Cina India Kaum Pendatang

Rabu, 6 April 2011

MUTAKHIR: Pegawai Kastam Ditemui Mati Di Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan


SEORANG Penolong Pengarah Kastam Selangor, yang ditahan semalaman pada 1 April lepas bagi membantu siasatan rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram, ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pagi Rabu.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali dalam satu sidang media di pejabat itu memberitahu bahawa Ahmad Sarbani Mohamed, 56, ditemui mati kira-kira 10.15 pagi.

"SPRM mengesahkan bahawa penama berkenaan adalah di antara pegawai Kastam yang telah ditahan pada 1 April 2011 jam 1 tengah hari di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Kelang.

"Penama tersebut setelah membantu dalam siasatan yang melibatkan operasi 3B iaitu satu siasatan berkaitan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, telah dilepaskan melalui jaminan pada hari Sabtu 2 April 2011 jam 12.30 tengah hari," katanya.

Beliau berkata mangsa, yang bertugas di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang, telah meninggalkan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas dilepaskan melalui jaminan tersebut.

Mustafar berkata pada 8.26 pagi ini, mangsa datang ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan bersendirian dengan menunggang sebuah motosikal.

Difahamkan mangsa datang sendiri tanpa diarahkan ke pejabat SPRM itu, yang baru siap dibina dan diguna pakai Disember lepas.

Beliau berkata mangsa hadir untuk bertemu pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya dan oleh kerana pegawai-pegawai sedang bermesyuarat, maka mangsa menunggu di lobi pejabat sehingga pukul 9.30 pagi.

Menurutnya mangsa kemudian diiringi oleh seorang pegawai ke bilik pejabatnya untuk mendapatkan pegawai penyiasat menemui mangsa tersebut.

Pegawai yang mengiringi mangsa tersebut berada bersamanya dalam bilik pejabat pegawai berkenaan, katanya.

Mustafar berkata kira-kira pukul 10.15 pagi, pegawai yang mengiringi mangsa meninggalkan mangsa tersebut di pejabatnya dan keluar sebentar untuk mendapatkan pegawai penyiasat.

 "Dalam beberapa minit kemudian, pegawai tersebut kembali ke pejabatnya dan mendapati mangsa berkenaan tiada dalam bilik berkaitan. Setelah mencari dalam kawasan pejabat, seorang pegawai terlihat satu tubuh manusia terlantar di tingkat 1 bangunan pejabat ini," katanya.

Menurutnya, SPRM telah memaklumkan kejadian ini kepada keluarga Ahmad Sarbani dan pihak pengurusan jabatannya serta menyerahkan perkara ini kepada polis untuk mengambil sebarang tindakan.

Pada 2 April lepas, Mustafar mengumumkan pada sidang media bahawa SPRM telah menahan 62 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia menerusi Operasi 3b kerana dipercayai terbabit dalam rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain.

Ia membabitkan 53 pegawai lelaki serta sembilan wanita berusia antara 24 dan 56 tahun, termasuk seorang berjawatan pengarah.

Mustafar berkata operasi membabitkan lima pelabuhan utama negara termasuk Pelabuhan Klang yang menyaksikan tangkapan teramai iaitu 48 orang.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di mana mayat Ahmad Sarbani dihantar untuk dibedah siasat, mendapati anggota keluarganya berada di persekitaran bilik mayat sejak kejadian itu dimaklumkan kepada mereka.

Namun sehingga berita ini ditulis, media elektronik dan cetak dihalang menemuramah anggota keluarga Ahmad Sarbani oleh pegawai Kastam.

Pihak hospital juga tidak memaklumkan waktu bedah siasat itu selesai yang kelak dapat merungkai keputusan pakar patalogi mengenai punca kematian mangsa tersebut.

Sumber hospital memberitahu Bernama bagi kes berprofil tinggi seperti kejadian ini, ia memerlukan masa untuk bedah siasat disiapkan di mana ada wujudnya kemungkinan bedah siasat kali kedua.

Katanya, ini bagi membolehkan pihaknya mendapatkan keputusan bedah siasat yang betul dan sahih serta tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak kelak.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman, yang turut berada di HUKM, memberitahu media bahawa pihak Kastam perlu diberikan masa secukupnya bagi menenangkan keadaan ketika ini.

"Pihak kami akan memberikan bantuan kepada keluarga Ahmad Sarbani dan semua pihak diminta tidak mengeruhkan keadaan," katanya.

Usaha menghubungi Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf yang berada di Tasik Kenyir, Terengganu untuk mendapatkan komennya gagal, tetapi seorang pegawainya berkata beliau (Mohamed Khalid) akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam ini.

Mohamed Khalid berada di Tasik Kenyir untuk mempengerusikan Mesyuarat Pengarah Kastam SeMalaysia ke-65 yang bermula semalam.

Setiausaha Kesatuan Pekerja-Pekerja Kastam Malaysia, Mohd Mazlan Mohd Shaari yang dihubungi pula berkata pihak kesatuan belum memutuskan sebarang pandangan atau keputusan mengenai kes kematian itu dan akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat.

"Kejadian itu baru berlaku dan kita tidak tahu sangat mengenainya dan kita tunggu siasatan polis," katanya ketika dihubungi.

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai sama ada kes kematian itu mempunyai kaitan dengan kes rasuah yang membabitkan pegawai kanan kastam sebelum ini.

"Kita akan mengadakan sidang media mengenai kes itu Jumaat ini dan kita akan menyatakan pandangan kesatuan mengenai perkara itu," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Ahmad Sarbani.
- Bernama

SATU MELAYU:
Dari Allah kita datang, kepadaNya kita kembali....
Al-Fatihah!

1 ulasan:

BUJEES berkata...

Semoga insiden ini tidak akan dimanupilasi oleh golongan tertentu untuk menghentam SPRM dan juga Kerajaan.

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog