Cina India Kaum Pendatang

Isnin, 16 Mei 2011

KES LIWAT II: Mohd Saiful Saksi Boleh Dipercayai - Hakim


MAHKAMAH Tinggi hari ini (Isnin) memerintahkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim membela diri atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Anwar dan menetapkan 6-30 Jun bagi kes pihak pembela. Anwar dijangka menjadi saksi pertama memberi keterangan.

Dalam keputusannya, hakim berkata saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah seorang saksi yang benar, boleh dipercayai dan diyakini.

Hakim Mohamad Zabidin yang mengendalikan perbicaraan liwat itu yang bermula pada 3 Feb tahun lepas berkata, keterangan Mohd Saiful selaras dengan saksi-saksi pakar bahawa terdapat penetrasi zakar.

Beliau berkata terdapat keterangan selaras yang menyokong keterangan Mohd Saiful yang diberikan secara tertutup tentang apa yang sebenarnya berlaku di kondominum berkenaan.

"Saya dapati PW1 (saksi pertama pihak pendakwaan, Mohd Saiful) adalah saksi benar dan mahkamah menerima keterangannya bagi membuktikan kes terhadap tertuduh (Anwar)," katanya dalam penghakimannya yang mengambil masa satu jam 45 minit untuk dibaca oleh beliau.

"Saya dapati menerusi keterangan oleh saksi-saksi, pihak pendakwaan telah mengemukakan kes prima facie terhadap tertuduh, oleh itu saya memerintahkan tertuduh membela diri," kata beliau.


Hakim Mohamad Zabidin
Hakim berkata bahawa pihak pendakwaan telah bergantung pada keterangan Mohd Saiful tetapi pihak pembela mendakwa Mohd Saiful bukan seorang saksi yang boleh dipercayai.

Beliau menyatakan sekalipun Mohd Saiful terpaksa menghadapi pemeriksaan balas yang lama oleh pihak pembela hinggga hampir memalukan, dimana mereka mendakwa beliau bukan seorang Muslim yang baik, dari keluarga yang berpecah, saudara perempuannya melarikan diri mengikut kekasih, pembelot dan seorang penyokong Barisan Nasional.

"Dengan segala rasa hormat kepada pihak pembela, semua faktor ini tidak relevan dalam menentukan kebolehpercayaan PW1 (Mohd Saiful)," kata beliau.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah pada 7 Ogos, 2008 atas tuduhan melakukan liwat bertentangan dengan peraturan alami di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10ptg dan 4.30ptg pada 26 Jun, 2008.

Tuduhan di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Hakim Mohamad Zabidin berkata kedua-dua tertuduh dan Mohd Saiful berada di tempat kejadian jenayah (kondominium) dalam tempoh kejadian.

Beliau berkata, kedua-dua mereka dirakam di CCTV di lif kondominium dan secara berasingan menunju tingkat lima bangunan itu.

Mengenai perkara yang ditimbulkan oleh Karpal bahawa Mohd Saiful tidak pernah cuba untuk menyelamatkan diri atau meminta bantuan mereka di kondominium itu selepas kejadian, hakim berkata mahkamah telah memberi pertimbangan serius atas perkara itu.

Karpal berhujah Mohd Saiful bertindak mengikut segala arahan tertuduh malah menikmati ‘karipap dan minuman bersama’, tidak cuba mendapatkan bantuan daripada orang di kondominium, tidak mengadu kepada pengawal, tidak membuat laporan polis, menghadiri majlis PKR pada hari berikutnya, tidak membayangkan sikap seseorang yang diliwat.

Malahan, kata Karpal, Saiful telah berbohong dalam laporan polisnya, yang kata Saiful insiden itu berlaku dengan persetujuannya tetapi dalam keterangannya beliau berkata kejadian itu bukan atas dasar sama suka.

Hakim berkata dari keterangan Mohamad Saiful, mudah difahami mengapa beliau telah bertindak demikian.

"Beliau adalah seorang pemuda berusia 22 tahun, bekerja dengan Anwar, beliau tidak seperti pekerja lain, di mana beliau secara langsung berurusan dengan Anwar.

Beliau berkata Mohd Saiful menyanjungi Anwar sejak ia kecil.

Selanjutnya, kata hakim, Anwar telah mengingatkan Mohd Saiful supaya pergi ke kondominium itu pada 26 Jun, 2008, bagi membincangkan jadual kerjanya.

Beliau berkata walaupun Mohd Saiful terpaksa melalui pemeriksaan balas yang lama oleh pihak pembela, saksi adalah konsisten dan menceritakan secara terperinci tentang bagaimana Anwar memasukkan zakarnya ke dalam duburnya dengan bantuan pelincir.

"Keterangan ini oleh Mohd Saiful tetap tidak berubah," kata hakim.

Beliau berkata keterangan oleh Mohd Saiful selaras dengan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dari perfoma (sejarah perubatan) yang direkodkan kira-kira 9 malam pada 28 Jun, 2008.

Beliau berkata Mohd Saiful telah menjelaskan secara terperinci kepada Dr Razuin Rahimi apa yang berlaku pada hari itu termasuk terdapat penetrasi, pancutan dan kondom tidak digunakan dalam perlakuan seks itu.

Hakim berkata Mohd Saiful juga memberitahu doktor bahawa tindakan itu telah berlaku selama dua bulan dan kejadian terakhir pada 26 Jun 2008.

Mengenai isu dapatan awal tiga doktor HKL bahawa tidak terdapat bukti penetrasi atau luka defensif, beliau berkata keterangan mereka (doktor) berdasarkan pemeriksaan klinikal awal tanpa laporan makmal.

Beliau berkata mereka telah menjelaskan bahawa penetrasi boleh berlaku tanpa menyebabkan kecederaan atau boleh disumbangkan oleh tiga sebab, pertama kelewatan menemui doktor, tidak ada paksaan digunakan semasa liwat dan pelincir digunakan semasa perlakuan itu.

"Analisis seterusnaya ke atas palitan dari dubur Mohd Saiful mengesahkan kewujudan mani dan berlaku penetrasi zakar.

Mengenai isu tiga doktor tidak cekap dalam menjalankan pemeriksaan perubatan ke atas mangsa liwat, hakim berkata berdasarkan kelayakan dan latihan yang mereka jalani tempatan dan seberangan laut membuktikan mereka layak.

Hakim juga menolak kemungkinan bahan-bahan bukti diusik dari sel polis, di mana Anwar ditahan semalaman di ibu pejabat polis Kuala Lumpur.
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog