Cina India Kaum Pendatang

Rabu, 6 Julai 2011

PEMBUNUHAN BANTING: Sosilawati Tunjuk Cek RM1 Juta Diterima Daripada Pathmanabhan

Perbicaraan Sesi Pagi:

JUTAWAN kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya pernah menunjukkan cek bernilai RM1 juta yang diterimanya daripada bekas peguam N.Pathmanabhan di Banting awal Ogos lepas.

Sahabat karib Sosilawati, Junaidah Ismail, 52, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, cek itu ditunjukkan kepadanya selepas sahabat karibnya itu berjumpa dengan Pathmanabhan, yang merupakan antara yang didakwa membunuh Sosilawati dan tiga lagi, di hadapan pejabat bekas peguam itu yang terletak berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada 3 Ogos 2010.

Junaidah yang merupakan saksi ke 13 berkata demikian pada hari ketiga perbicaraan kes Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T.Thilaiyagan, R.Matan dan R.Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.40 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

"Wati (Sosilawati) suruh saya tengok dan berkata "aku dapat payment" dan semasa saya nak pulangkan cek itu semula kepadanya saya nampak cek itu cek tunda," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani.

"Saya tanya kenapa tarikh September sedangkan ini bulan Ogos tetapi dia (Sosilawati) kata tidak apa, sebab mereka dah bincang sebelum ini. Cek itu adalah atas nama Southern Symphony Sdn Bhd ," katanya.

Junaidah yang mengenali Sosilawati sejak 28 tahun lepas berkata beliau juga mentertawakan tulisan di atas cek tersebut yang dilihat seperti tulisan kanak-kanak sedangkan cek itu bernilai RM1 juta.

"Saya tanya kenapa tulisan macam kanak-kanak dan Sosilawati kata 'alah Kak Jun ni'," katanya.

Terdahulu, Junaidah berkata beliau dan Sosilawati semasa dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang menaiki kereta milik jutawan kosmetik itu yang dipandu Kamaruddin bagi meraikan ulang tahun kelahiran Junaidah, mereka telah singgah di pejabat Pathmanabhan.

Semasa mereka sampai di pejabat bekas peguam itu pada kira-kira pukul 5.30 petang 3 Ogos 2010, Pathmanabhan memaklumkan bahawa beliau di dalam perjalanan ke pejabatnya.

Tertuduh: Pathmanabhan
"Kami tunggu dia di hadapan pejabat Pathma di dalam kereta. Pathma sampai kira-kira setengah jam kemudian dan Sosilawati turun kereta serta ambil satu barang daripada Pathma sebelum masuk semula ke dalam kereta. Pertemuan mereka sekejap kira-kira lima minit dan ada perbualan antara mereka," katanya.

"Saya nampak Pathma datang dengan kereta sport Mercedes yang saya rasa Brabus. Selepas masuk dalam kereta, Sosilawati serah cek pada saya suruh saya tengok. Selepas itu kami terus ke Pelabuhan Klang untuk sambut birthday saya selepas Maghrib. Perbualan kami selepas itu hanya bersangkut paut dengan bagaimana nak sambut puasa dan Hari Raya," katanya sambil menambah itu adalah kali terakhir beliau menemui Sosilawati.

Menjawab soalan Idham sama ada itu mereka pertemuan pertamanya dengan Pathmanabhan, Junaidah kata "Tidak".

"Kali pertama kira-kira tiga tahun lepas semasa Sosilawati pernah ajak saya berjumpa dengan kawan-kawannya Datuk Suhaimi dan Sabri serta peguam mereka bernama Pathma di Hotel Pan Pacific, Sepang. Saya ada di situ tetapi tidak fokus sangat dengan perbualan mereka tetapi mereka bincang tentang urusan tanah di Pulau Pinang," kata Junaidah.

Menyentuh mengenai kekerapan beliau menemani Sosilawati berjumpa dengan Pathmanabhan, Junaidah berkata kira-kira tiga atau empat kali.

"Selepas 3 Ogos 2010, ada terima apa-apa panggilan daripada Sosilawati atau awak hubungi dia?" soal Idham.

"Sosilawati selalu telefon dan pada 29 Ogos 2010 dia ada telefon bertanya khabar serta sembang banyak pasal persiapan Hari Raya. Lepas itu dia tanya saya nak ikut tak pergi Banting besok (30 Ogos 2010) dan saya cakap saya nak rehat di rumah. Dia (Sosilawati) tidak beritahu tujuan dia ke Banting dan itulah juga panggilan terakhir daripadanya," kata Junaidah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung petang Rabu.
- BernamaOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog