Cina India Kaum Pendatang

Khamis, 7 April 2011

Lapan Pegawai Imigresen Hadapi 83 Pertuduhan Peroleh Suapan Lebih RM122,000


LAPAN pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di bahagian Perkapalan Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis atas 82 pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM122,140 sebagai upah bagi memudahkan kemasukan penumpang warga Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat, tahun lepas.

Bagaimanapun, Md Shahrizal Che Dan, 26, Nor Shahazlina Sulaiman, 25, Mohamad Izuwanshah Samsuri, 25, Mohamad Huzzail Ahmad, 31, Ahmad Zahed Abd Alim, 28, Mohd Hafiz Zakaria, 27, Mohd Khairul Haqimie Kamarudin, 26, dan Azmir Mahadi, 28, mengaku tidak bersalah.

Md Shahrizal, dari Sungai Udang, Klang yang berdepan 31 pertuduhan melibatkan nilai suapan RM51,760, didakwa melakukan kesalahan itu di empat cawangan Public Bank Pelabuhan Klang, bandar Klang, Taman Sentosa dan Taman Bukit Tinggi, antara 20 April dan 16 Jun tahun lepas.

Rakannya, Nor Shahazlina dari Petaling Jaya, pula didakwa menerima suapan berjumlah RM2,900 pada 29 Ogos lepas, di Maybank Cawangan Pandamaran antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam, 29 Ogos lepas.

Hakim Asmadi Hussain membenarkan Md Shahrizal diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan Nor Shahazlina RM6,000 serta menetapkan 5 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah lain, Mohamad Izuwanshah, dari Kota Kemuning, yang berdepan 25 pertuduhan membabitkan RM31,690 didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Pelabuhan Klang dan Stesen Minyak Petronas, Jalan Pandangan, Klang antara 21 April hingga 17 Jun lepas.

Mohamad Huzzail dari Kepala Batas, Kedah, pula didakwa menerima suapan RM500 di depan sebuah di Persiaran Seraya, Taman Palm Grove, Klang, 25 Sept lepas.

Hakim M.Bakri Abdul Majid membenarkan Mohamad Izuwanshah diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan Mohamad Huzzail RM4,000 serta menetapkan 27 April ini untuk sebutan kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Di depan Hakim Mat Ghani Abdullah pula, Ahmad Zahed didakwa melakukan 12 kesalahan menerima rasuah berjumlah RM13,590 di Maybank Cawangan Bukit Tinggi dan Pelabuhan Klang antara 26 Julai dan 28 Ogos tahun lepas.

Mohd Hafiz, dari Pelabuhan Klang, didakwa melakukan empat kesalahan menerima suapan membabitkan RM8,640 di CIMB Bank Cawangan Pelabuhan Klang, Eon Bank Cawangan Pelabuhan Klang dan Kuarters Imigresen di Pandamaran, Klang antara 25 Sept dan 30 Sept tahun lepas.

Di mahkamah sama, Mohd Khairul Haqimie dari Sungai Buloh didakwa melakukan tiga kesalahan membabitkan RM7,350 di Maybank Cawangan Bukit Tinggi dan Restoran Moden Simpang Kudrat, Klang, antara 28 Ogos dan 28 Sept tahun lepas.

Seorang lagi pegawai Imigresen, Azmir dari Melaka, didakwa melakukan enam kesalahan membabitkan nilai suapan RM5,710 di Affin Bank Cawangan Pelabuhan Klang dan Stesen Minyak Shell Pelabuhan Klang, antara 15 dan 22 Ogos tahun lepas.

Ahmad Zahed dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin manakala Mohd Hafiz, Mohd Khairul Haqimie dan Azmir RM5,000.

Mat Ghani menetapkan Jumaat untuk sebutan semula kes bagi keempat-empat tertuduh.
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog