Cina India Kaum Pendatang

Jumaat, 6 Mei 2011

SURUHANJAYA SIASATAN KEMATIAN TBH: Ean nafi Teoh bunuh diri untuk selamatkannya dan DAP


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, pada Khamis menafikan dakwaan kemungkinan setiausaha politiknya, Teoh Beng Hock, membunuh diri demi melindunginya dan parti DAP.

Exco Selangor itu memberitahu Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh selepas peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah, yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendakwa kematian mendiang adalah bagi mempertahankan majikannya dan juga DAP.

Beliau juga tidak bersetuju dengan dakwaan Muhammed Shafee bahawa tindakan Teoh membunuh diri boleh diibaratkan seperti falsafah Cina 'death before honour' kerana Teoh dikatakan mempunyai banyak maklumat mengenai Ean dan DAP.

Ean turut menafikan tindakan Teoh membunuh diri disebabkan beliau berada dalam keadaan trauma dan tertekan kerana mengetahui Ean terlibat dalam penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.

"Situasi itu menyebabkan Teoh bimbang perbuatan majikannya dan DAP terbongkar dan beliau mengambil tindakan membunuh diri bagi tujuan melindungi mereka," kata Muhammed Shafee.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan Plaza Masalam.

Sementara itu, Ean berkata beliau memilih kontraktor kelas F yang diperkenalkan oleh syarikat Hong Chye Enterprise untuk melakukan pembaikpulih longkang, jalan dan bangunan.

Ean Yong, ADUN Sri Kembangan
"Saya tidak terkejut apabila mendapat tahu syarikat Hong Chye hanya menggunakan lesen kontaktor kelas F bagi melakukan semua kerja-kerja berkenaan kerana mereka (kontaktor kelas F) hanya pemegang lesen sahaja," katanya ketika disoal Muhammed Shafee.

Beliau turut memaklumkan bahawa majlis ‘Sokong, Simpati dan Solidariti’ terhadap Exco Kanan Selangor Teresa Kok adalah sebahagian daripada projek Mesra Rakyat kerana ia melibatkan masyarakat.

Selain itu, Ean yang mengenali Teoh sejak 2006, menyifatkan mendiang seorang yang bekerja keras, berdedikasi dan bertanggungjawab dalam menguruskan tugasnya sebagai setiausaha politik.

Ketika ditanya pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud adakah Ean meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Teoh, Ean berkata: "Ya, saya mempercayai Teoh kerana saya menganggapnya sebagai orang kanan saya.

"Sekiranya saya tidak dapat menghadiri sidang akhbar atas sebab-sebab tertentu, saya akan meminta Teoh untuk mewakili saya," katanya.

Ean turut memberitahu prosiding suruhanjaya, beliau mengetahui Teoh akan berkahwin dengan tunangnya, Soh Cher Wei tetapi beliau tidak pernah diberitahu oleh Teoh bahawa mendiang akan berhenti kerja dan berpindah ke Melaka.

Suruhanjaya itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 26 Januari lalu, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh.

Prosiding disambung Isnin ini.
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

>

Post Ter'latest' dari Senarai Blog