Cina India Kaum Pendatang

Khamis, 21 April 2011

Inkues Kematian Pengawal Keselamatan Istana Kelantan: Senjata milik Tengku Fakhry tak sepadan peluru kes tembak

SAKSI terakhir dalam prosiding inkues membabitkan kematian pengawal keselamatan Istana Kelantan memberitahu Mahkamah Koroner di sini semalam, dua jenis senjata api dan peluru diambil daripada Tengku Muhammad Fakhry Petra di Istana Mahkota tidak sepadan peluru digunakan kes tembak Ramli Mohd.

Pegawai Penyiasat, Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Asisten Superintendan Kamarulnizam Alias, ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat berkata, dua senjata api itu ialah senapang patah jenis Benelli berserta peluru dan sepucuk pistol Automatik jenis Glock.33 bersama pelurunya.

Beliau menjadi saksi inkues ke-38 berkata, polis juga mengambil barangan lain seperti 51 peluru, seutas tali silang digunakan bersama senapang patah, dua kelopak peluru dan lesen senjata api milik anakanda ketiga bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra itu.

“Senjata api yang diambil di Istana Mahkota, Kubang Kerian diserahkan kepada saya oleh seorang pegawai atasan pada 5 Mei 2010, jam 12.15 malam.

“Bagaimanapun, selepas didapati peluru digunakan dalam kes tembak Ramli tidak sama senjata api diambil, jadi atas arahan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ketika itu, Datuk Mazlan Lazim supaya serah barang berkenaan kepada Tengku Muhammad Fakhry.

“Peluru yang digunakan dalam kes tembak Ramli bersaiz .32 sedangkan (senjata api) diambil ialah satu senapang patah dan sepucuk pistol Automatik jenis Glock.33.

“Disebabkan tidak sama, arahan supaya serah semula dibuat selepas mendapat laporan forensik,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdul Razak , semalam.

Kamarulnizam yang diarah mengambil alih siasatan kes membabitkan Ramli daripada Inspektor Noor Shuhada Husin daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, itu juga memaklumkan kepada Koroner polis turut menahan dua individu bagi membantu siasatan.

Katanya, tangkapan membabitkan tukang masak peribadi Tengku Muhammad Fakhry iaitu Mohd Rusdee Hassan@Thopearoh, 46, atau Chef Dee pada 12 Mei 2010, kira-kira jam 3 pagi dan Mohd Salleh@Abd Ghani Ismail, tanpa menyebut tarikh dan waktu ditangkap.

Sementara itu, bekas pembantu peribadi Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, Muhammad Burhanuddin Ab Maleki, 35, memberitahu mahkamah, ketika di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, ada dua perkara berlaku iaitu ada pihak memasuki bilik Tuanku Ismail tanpa kebenaran dan pertelingkahan membabitkan pengawal swasta dan pengawal istana dilantik kerajaan.

Keputusan inkues dibuat 2 Mei ini.
- BNOnline

1 ulasan:

Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah berkata...

Kita yakin, pembunuhan dilakukan oleh pembunuh upahan. Adakah siasatan ke atas transaksi kewangan individu-individu yang disyaki telah dibuat oleh pihak polis ?

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog