Cina India Kaum Pendatang

Sabtu, 21 Mei 2011

24 Orang Tertimbus Dalam Kejadian Tanah Runtuh Di Hulu Langat


KEADAAN Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, Kajang, dalam kejadian tanah runtuh, hari ini. Laporan awal sebelum ini menyebut, kira-kira 20 hingga 30 penghuni rumah anak yatim itu dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2.20 petang tadi.
SERAMAI 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat petang Sabtu.

Setakat pukul 7 malam, tiga mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala tujuh lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa, kata polis.

Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.

Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja. Kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.

Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang kesemua penghuni rumah anak yatim itu berada di dewan serbaguna untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada pukul 5 petang.

Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus dewan serbaguna yang terletak di lereng bukit menyebabkan bangunan setingkat itu musnah sama sekali.

Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada pukul 6.10 petang.

Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya Morni Mamat berkata sehingga pukul 7 petang ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat.
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog