menambah, kelakuan suaminya sangat berbeza kerana sudah menjadi kebiasaan untuk mangsa menjawab soalannya, selain akan memaklumkan jika akan pulang lewat atas urusan kerja atau berjumpa pelanggan.
Suzana dan Noorhisham berkahwin pada 20 Oktober 1995 dan dikurniakan tiga orang anak.
Dia yang bekerja sebagai pembantu peribadi di Ibu Pejabat Bank CIMB di Jalan Raja Laut juga memberitahu, dia telah menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Noorhisham kira-kira lima hingga 10 minit selepas talian diputuskan kerana berasa marah.
"Saya hantar SMS berbunyi kenapa dia sanggup bantu orang tapi tinggalkan saya dan anak-anak. Dia ada hubungi saya semula, tapi saya tidak jawab kerana saya marah," katanya.
Pada keterangan lain, Suzana memberitahu, kali terakhir dia bertemu dengan Noorhisham adalah pada pagi hari mangsa dilaporkan hilang, iaitu semasa suaminya menghantarnya ke pejabat pada pukul 8 pagi.
Semasa itu, Noorhisham memakai baju korporat CIMB Bank Islamik yang berwarna hijau dan memakai jam tangan Longiness yang diterimanya pada tahun 2008 atas pencapaian cemerlang daripada CIMB Bank.
Suzana yang dapat mengawal emosinya sepanjang perbicaraan bagaimanapun gagal menahan esakan apabila diminta oleh Ishak untuk mengecam jam tangan terbabit.
Dia mengambil masa beberapa minit untuk membelek-belek jam berwarna perak itu sebelum menundukkan kepala dan menangis sambil merenung jam itu. Seorang jurubahasa mahakamah kemudiannya menghulurkan tisu kepada saksi.
Hakim Datuk Akhtar Tahir bertanyakan kepada Suzana jika dia memerlukan masa untuk berehat, tetapi Suzana tetap bertegas mahu meneruskan keterangannya.
Pada keterangan lain, Suzana memberitahu Noorhisham telah menghubunginya pada sekitar pukul 4 petang, 30 Ogos 2010 bagi memaklumkan bahawa dia akan ke Banting bersama Ahmad Kamil berhubung urusan perniagaan Sosilawati.
Katanya, sejak daripada itu, suaminya tidak pernah pulang ke rumah serta tidak menjawab panggilan telefon semasa bersahur pada pukul 3 pagi, 31 Ogos 2010 menyebabkan dia membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Suzana sedang memberi keterangan terhadap peguam N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang, T.Thailayangan, 21; R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; Noorhisham, 38; Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44.
Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, Selangor.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, perbicaraan pada hari kedua juga menyaksikan anak keempat Sosilawati, Erni Erinawati Sofia Buhari, 22, dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-11 bagi mengesahkan dua laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Dang Wangi bertarikh 31 Ogos dan 2 September 2010.
Katanya, laporan itu dibuat atas maklumat dan arahan kakak sulungnya, Erni Dekritawati Yuliana yang tidak dapat berbuat demikian kerana perlu menjaga adik-adik yang lain di rumah.
Remaja tersebut yang bertanggungjawab menjaga cawangan syarikat Nouvelles Beauty Centre Sdn Bhd yang diusahakan oleh emaknya di Cyberjaya, dekat sini juga diminta untuk mengulas keperibadian Kamaruddin.
"Uncle Kamal (gelaran kepada Kamaruddin) mula bekerja dengan emak sejak tiga tahun yang lalu sebagai pemandu dan pembantu peribadi. Uncle seorang yang baik, suka berjenaka dan seorang yang mengambil berat," katanya.
Erni Erinawati Sofia yang memakai baju kurung dan bertudung merah jambu, dilihat mengelapkan air matanya semasa diminta oleh Ishak untuk mengecam gambar ibunya berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris.
Panggilan Terakhir Kamaruddin
KAMARUDDIN Shamsuddin yang merupakan pemandu kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya didakwa telah menghubungi anak saudaranya, Khairul Izwan Ismail dan memaklumkan bahawa dia berada di Banting, dekat sini pada hari dia dilaporkan hilang dan dibunuh.
Khairul Izwan, 30, yang merupakan seorang guru di Kuantan, Pahang memberitahu, panggilan tersebut diterimanya pada pukul kira-kira 5 petang, 30 Ogos 2010 dan mereka sempat bergurau dalam perbualan tersebut.
"Dia mahu tahu saya berada di mana kerana saya janji mahu tidur di rumahnya. Saya tiada saudara-mara lain di Kuala Lumpur, maka jika saya datang ke sini, saya akan tidur di rumahnya.
"Saya dari Johor dan pak cik beritahu untuk menghubunginya jika telah sampai di Kuala lumpur. Saya juga sempat bertanya dia berada di mana, dan dia beritahu di Banting. Kami juga bergurau dan kemudian dia matikan telefon," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff.
Suara saksi pendakwaan kesembilan yang perlahan juga beberapa kali ditegur oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir untuk menjawab soalan yang diajukan dalam nada suara yang kuat.
"Kamu seorang guru, sepatutnya suara kamu kuat untuk mengajar," kata Akhtar.
Menjawab soalan peguam Manjeet Singh Dhillon, saksi berkata, Kamaruddin mula bekerja dengan Sosilawati selepas ahli perniagaan yang berasal dari Johor itu bercerai dengan vokalis kumpulan Lefthanded, Nash.
Majeeet: Saya tidak tahu bila mereka bercerai? Siapa itu Nash?
Khairul Izwan: Sejak tiga tahun lalu.
Manjeet: Kamu tahu apa kerja yang dibuat oleh pak cik kamu dengan Sosilawati?
Khairul Izwan: Ya, saya tidak tahu.
Perbicaraan juga menyaksikan kakak kepada Kamaruddin Shamsuddin, Zaidah, 52, memberitahu dia ada membuat laporan polis mengenai kehilangan adiknya pada 6 September 2010 selepas menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang tidak dikenali.
"Wanita beritahu adik saya hilang. Dia tidak beritahu namanya," katanya dan menambah, mengetahui bahawa adiknya telah meninggal dunia melalui berita-berita yang dilaporkan oleh akhbar.
Zaidah juga memberitahu, dia tidak begitu mengetahui perihal Kamaruddin kerana lelaki tersebut adalah seorang yang pendiam.
Sementara itu, saksi pendakwaan kelima, jurufoto di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Lans Koperal Kasmir Luntuk, 25, memberitahu bahawa dia telah mengambil 145 keping gambar serpihan tulang di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur pada 17 September 2010.
Semua gambar tersebut yang dirakamkan dengan menggunakan kamera digital kemudiannya disimpan di dalam cakera padat (CD).
Dalam kes ini, seorang peguam, N. Pathmanabhan, 42, dibicarakan bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thailayangan, 20; R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan Kamaruddin, 44.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Semua mangsa dikatakan hilang selepas berkunjung ke Banting untuk bertemu dengan seorang peguam bagi mempercepatkan tarikh dua keping cek berhubung pembelian tanah di Batu Feringgi, Pulau Pinang yang didakwa berharga RM29 juta.
Perbicaraan akan bersambung pada Rabu.
- mStarOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan