MAHKAMAH Tinggi shah Alam pada Selasa, dijadualkan akan melakukan lawatan kedua ke sebuah ladang yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, tahun lalu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan lawatan kali kedua diadakan pada Rabu, memandangkan lawatan sebelum ini tidak meliputi keseluruhan lokasi yang terlibat dalam jenayah yang menggemparkan negara itu.
Lawatan terdahulu dibuat pada 13 Julai lalu dan semasa itu, antara tempat yang dilawati ialah ladang di Jalan Tanjung Layang, Sungai Panchau, sebatang sungai di Kampung Kelanang, Jambatan Sungai Endah dan kunci air berhampiran Pasar Besar Banting.
Bagaimanapun, pada 3 Ogos lalu, berdasarkan keterangan Siti Hamidah Karnax, 18, yang merupakan pembantu kepada tertuduh pertama, N. Pathmanabhan dan tertuduh keempat, R. Kathavarayan, dia menyatakan melihat sebuah lori datang membawa kayu api pada 29 Ogos 2010 dan kayu tersebut disusun di suatu kawasan di ladang.
Lokasi itu, menurut Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainudin (yang menyoal Siti Hamidah) tidak ditunjukkan kepada rombongan mahkamah pada lawatan kali pertama dan begitu juga dengan lokasi penemuan kereta mewah milik Sosilawati dan peguam yang turut menjadi mangsa pembunuhan, Ahmad Kamil Abdul Karim di Subang Jaya.
Berdasarkan keterangan, kereta BMW X5 nombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati ditemui di tempat letak kereta Flat Angsana, Pangsapuri USJ, manakala kereta Ahmad Kamil jenis BMW dengan nombor pendaftaran AAJ 5 ditinggalkan di tempat letak kereta Jalan SS12/1B, berhampiran dengan Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.
Sementara itu, perbicaraan pada Selasa yang masuk hari ke-20, hanya melibatkan kehadiran dua tertuduh, iaitu T.Thialaiyalagan, 20, dan R.Matan, 21, kerana menurut peguam Manjeet Singh Dhillon, Pathamanabhan, 42, dan Kathavarayan, 31, mengalami masalah kesihatan.
Pathmanabhan, yang merupakan seorang bekas peguam dan Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan, semuanya pekerja ladang didakwa atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, Ahmad Kamil, 32, pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010, di ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, saksi pendakwaan ke-36, Detektif Sarjan Mohammed Dahlan Rasee, 50, dari cawangan Siasatan Tempat Kejadian (CSI) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur memberitahu bahawa tindakan polis termasuk anggota marin melakukan operasi mencari bahan bukti dari dalam Sungai Kanchong, Kampung Kelanang adalah menyalahi prosedur.
Menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad, saksi yang telah berkhidmat selama 32 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju prosedur yang sepatutnya menyatakan bahawa tiada apa-apa tindakan boleh dilakukan sehingga ketibaan pasukan CSI di sesuatu lokasi kejadian.
Bagaimanapun, menurut Mohammed, kerja-kerja mencari zink yang didakwa digunakan sebagai alas untuk membakar mayat mangsa sebelum dibuang ke dalam sungai itu telah dilakukan oleh anggota polis marin sebaik sahaja pasukan CSI tiba.
"Saya nampak tiga orang anggota marin berada di dalam parit dan ada Cif Inspektor N. Govindan (pegawai soal siasat) bersama suspek. Anggota marin mengesan barang kes dan saya nampak mereka keluarkan satu-persatu zink yang diletakkan di tebing," katanya yang bertanggungjawab untuk melakar rajah kasar sungai itu.
Semasa disoal Manjeet, sekiranya saksi boleh mengenal pasti pasukan marin yang menjalankan aktiviti pencarian itu, saksi menjawab, dia tidak boleh berbuat demikian.
Manjeet: Kamu telah lama dalam pasukan, sudah 32 tahun tapi tidak boleh ingat?
Mohammed: Sebenarnya saya pernah mengalami kemalangan jalan raya dan mata saya mengalami masalah.
Manjeet: Kamu tidak boleh nampak?
Mohammed: Saya boleh nampak. Sebelah mata (saksi memegang mata kanan) sahaja yang ada masalah.
Manjeet: Jadi dengan mata yang boleh nampak, adakah kamu lihat pasukan marin mana buat pencarian?
Mohammed: Tidak.
Perbicaraan juga menyaksikan kehadiran seorang lagi anggota CSI, IPK Kuala Lumpur, Lans Koperal Salmi Putit, 35, yang memberitahu bahawa dia telah diarahkan untuk melukis gambar rajah kasar lokasi penemuan kereta Ahmad Kamil pada 6 September 2010.
"Kereta tersebut adalah kereta BWM berwarna gelap dan berada di antara kotak tempat letak kereta lot 124 dan lot 125 berhadapan dengan kawasan perumahan teres," katanya.
Semasa disoal Saiful Edris sekiranya dia pernah mendapat apa-apa latihan berkaitan CSI, saksi pendakwaan ke-35 itu menjawab, latihan adalah diperlukan, namun sehingga hari ini, dirinya tidak pernah mengikuti sebarang latihan.
Perbicaraan akan bersambung pada Khamis.
- Laporan: mStarOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan