Cina India Kaum Pendatang

Khamis, 14 April 2011

SURUHANJAYA SIASATAN KEMATIAN TBH: Saksi didakwa berbohong

PEGAWAI pemasaran sebuah syarikat pengorek pasir, T. Sivanesan didakwa berbohong semasa memberi keterangan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock apabila ia bercanggah dengan kenyataannya dalam laporan polis serta prosiding semasa inkues.

Peguam yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah turut mendakwa Sivanesan dijanjikan habuan termasuk diberi jawatan dalam Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. sebagai balasan memberi keterangan memburuk-burukkan SPRM dalam prosiding inkues dua tahun lalu.

Menurut Muhammad Shafee, Sivanesan semasa keterangannya dalam prosiding semalam mendakwa dipukul sehingga pengsan sedangkan dalam laporan polis pada 11 September 2008 dia hanya menyatakan didera sehingga hampir pengsan.

Peguam itu turut menggambarkan Sivanesan sebagai talam dua muka serta tidak boleh dipercayai selain tidak setia pada sesiapa apabila lelaki itu mengaku merupakan ahli DAP dan Barisan Nasional (BN) dalam masa sama dan hanya setia kepada mereka yang berbuat baik dengannya.

''Ketika inkues kamu ditanya oleh peguam kamu, Gobind Singh Deo sama ada tangan kamu bergari atau tidak semasa keluarkan plastik ais di bahagian hadapan seluar dalam. Kamu kata tidak. Kenapa kamu tipu suruhanjaya?

''Kamu juga beri pernyataan bohong kerana jika dibelasah sehingga koyak seluar dalam bahagian depan dan belakang seperti yang didakwa, kamu sudah tiada. Saya cadangkan kamu datang ke sini untuk berbohong,'' katanya.

T. Sivanesan
Sivanesan yang dilihat kerap terdiam dan tersenyum bagaimanapun menafikan dia berbohong dengan alasan perkataan digari tertinggal kerana dia demam dan dalam kesakitan semasa membuat laporan polis dan memberi keterangan dalam prosiding inkues dengan merujuk laporan itu.

Dia juga menafikan mendapat kerja di Kumpulan Semesta sebagai balasan bagi keterangannya dalam inkues selain tidak pernah berjumpa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, pembantunya, Lee Kee Heng dan ADUN Kinrara, Theresa Kok untuk membincangkan tentang habuan yang masih belum diperoleh.

Sivanesan yang sedang disiasat polis berhubung aduan peras ugut oleh bapa kawan adiknya bagaimanapun mengaku membuat laporan polis dan laporan SPRM selepas menerima ugutan bunuh serta amaran agar dia tidak mengganggu ketuanya, Wong Swee Leong yang juga seorang ahli DAP terkenal di Perak.

Sementara itu, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Samarajoo Manickam hari ini turut memberi keterangan berhubung modul, latihan dan teknik soal siasat untuk pegawai-pegawai SPRM.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik Exco Selangor, Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam dekat sini.

Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini bersambung Khamis.
- Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog