Cina India Kaum Pendatang

Selasa, 19 April 2011

SURUHANJAYA SIASATAN KEMATIAN TBH: "Invois Saya Berlainan Daripada Teoh," Kata Ahli Perniagaan

SEORANG ahli perniagaan yang menguruskan projek DAP pada Selasa memberitahu Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock bahawa invois dalam milikan Teoh adalah berlainan daripada jumlah yang dipohon.

Lee Wye Weng, 52, berkata selain jumlah tuntutan, invois yang dicetak daripada komputer Teoh itu juga mempunyai kepala surat dan format berlainan daripada apa yang dihantar melalui e-mail kepada Teoh.

Katanya maklumat yang dikirim kepada Teoh adalah penyata tuntutan akhir dan mengandungi jumlah bayaran berlainan bagi satu projek yang menggunakan syarikat milik bumiputera kelas F.

"Saya yang menghantar e-mail tersebut tetapi saya tidak tahu dan tidak dapat memberi penjelasan tentang invois yang dicetak ini," katanya ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lee berkata tindakan menggunakan syarikat bumiputera untuk mendapatkan projek kecil daripada Pejabat Tanah dan Daerah adalah perkara biasa kerana ia melibatkan lesen kelas F yang hanya diberi kepada bumiputera.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa tiada sebarang surat rasmi dibuat bagi penggunaan syarikat terbabit dan tahu bahawa ia salah serta melanggar peraturan Perbendaharaan.

Ean Yong Hian Wah
Lee turut mengakui bahawa ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan Teoh menyedari urusan menggunakan nama syarikat bumiputera ini dan yang melakukan kerja-kerja projek adalah syarikat lain.

Beliau yang turut memperoleh bayaran dalam setiap projek sebagai bayaran pengurusan memberitahu bahawa syarikat MKMN Enterprise, MA Bina Melur Enterprise, Fizami Construction dan Aris Enterprise dimiliki oleh mereka yang rapat dengannya dan mempunyai pertalian kekeluargaan.

Katanya syarikat-syarikat tersebut memperoleh projek daripada DAP dan mendapat wang pendahuluan daripada DAP sebelum mendapat bayaran daripada Pejabat Tanah dan Daerah.

Susulan soalan berkaitan penglibatan empat syarikat tersebut dalam projek DAP, Muhammad Shafee memohon supaya suruhanjaya mengarahkan Lee menyerahkan tiga resit pembayaran untuk DAP Serdang Aman yang mempunyai kaitan dengan penyiasatan SPRM.

Pengerusi Suruhanjaya Siasatan, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen bagaimanapun belum memutuskan sama ada Lee perlu berbuat demikian (bawa resit) ataupun tidak.

Terdahulu Muhammad Shafee berhujah bahawa suruhanjaya wajar meminta Lee membawa resit pembayaran tersebut kerana Lee tidak menyerahkannya sehingga kini kepada SPRM dan ia mampu menunjukkan tahap psikologi Teoh selepas siasatan.

Katanya Teoh berasa tertekan dan bersalah atas tindakannya menggunakan wang kerajaan untuk dana politik dan perasaan bersalah itu bukan sahaja terhadap dirinya sendiri tetapi juga kepada DAP kerana ia telah melibatkan banyak pihak dalam parti tersebut.

Sementara itu, Lee yang turut dipanggil pada malam yang sama Teoh disoal di pejabat SPRM memberitahu bahawa beliau sempat berbual dan Teoh tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

Katanya pegawai SPRM juga melayannya dengan baik dengan menjaga kebajikan serta tidak mengawal pergerakan malah beliau mampu ke tandas dan pantri dengan bebas.

Lee juga memberitahu bahawa setiausaha politik kepada Exco Selangor itu dilihat lebih banyak berfikir dan berdiam diri ketika mereka bertemu di ruang tamu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selangor.

"Saya berjumpa dengan Teoh selepas kembali ke pejabat SPRM pada awal pagi, 16 Julai 2009 dan pada ketika itu Teoh sedang berehat di atas sofa di kawasan Pendidikan Masyarakat (Penmas)," katanya.

Lee menjelaskan walaupun agak terkejut dengan pertemuan itu, namun beliau sempat berbual dengan Teoh kira-kira 20 minit sebelum Lee dibawa oleh pegawai SPRM untuk dirakam percakapan sekitar pukul 1 pagi.

"Dalam pertemuan itu, Teoh memaklumkan telefon dan pasportnya telah diambil oleh pegawai SPRM dan beliau juga memberitahu kepada saya yang beliau (Teoh) tidak suka komputer riba miliknya diambil oleh pegawai berkenaan," katanya ketika disoal pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Lee berkata Teoh juga memaklumkan bahawa beliau tidak berpuas hati dengan cara pegawai SPRM yang memaksanya untuk menulis e-mel dan kata laluan ketika ditemu bual oleh pegawai SPRM itu.

"Teoh juga tidak dibenarkan berjumpa dengan peguamnya pada waktu itu walaupun telah meminta kebenaran daripada pegawai SPRM," katanya.

Lee memberitahu suruhanjaya itu bahawa selepas pertemuan singkat itu, beliau tidak lagi berjumpa dengan Teoh walaupun berada di pejabat SPRM sehingga 10 pagi, 16 Julai 2009.

Selain itu, Lee berkata beliau terperanjat apabila mendapat panggilan daripada seseorang pada pukul 5 hingga 5.30 petang yang memaklumkan kepadanya Teoh telah membunuh diri.

Ketika disoal bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman apa yang berada di dalam minda Lee sejurus mendapat tahu mengenai perkara itu, Lee berkata: "Terdapat tiga kemungkinan yang bermain di minda saya iaitu sama ada Teoh bunuh diri, kejadian itu satu kemalangan ataupun Teoh dibunuh".

Jawapan yang diberikan oleh Lee mendapat reaksi daripada Awang Armadajaya yang mempersoalkan mengapa Lee berpendapat sedemikian?

Lee berkata beliau tidak bermaksud untuk menyatakan Teoh berkemungkinan membunuh diri atau sebaliknya kerana dalam keadaan tertekan seseorang itu boleh melakukan apa sahaja.

"Saya melalui situasi yang sama seperti Teoh dan saya juga turut tertekan apabila disoal bertalu-talu oleh pegawai SPRM," katanya.

Lee juga disoal peguam Robert Lau dari Majlis Peguam mengenai dakwaan pegawai SPRM yang memaklumkan Lee tidak memberikan kerjasama semasa disoal siasat.

"Pada waktu itu saya agak tertekan dengan cara pegawai berkenaan menyoal saya seperti saya orang salah dan saya bukannya tidak mahu bekerjasama sebaliknya ingin merujuk kepada peguam terlebih dahulu," kata Lee.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.

Prosiding bersambung Rabu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog