Cina India Kaum Pendatang

Selasa, 5 April 2011

SURUHANJAYA SIASATAN KEMATIAN TBH: Pegawai SPRM Selangor kerja 24 jam sehari - Mohd Shukri


SURUHANJAYA Siasatan kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu setiap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor terpaksa bekerja 24 jam sehari dan menyiasat puluhan kes.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull, berkata keadaan itu berlaku berikutan terlalu banyak aduan di negeri itu dan kekurangan kakitangan.

"Saya mengaku bahawa kami kekurangan pegawai seperti di Selangor. Selangor paling banyak siasatan kes, paling banyak tangkapan berbanding yang lain. Keseluruhan pegawai diguna (ketika sisatan) dan jika tidak mencukupi, perlu minta bantuan dari negeri lain.

"Pegawai SPRM kerja 24 jam sehari tanpa rehat (cuti). Itu telah menjadi amalan kami sebenarnya. Selangor hanya mempunyai 25 orang penyiasat. Sepatutnya pegawai penyiasat tidak turun padang dan hanya tunggu laporan tetapi mereka kena turun padang. Pegawai perakam pun patut tak turun padang tapi mereka kena juga turun padang. Ia kerana tidak cukup pegawai. Kita kena guna sepenuhnya," katanya.

Mohd Shukri berkata, SPRM tidak boleh bersikap "memilih kes" kerana setiap aduan yang diterima harus disiasat dan perlu dilaporkan pada setiap bulan untuk diaudit.

Katanya, berikutan kekurangan kakitangan, agensi itu kini dalam proses mencari kakitangan baru terutama bagi mereka berbangsa Cina.

Mengenai prestasi SPRM, beliau berkata pada 2010 terdapat 1,000 tangkapan dilakukan oleh SPRM dan seramai 400 orang telah didakwa manakala 76 hingga 80 peratus telah dijatuhi hukuman.

Datuk Mohd Shukri Abdull
"Angka itu menunjukkan peningkatan yang agak baik dalam organisasi berkenaan jika dibandingkan dengan organisasi yang sama di negara Asia lain dan SPRM kini mempunyai penyiasat yang bukan sahaja berpengetahuan undang-undang tetapi juga mereka yang berpengetahuan dalam perakaunan, perbankan dan lain-lain," katanya.

Mengenai cara siasatan, Mohd Shukri berkata SPRM tidak mengamalkan pendekatan agresif tetapi lebih kepada temu duga dan psikologi.

"Bagi saksi yang bekerjasama, ia tiada masalah, kita bagi soalan dan dia jawab. Jika yang tidak bekerjasama, kita temu duga lebih mendalam. Setiap saksi mesti menjawab soalan walau ia beri kesan kepada orang lain. Soal paksa tidak timbul. Saksi mesti berkata benar," katanya.

Mohd Shukri berkata, sekiranya saksi didapati berbohong dan didapati maklumat berbeza daripada dokumen, teknik yang lebih mendalam akan digunakan dan pegawai akan menunjukkan bukti yang diperoleh.

Katanya, pegawai akan menekankan soal agama ketika siasatan itu dan menggunakan pengaruh keluarga serta kesan pada anak-anak.

"Dalam kebanyakan kes rasuah, ia berbeza dengan kes bunuh. Biasanya orang yang jadi saksi ada hubungan dengan suspek seperti majikan dan rakan kongsi. Kita kena guna psikologi," katanya.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata sekiranya terdapat aduan penggunaan kekerasan oleh pegawai SPRM, hanya pihak polis yang boleh mengambil tindakan dan jika ada masalah disiplin, pihak jawatankuasa dalaman akan bertindak.

Sehingga kini, katanya, pihak polis tidak memberitahu apakah siasatan yang dilakukan ke atas pegawai bawahannya dan bagi SPRM yang bersalah harus diambil tindakan walaupun pegawai SPRM sendiri.

Mengenai aduan bahawa dua pegawai SPRM menonton video porno selepas menyoal Teoh, beliau berkata kedua-duanya telah dikenakan tindakan tata tertib.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya siasatan itu dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk TS Nathan; Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh; serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya; Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 26 Januari lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Prosiding disambung Selasa.
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog