Cina India Kaum Pendatang

Rabu, 10 Ogos 2011

Pembunuhan Banting: Pihak Mahkamah Lawat Lokasi Penemuan Bahan Bukti


N Pathmanabhan (empat dari kiri), R Matan (tiga dari kiri), T Tilaiyalagan (dua dari kiri) dan R Katharavayan (belakang) dibawa ke tempat di mana kayu api dibuang di Sungai Arak, Banting dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya. 
PIHAK terlibat dalam perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain hari ini dibawa melawat empat lokasi di Banting dan Subang Jaya dimana bahan bukti dalam kes itu ditemui.

Ini termasuk lokasi penemuan dua kereta mewah jenis BMW milik jutawan kosmetik berkenaan dan seorang lagi mangsa, peguam Abdul Kamil Abdul Karim.

Sebanyak 18 kenderaan yang membawa Hakim Datuk Akhtar Tahir, pihak pendakwaan, pembelaan serta media tiba di lokasi pertama iaitu tempat pembuangan sampah di Jalan Sungai Arak, Banting, kira-kira pukul 10.05 pagi.

Berdasarkan keterangan saksi ke-32 pendakwaan iaitu pegawai soal siasat Cif Inspektor N.Govindan sebelum ini, di lokasi itu pihak polis menemui 14 batang sisa kayu bakar hasil pandu arah oleh tertuduh kedua T. Thilaiyalagan pada 13 Sept 2010.

Rombongan mahkamah turut disertai sebuah trak polis yang membawa keempat-empat tertuduh iaitu bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang - Thilaiyalagan, R.Matan dan R.Khatavarayan.

Selepas meluangkan masa kira-kira 25 minit, rombongan pihak mahkamah yang diiringi sembilan kereta polis dan peronda polis (MPV) dibawa ke lokasi kedua di tempat letak kereta flat Angsana, USJ 1, Subang Jaya dimana kereta jenis BMW X5 bernombor pendaftaran WTL 11 yang dinaiki Sosilawati dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin pada hari mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos tahun lepas, dijumpai.

Kereta itu ditemui hasil maklumat seorang penduduk di flet itu yang bernama Awang yang melihat kereta itu pada 6 Sept, 2010.

Rombongan pihak mahkamah kemudian dibawa ke sebuah longkang di USJ 1 yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kedua, di mana anggota penyelam Pasukan Gerakan Marin, L/Koperal Muhamad Hazriman Ismail menemui kunci kereta BMW X5 berkenaan pada 14 Sept, 2010.

Selepas meluangkan masa kira-kira lima minit di sana, rombongan mahkamah dibawa ke lokasi terakhir iaitu di tempat letak kereta Jalan SS12/1B, Subang Jaya, kira-kira pukul 11.45 pagi di mana kereta BMW hitam bernombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil dijumpai di Lot 125 pada 6 Sept 2010.

Lawatan ke empat lokasi itu adalah lawatan kali kedua pihak mahkamah. Lawatan pertama telah dibuat pada 13 Julai lepas.

Pada 13 Julai lepas, rombongan pihak mahkamah turut dibawa ke beberapa lokasi di Banting termasuk Ladang Gadong di Tanjung Sepat yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan kesemua mangsa.

Dalam prosiding semalam, Akhtar menetapkan esok (Khamis) untuk menyambung semula bicara dalam perbicaraan selepas dimaklumkan bahawa pihak pembelaan memerlukan masa untuk mensapina saksi.

Prosiding bicara dalam perbicaraan itu diadakan bagi menentukan keadaan minda tertuduh kedua, Thilaiyalagan, semasa memberi kenyataan yang membawa kepada penemuan eksibit-eksibit dalam kes itu.

Keempat-empat tertuduh sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
- Laporan: BernamaOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog