PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Kementerian Dalam Negeri mengantung serta-merta tugas Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ekoran amalan rasuah kronik yang melanda organisasi tersebut.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, Ketua Pengarah JKDM perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kegagalan organisasi itu melaksanakan amanah negara, selain 62 pegawai pelbagai pangkat yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sambil menyatakan perasaan terkejut dengan jumlah kerugian akibat perbuatan rasuah anggota kastam, Ibrahim berkata, perbuatan mereka tidak boleh dimaafkan kerana kesalahan rasuah sama tarafnya seperti jenayah yang dilakukan pengedar dadah dan pengkhianat negara.
Pada masa sama, beliau turut menggesa kerajaan menyita semua harta yang dimiliki oleh 62 pegawai kastam tersebut, termasuk harta milik ahli keluarga terdekat yang dikumpul secara tidak sah selain merampas pasport antarabangsa semua tertuduh.
"Pengawai yang tidak ditahan pula hendaklah mengisytihar harta masing-masing termasuk harta atas nama suami, isteri atau ahli keluarga terdekat," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Ahad.
Akhbar hari ini melaporkan RM108 bilion hasil negara lesap setiap tahun antaranya akibat perbuatan 'tangan kotor' pegawai kastam yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa, sebelum wang yang diterima itu kemudiannya dipindahkan ke luar negara.
Menurut Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang ditahan dikesan menerima imbuhan sebanyak RM10,000 setiap bulan yang dimasukkan terus ke dalam akuannya.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, Perkasa merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh warga SPRM yang begitu komited sehingga berjaya membongkar aktiviti rasuah tersebut di kalangan kakitangan kastam.
Sehubungan itu, Perkasa akan menyerahkan satu memorandum ucapan tahniah kepada SPRM di Putrajaya esok sebagai menghargai komitmen badan tersebut membanteras jenayah rasuah meskipun sering kali menjadi mangsa politik pembangkang.
"Cuma apa yang Perkasa harapkan lepas ini, SPRM hendaklah menjalankan operasi lebih kerap termasuk ke atas agensi-agensi penguat kuasa lain," katanya.
- Utusan
SATU MELAYU:
NGO-NGO lain bila lagi?
Selain itu bukan jabatan berkenaan sahaja yang terdedah dengan kegiatan rasuah, ada lagi jabatan-jabatan lain yang tidak kurang hebatnya terlibat dengan kegiatan yang menjadi musuh utama negara itu.
Dan bukan jabatan peringkat persekutuan sahaja yang terlibat, jabatan kerajaan peringkat negeri juga apa kurangnya?
Justeru, sudah sampai masanya para penggerak NGO yang cintakan negara, bangsa dan agama turut memberikan kerjasama kepada SPRM dalam menghapuskan kegiatan rasuah yang digariskan Perdana Menteri sebagai salah satu NKRA yang jadi harapan kerajaan dan juga rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan