Cina India Kaum Pendatang

Selasa, 26 April 2011

SURUHANJAYA SIASATAN KEMATIAN TBH: Tiada Bukti Ean Yong Hian Wah Salah Guna Wang Peruntukan Ekoran Kematian Teoh....

SURUHANJAYA untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock Isnin diberitahu ekoran kematian Teoh, tiada bukti dapat menunjukkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah terlibat dalam penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Pemangku Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, Ahmad Shafik Abdul Rahman@Alwee berkata keterangan untuk mensabitkan Yong melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 tidak dapat diperoleh daripada Teoh kerana mendiang meninggal dunia.

"Justeru itu, pihak SPRM mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya supaya siasatan terhadap kes ini dihentikan kerana tiada keterangan menunjukkan Ean (Yong Hian Wah) telah melakukan kesalahan itu," katanya ketika disoal pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Ahmad Shafik, yang mengambil alih kes berhubung penyalahgunaan wang ADUN Seri Kembangan pada 27 Ogos 2009 daripada pejabat SPRM Selangor, berkata hasil siasatan mendapati tuntutan bagi projek yang dilaksanakan Yong disempurnakan oleh kontraktor mengikut spesifikasi.

Teoh, 30, setiausaha politik Yong ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Ahmad Shafik turut mengesahkan empat dokumen yang dicetak daripada komputer riba Teoh sebelum ini menimbulkan keraguan telah disiasat dan hasilnya mendapati keempat-empat projek dalam empat dokumen itu telah disempurnakan dan tuntutan hanya dibuat selepas projek dilaksanakan.

Beliau berkata antara projek dilaksanakan termasuk ‘Malam Persembahan Kanak-kanak sempena persembahan Tang Lung’ dan majlis ‘Sokong, Simpati dan Solidariti’ terhadap Exco Kanan Selangor iaitu Teresa Kok.

Ketika disoal Awang Amadajaya bagaimanakah keempat-empat dokumen ini boleh berada di dalam komputer riba mendiang Teoh, Ahmad Shafik berkata: "Melalui keterangan daripada seorang ahli perniagaan Lee Wye Wing, dokumen itu dihantar kepada Teoh melalui e-mel untuk dirujuk sebelum harga ditentukan oleh Ean (Yong Hian Wah)".

Ahmad Shafik, yang merupakan saksi ke-50 suruhanjaya itu, menjelaskan Lee hanya berurusan dengan Teoh dan tidak pernah berurusan terus dengan Yong dan jika program yang dilaksanakan mempunyai peruntukan, Teoh akan memberi lampu hijau kepada Lee.

Beliau berkata setelah projek dilaksanakan, Yong akan mengeluarkan tuntutan kepada pejabat daerah dan pegawai daripada pejabat berkenaan mengesahkan sama ada projek itu dilakukan atau tidak dan jika dilaksanakan, maka bayaran akan dibuat.

Ahmad Shafik memberitahu suruhanjaya bahawa RM600,000 diperuntukkan kepada Yong selaku Exco Selangor dan beliau dipertanggungjawabkan bagi peruntukan Kuala Kubu Baru yang dipanggil sebagai ADUN angkat.

Ketika disoal Awang Armadajaya mengenai bayaran sebanyak RM3,754.76 yang dibayar kepada DAP Serdang Aman, Ahmad Shafik berkata: "Bayaran itu diberikan kepada DAP Serdang Aman sebagai pembayaran balik terhadap wang pendahuluan yang dibuat DAP".

Ketika ditanya pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen adakah terdapat dokumen sokongan yang menyatakan wang pendahuluan dibuat oleh DAP Serdang Aman, Ahmad Shafik berkata: "Lee ada menyerahkan resit-resit yang menyatakan bahawa terdapat bayaran pendahuluan dibuat oleh DAP dan resit itu diperoleh daripada ahli DAP sendiri".

Beliau menjelaskan pihak DAP perlu mendahulukan wang untuk melaksanakan projek kerana kebiasaannya bayaran tidak diperoleh secara terus dan mungkin memakan masa satu hingga dua minggu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog